Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangShah Alam – Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, malam semalam mengumumkan pemberian sebanyak 22,000 baucar bernilai keseluruhan RM4.4 juta kepada penerima dari kalangan kaum India B40 sempena sambutan perayaan Deepavali.
Program tahunan di bawah Jawatankuasa Pembasmian Kemiskinan ini, dikenali sebagai Program Pemberian Bantuan Baucar Jom Shopping Bersempena Perayaan, telah berlangsung sejak tahun 2012 sebagai langkah meringankan beban kewangan kepada penerima yang ingin membuat persiapan untuk menyambut perayaan.
“Sambutan perayaan seperti Deepavali ini tidak akan bermakna jika ada yang bersedih kerana kesempitan hidup dan tidak dapat membuat persiapan bagi meraikannya,” ujar YAB Dato’ Seri Amirudin dalam ucapannya bersempena dengan Program Sambutan Perayaan Deepavali Peringkat Negeri Selangor.
Beliau menekankan komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam menjaga kebajikan semua kaum di negeri ini tanpa pengecualian, terutamanya golongan yang berdepan dengan cabaran ekonomi.
Dalam majlis yang sama, simbolik penyerahan beberapa program bantuan khas untuk kaum India diadakan, termasuklah bantuan yang diberikan kepada ibu bapa atau penjaga komuniti India B40 yang menghantar anak-anak mereka melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Bantuan ini adalah sebahagian daripada Program Bantuan Yuran Pengajian Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta bagi Pelajar Komuniti India B40, yang diperkenalkan sejak tahun 2013, khusus untuk anak-anak pekerja ladang, dan kemudian diperluas kepada semua pelajar India B40 pada tahun 2021.
“Bagi tahun 2024, sejumlah RM1.54 juta diperuntukkan kepada sebanyak 602 pelajar yang layak dan penyaluran bantuan akan dilakukan secara berperingkat bermula pada 28 Oktober ini,” jelas YAB Dato’ Seri Amirudin.
“Kerajaan Negeri berharap program bantuan ini akan memberikan sinar baharu kepada keluarga penerima dan komuniti India dengan menjadikan sambutan Deepavali tahun ini lebih bermakna bagi mereka yang menerima manfaatnya.”
Turut hadir dalam majlis penyerahan bantuan tersebut ialah Speaker Dewan Negeri Selangor, YB Lau Weng San; EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor, YB Papparaidu a/l Veraman serta Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, YBhg. Dato’ Johary Anuar.