11 Oktober 2024, 19:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Untuk kesekian kalinya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dengan kerjasama Badan Keluarga DBP dan Koperasi DBP Berhad mengadakan Majlis Jasamu Dikenang bagi meraikan mantan karayawan DBP yang telah bersara pada tahun 2023 dan 2024.

Majlis tersebut telah disempurnakan dengan ucapan daripada Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari di Dewan Dato’ Abdul Rahim Abu Bakar (Dewan Bankuet), Menara DBP, tengah hari tadi.

YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata,

Saya sendiri secara peribadi memang sangat mengharapkan acara seumpana ini terus memberikan kenangan serta merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan kita yang telah memberikan khidmat bakti yang tidak terkira kepada DBP khususnya dan negara secara umumnya.

Justeru, sumbangan yang diberikan oleh mantan karyawan kepada DBP adalah sesuatu yang bernilai dan sebuah kegembiraan apabila dapat menamatkan perkhidmatan dalam keadaan yang baik, tenang serta jasa yang sentiasa dikenang oleh pengurusan DBP.

Selain itu, beliau turut memberikan perhatian yang khusus berkaitan dengan aspek kebajikan dan kesihatan terutamanya kepada mereka yang telah bersara.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapannya.

Ujar beliau lagi,

Saya juga mohon kepada tuan-tuan yang ada kepakaran dalam soal bahasa, sastera dan penerbitan jika diperlukan untuk membantu kami dalam pelaksanaan tugas mengendalikan bengkel dan kursus, saya harap tuan-tuan boleh memberikan ruang dan waktu untuk kami, bukan setakat membimbing penulis atau pihak luar, malah yang lebih penting membimbing kami yang masih lagi bertugas untuk meningkatkan kepakaran dan pengalaman.

Secara keseluruhannya, sebanyak 52 orang mantan karyawan yang diraikan dalam majlis tersebut menerima sijil penghargaan, saguhati wang tunai dan hadiah iringan sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan daripada pihak DBP, merangkumi 28 orang yang telah bersara pada tahun 2023 dan 24 orang bagi tahun 2024.

Pengerusi Koperasi DBP Berhad, YBrs. Tuan Haji Abd Razak Abd. Aziz (kiri); Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari (tengah) dan Pengerusi Mantan Karyawan DBP, YBrs. Tuan Haji Abd Khalik Sulaiman (kanan) dalam Majlis Jasamu Dikenang.

Selain itu, turut berlangsung ucapan “Cetusan Bicara” daripada wakil pesara, iaitu YBrs. Puan Aminah Awang Basar yang merupakan mantan Pengarah DBP Cawangan Sabah.

Dalam ucapannya, beliau mengungkapkan bahawa majlis tersebut merupakan sebuah perhimpunan ukhuwah antara pesara dengan warga DBP yang masih berkhidmat dan perkhidmatan yang telah disumbangkan selama ini berbaloi dengan pemberian pelbagai kemudahan seperti perubatan, tempat kerja yang selesa, kenaikan pangkat serta kesempatan bertemu dengan rakan-rakan seperjuangan.

YBrs. Puan Aminah Awang Basar, mantan Pengarah DBP Cawangan Sabah semasa menyampaikan ucapannya mewakili mantan karyawan DBP.

Majlis ini dianjurkan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan perkhidmatan yang telah diberikan oleh mereka sepanjang berkhidmat di DBP, di samping mengeratkan silaturahim antara pihak pengurusan tertinggi dengan mantan karyawan DBP.

Majlis Jasamu Dikenang diserikan dengan persembahan nyanyian oleh karyawan DBP, iaitu Puan Maslinah Yusof dan Encik Mohamad Aeiriz Makhtar.

Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah DBP Wilayah Tengah, YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry; Pengerusi Mantan Karyawan DBP, YBrs. Tuan Haji Abd Khalik Sulaiman; Pengerusi Surau al-Hukama’, YBrs. Tuan Syed Mashor Syed Mustapha; Pengerusi Koperasi DBP Berhad, YBrs. Tuan Haji Abd Razak Abd Aziz; Pengerusi Badan Keluarga DBP, YBrs. Encik Rusman Yaacob; Ketua Bahagian, Ketua Editor, Ketua Unit serta karyawan DBP.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.