Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKajang – Kerajaan Negeri Selangor telah menghulurkan bantuan kepada 1254 buah sekolah di negeri ini dengan peruntukan berjumlah RM26.5 juta di bawah Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor. Inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuh infrastruktur sekolah agar terus berdaya saing, sekaligus menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi para pelajar dan guru untuk merealisasikan visi pendidikan Malaysia.
Perkara ini disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, dalam ucap utama beliau semasa Program Tekad Reformasi Pendidikan yang berlangsung pagi tadi.
“Kerjasama antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kementerian Pendidikan Malaysia mencerminkan bahawa reformasi pendidikan merupakan proses berterusan. Sistem pendidikan kita perlu bersedia untuk menghadapi cabaran dan keperluan baru dalam usaha melahirkan generasi muda yang mampu beradaptasi,” kata beliau.
Selaras dengan Pelan Strategik Pendidikan Kebangsaan, kerajaan negeri berpendapat bahawa pendidikan tidak boleh bergerak sendirian tanpa memahami matlamat negara. Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Malaysia mensasarkan untuk menjadi salah satu daripada 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2030.
“Kita melihat peluang besar dalam sektor kecerdasan buatan, semikonduktor, tenaga dan industri pembuatan berteknologi automasi sebagai tunjang utama bagi mencapai matlamat ini. Oleh itu, sistem pendidikan kita perlu diperkukuhkan agar generasi muda mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk menyumbang kepada kejayaan tersebut.”
YAB Dato’ Seri Amirudin menekankan kepentingan pendidikan prasekolah dengan menyatakan bahawa kemahiran asas seperti membaca dan mengira perlu diterapkan pada usia seawal dua hingga tiga tahun untuk memastikan perkembangan kemahiran insani kanak-kanak.
Program Tekad Reformasi Pendidikan juga menekankan kepentingan kolaborasi antara pelbagai pihak, termasuklah sekolah, universiti, kerajaan dan industri dalam memperkukuh sistem pendidikan negara supaya anak-anak Malaysia dapat bersaing pada peringkat antarabangsa.
Beliau juga menekankan bahawa inisiatif seperti Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), yang menyediakan kelas tuisyen kepada hampir 100,000 pelajar, merupakan langkah penting dalam memastikan tiada anak-anak Selangor yang ketinggalan dalam pendidikan.
“Kita tidak mahu melihat mana-mana anak Selangor tertinggal tanpa bantuan pendidikan,” tambah beliau.
Dengan langkah-langkah ini, Kerajaan Negeri Selangor berharap untuk terus meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap sistem pendidikan nasional tanpa perlu bergantung kepada sekolah swasta atau antarabangsa.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ts. Saipolyazan M Yusop, antara program yang dijalankan oleh MBI Selangor termasuklah Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang menyediakan modul untuk intervensi kurikulum, pemerkasaan program TVET yang berpusat di Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) serta pembelajaran yang diintegrasikan dengan teknologi di Universiti Selangor (UNISEL).
Dalam program yang sama, MBI Selangor turut menyampaikan sumbangan dana pengurusan PIBG kepada sekolah-sekolah dalam daerah Hulu Langat dan Sepang yang berjumlah RM1,000 setiap sekolah, serta Hadiah Pelajar Cemerlang SPM 2023 kepada 45 orang penerima.
Penyampaian sumbangan dan hadiah telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor dan disaksikan oleh YB Puan Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan serta diiringi oleh YBrs. Tuan Ts. Saipolyazan M Yusop, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor.