Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPetaling Jaya – Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2024 di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang berlangsung pada 26 Oktober 2026 (semalam) melabuhkan tirainya pada petang tadi dengan mencapai objektif yang dirancang.
Konvensyen anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Kerajaan Negeri Selangor dan MBPJ disifatkan sebagai platform bagi penyampaian aspirasi Kerajaan Persekutuan dan medium wacana perkongsian ilmu serta amalan terbaik berkaitan dengan penyelesaian isu-isu perbandaran dan perkongsian pengalaman dalam mengukuhkan peranan dan tanggungjawab PBT dalam pembangunan bandar pada masa kini.
Konvensyen ini juga membuka ruang perbincangan merentas sempadan menerusi tiga lapisan pentadbiran kerajaan untuk menyuarakan pandangan dan idea secara konstruktif berdasarkan kepelbagaian isu yang memfokuskan pengurusan perbandaran dalam usaha untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
Bertemakan “Sinergi MADANI, Perkukuh PBT”, konvensyen ini mendukung kerjasama strategik dan integrasi antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dengan PBT, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang memfokuskan pembangunan bandar mampan, berdaya huni dan berdaya tahan.
Dalam majlis penutupan konvensyen tersebut, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan KPKT, YBhg. Dato’ Mohd. Fadzli Mohd. Kenali menyarankan agar semua PBT mesti mengorak langkah bersama-sama KPKT dengan menunjukkan komitmen tinggi dan berdaya maju dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Tegas beliau,
“Hanya melalui perkhidmatan yang lebih baik, Malaysia akan menuju negara maju dan mencapai aspirasi Malaysia Madani seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.”
Menurut YBhg. Dato’ Mohd Fadzli, kecemerlangan berpaksikan Malaysia Madani amat penting agar perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat sentiasa berkualiti dan memenuhi jangkaan mereka. Bagi beliau, konvensyen yang berlangsung selama dua hari itu diharapkan dapat mencambahkan lagi pelbagai idea, sekaligus menghasilkan perspektif baharu untuk melangkah ke hadapan dalam aspek perancangan bandar.
“PBT tidak hanya berfungsi sebagai pelaksana dasar, malah turut berfungsi sebagai ejen perubahan negara yang mampu memacu pembangunan selaras dengan sinergi Madani demi membina sebuah negara yang lebih makmur, harmoni dan sejahtera, jelas beliau lagi.
Konvensyen yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan PBT dari seluruh negara dengan tujuan untuk meningkatkan kerjasama serta perkongsian strategi antara PBT dalam pelbagai aspek perancangan demi kepentingan rakyat. Konvensyen ini menghimpunkan sebanyak 140 buah PBT yang terdiri daripada 1115 orang peserta termasuklah dalam kalangan Datuk Bandar, Yang Dipertua, ahli Majlis dan pengurusan tertinggi PBT.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Sri Haji Fadillah Haji Yusof bersama-sama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Puan Hajah Aiman Athirah Sabu telah melancarkan Inisiatif pendigitalan KPKT pada Majlis Perasmian Konvensyen PBT 2024.
Dalam konvensyen tersebut, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming turut menyampaikan Anugerah Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT)2024 kepada para pemenang.
Pelbagai slot sinergi diadakan pada setiap sesi yang berlangsung selama dua hari. Antaranya termasuklah Sinergi Pembangunan Bandar; Sinergi Pelancongan di PBT; Sinergi Pengurusan Perniagaan; Sinergi Pengurusan Persekitaran serta Sinergi Penguatkuasaan.
Sementara itu, wakil DBP, Perancang Bahasa dari Bahagian Penguatkuasaan, YBrs. Encik Hasanul Isyraf Mohammad telah membentangkan kertas kerja menerusi slot kedua dalam Sesi Sinergi Pengurusan perniagaan (DBP Sah Bahasa) pada pagi tadi.
Antara tetamu yang hadir dalam majlis penutupan petang tadi ialah Ketua Setiausaha KPKT, YBhg. Datuk Wira M Noor Azman Taib; Pengarah Kanan Bahagian Pendigitalan Kerajaan, Encik Firdaus Ghani; Datuk Bandar Petaling Jaya, YBrs. Tuan Haji Mohamad Zahri Haji Samingon; Presiden Kongres Kesatuan Kerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), YBhg. Datuk Dr. Haji Adnan Mat; Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha, pegawai KPKT serta jemputan khas.