Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSt. Petersburg – Dalam Mesyuarat Ketiga Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia (JCESTC) bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan di St. Petersburg, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir, bersama Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Rusia, TYT Valery Falkov, bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan Kursi Pengajian Melayu di sebuah universiti di Rusia.
Menurut kenyataan media oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry, perancangan ini akan dibincangkan lebih lanjut pada peringkat tertinggi sebelum dimuktamadkan.
Beliau menyatakan, “Hal ini bertepatan dengan kedudukan Bahasa Melayu yang kini menjadi satu daripada program dan kursus yang ditawarkan di beberapa universiti terkemuka di Rusia.”
Kursus ini akan merangkumi pembelajaran kesusasteraan bahasa Melayu, sejarah bahasa serta latar belakang masyarakat Melayu dan Nusantara.
“Pada masa yang sama, Kursi Pengajian Melayu ini akan membantu memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa dengan beberapa kerjasama yang akan dipertingkatkan antara Kerajaan Rusia dengan Malaysia,” tambah beliau.
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry juga mencadangkan agar lebih banyak pensyarah dan guru Bahasa Melayu dihantar ke Rusia, di samping menjemput pensyarah dari Rusia untuk mengikuti kursus di Malaysia bagi mendalami budaya negara ini.
Sebagai tambahan, Kerajaan Rusia bersetuju untuk meningkatkan jumlah biasiswa untuk pelajar Malaysia daripada 20 orang kepada 40 orang setiap tahun. Selain pertukaran pelajar, program ini juga melibatkan pensyarah, penyelidik serta penjawat awam bagi memperkukuh kemahiran dan kerjasama antara kedua-dua negara.
Sebelum ini, Kursi Pengajian Melayu Kementerian Pengajian Tinggi telah ditubuhkan di beberapa institusi seluruh dunia, termasuklah di Beijing Foreign Studies University di China, Ohio University di Amerika Syarikat, Leiden Universiti di Belanda, Victoria University di New Zealand dan Hankuk University of Foreign Studies di Korea Selatan.