Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Beberapa kawasan di Lembah Klang dinaiki air akibat limpahan sungai utama seperti Sungai Batu, Sungai Klang dan Sungai Gombak.
Dalam sebuah kenyataan media, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerangkan bahawa fenomena ini berlaku akibat daripada hujan lebat yang bermula sekitar pukul 8.30 pagi yang berterusan hingga ke tengah hari.
Antara kawasan yang terjejas termasuklah Jalan Pantai Baharu, Jalan Parlimen (Bulatan Dato’ Onn), Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Travers, Jalan Damansara (bawah jejambat Semantan), Jalan Ledang, Jalan Segambut, Jalan Genting Klang (berhadapan Shell dan UTAR), Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Sultan (Petaling Street).
Kejadian ini berpunca daripada taburan hujan yang sangat tinggi, iaitu melebihi 60 mm per jam dengan bacaan hujan di stesen hujan pusat bandar mencecah lebih 114 mm per jam.
Petugas DBKL telah turun ke lapangan untuk memastikan situasi terkawal di kawasan yang terlibat. Antara tindakan yang diambil termasuklah penyuraian trafik bagi melancarkan pergerakan lalu lintas.
Sehingga pukul 10.45 pagi, semua laluan utama di pusat bandar telah dibuka kecuali Jalan Rahmat yang masih ditutup satu hala.
DBKL juga telah mengaktifkan dua pam statik di Jalan Sultan Azlan Shah dan membawa masuk tiga pam mudah alih di Bulatan Dato’ Onn untuk menyedut air yang bertakung. Keadaan kembali normal sekitar pukul 9.18 pagi.
Kerja-kerja pembersihan di sekitar Jalan Parlimen telah selesai, manakala di Jalan Sultan masih dijalankan. Kebanyakan kawasan yang terlibat berjaya dikawal dan air yang bertakung surut dalam tempoh 30 minit.
Sehubungan dengan itu, perkhidmatan LRT Kelana Jaya juga terjejas akibat air bertakung di landasan antara stesen Sri Rampai dan Wangsa Maju.
Dalam satu kenyataan media, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan rel Rapid KL telah memaklumkan bahawa kerja-kerja membaik pulih komponen landasan di antara Stesen Wangsa Maju dan Sri Rampai sedang giat dijalankan oleh pasukan teknikal Rapid Rail.
Kejadian yang dilaporkan berlaku pada pukul 10.20 pagi itu, berpunca daripada aliran air hujan luar biasa dari kawasan sekitar dan telah memasuki landasan yang terletak di aras tanah serta merosakkan beberapa komponen di trek.
Pihak operasi terpaksa menghentikan bekalan kuasa di kawasan terbabit bagi membolehkan kerja-kerja pemeriksaan dan baik pulih dijalankan. Perkhidmatan tren perantara diaktifkan di antara Stesen Gombak dan Stesen Wangsa Maju, manakala tren dari arah Putra Heights akan berpatah balik di Stesen Wangsa Maju.
Perkhidmatan bas perantara percuma disediakan sebanyak 12 buah dengan kekerapan setiap 15 minit bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan.
Selain itu, Terowong SMART telah ditutup sepenuhnya untuk laluan pengguna bagi menyalurkan air banjir kilat.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pada jam satu tengah hari telah mengeluarkan amaran ribut petir di pantai barat Semenanjung serta beberapa kawasan di Sabah (Tambunan, Pantai Barat, Sandakan, dan Kudat) dan Sarawak (Mukah, Kapit, dan Bintulu) yang akan berlangsung sehingga pukul 5:00 petang.