Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPetaling Jaya – Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof, menyeru agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memperkukuh sistem pengurusan air dan persekitaran dalam usaha membina persekitaran bandar yang mampan dan inklusif.
Dalam ucap utama yang disampaikan sempena Konvensyen PBT 2024 di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandar Raya Petaling Jaya (MBPJ) pada hari ini, beliau menekankan tentang kepentingan untuk memastikan kelestarian alam sekitar, termasuklah dalam aspek pengurusan air yang lebih efisien di kawasan bandar dan luar bandar.
YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof menyatakan bahawa Malaysia perlu bersedia menghadapi peningkatan kadar urbanisasi yang kini mencapai kadar 75.1 peratus dan dijangka meningkat kepada 85 peratus menjelang tahun 2040.
Peningkatan ini memerlukan pengurusan sumber air yang lebih baik untuk menangani isu-isu seperti banjir, pencemaran air dan keperluan bekalan air yang mencukupi bagi populasi bandar yang kian bertambah.
Saya harapkan setiap PBT akan merangka pembangunan perancangan bandar dalam konteks keseluruhan ini. sekiranya tidak ditangani dengan segera, kemungkinan bandar di negara ini akan berdepan dengan banjir. Maka itu, setiap bandar di negara ini memerlukan proses pengaliran air yang sempurna.
Beliau turut menegaskan tentang kepentingan pembangunan berteraskan konsep Bandar Pintar yang menggunakan teknologi untuk memantau dan mengurus aliran air secara cekap.
Tambah beliau lagi,
Kita perlu memastikan bahawa setiap projek pembangunan mengambil kira aspek pengurusan air yang lestari, termasuklah penyediaan sistem saliran yang baik dan infrastruktur untuk menangani bencana seperti banjir kilat.
Langkah ini termasuklah menggunakan kaedah terkini seperti penggunaan sistem digital bagi pemantauan dan kawalan air hujan serta air kumbahan, yang dijangka mampu mengurangkan risiko banjir dan pencemaran.
Selain itu, beliau juga mengemukakan hasrat peri pentingnya sinergi antara Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Tempatan dalam melaksanakan inisiatif pengurusan air yang lebih berkesan.
“Dasar-dasar yang menyokong pembangunan mampan perlu diselaraskan pada semua peringkat pentadbiran bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat terjaga dengan baik,” tegas beliau.
Pada masa yang sama, beliau turut memuji usaha PBT dalam mempercepat kelulusan perancangan pemajuan, termasuklah pelaksanaan dasar pemudah cara bagi projek-projek pembangunan.
“PBT tidak hanya berperanan dalam menyediakan perkhidmatan asas, malah turut berfungsi juga sebagai ejen perubahan yang mampu memacu pembangunan yang lebih mampan,” ujar beliau.
Usaha ini bukan sahaja memberikan kesan positif kepada ekonomi melalui peningkatan pelaburan asing, malah turut memastikan penyediaan kemudahan infrastruktur yang inklusif, mesra alam dan tahan bencana.
Beliau berharap agar Konvensyen PBT 2024 ini menjadi platform untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam menghadapi cabaran pada masa hadapan, khususnya dalam aspek pengurusan sumber semula jadi seperti air.
Konvensyen yang berlangsung selama dua hari di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya ini dijangka membuahkan idea-idea baharu untuk memperbaik sistem pengurusan perbandaran yang sempurna dalam usaha negara untuk mencapai taraf negara maju kelak.