Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBukit Keteri – Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam titah baginda semalam, menyeru agar semua anggota Rejimen Askar Wataniah sentiasa bersedia dan siap siaga untuk dimobilisasi serta diatur gerak pada bila-bila masa terutamanya dalam keadaan atau suasana yang genting.
Baginda bertitah, rejimen ini turut memainkan peranan yang sangat penting untuk membantu Angkatan Tentera Malaysia di beberapa buah negeri baru-baru ini yang terjejas akibat bencana banjir dalam penyediaan bantuan tentera dan peralatan logistik kepada mangsa banjir.
Kerjasama tersebut membuktikan bahawa Rejimen Askar Wataniah ini mempunyai tanggungjawab dan peranan yang penting dan menyumbang kepada negeri dan negara yang tercinta ini.
Baginda bertitah, “Pelibatan seumpama ini secara langsung dapat memberikan pendedahan yang menyeluruh khususnya melibatkan aspek pengurusan operasi dan bencana.”
“Ia juga berupaya melatih dalam menyumbang tenaga dan khidmat pada saat-saat genting negara jika Angkatan Tetap memerlukan khidmat Angkatan Sukarela,” titah Tuanku Raja Muda lagi.
Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia mengadakan Perbarisan Hari Ulang Tahunnya yang Ke-44 di Padang Kawad Rejimen berkenaan di Kem Bukit Keteri, semalam.
Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Komander berkenan berangkat merasmikannya.
Keberangkatan baginda disambut oleh Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.
Turut hadir ialah Asisten Panglima Pasukan Simpanan (APPS) Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A. Wahab dan Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hj. Hashim.
Acara perbarisan itu melibatkan penyertaan sebanyak 12 orang pegawai dan 80 orang anggota pangkat lain.
Tuanku Komander berkenan untuk menyempurnakan Upacara Pemakaian Pangkat yang melibatkan lapan orang anggota terdiri daripada Anggota Tetap dan Anggota Sukarela.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan mengurniakan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Leftenan Kolonel Lasahi Laiji, Penolong Pegawai Memerintah Batalion 3, Mejar Mohd Haslan Ahmad Fuat, Sarjan Mohd Tarmizi Aziz, Koperal Mohamad Zaki Zainal Abidin, Koperal Siti Wan Nor Azizah Abidin, Koperal Abdul Roahim Hashim dan Koperal Norazimah Haidi.