Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPulau Pinang – Semangat Nan Abadi merupakan sebuah buku yang telah mendedahkan kepada khalayak tentang peri pentingnya keperluan untuk memartabatkan bahasa Melayu dan menjadi pemangkin kepada perpaduan bangsa selain kompilasi pengalaman staf Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) yang berlaku sepanjang 25 tahun ini.
Buku yang dilancarkan pada Majlis Kemuncak Sambutan Jubli Perak DBPWU di Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia (USM) itu baru-baru ini juga meraikan kejayaan usaha pemartabatan bahasa, sastera dan persuratan kebangsaan di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dari tahun 1999 hingga kini.
Semangat Nan Abadi menjadi bukti betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh DBP Wilayah Utara Semenanjung Malaysia.
Buku yang mengandungi 229 halaman merakamkan hanya sekelumit kisah dan kompilasi pengalaman kakitangan DBPWU. Penerbitan khas ini merakamkan sebahagian kecil daripada usaha tersebut yang melibatkan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan.
Bersempena dengan majlis yang berlangsung pada 26 Oktober 2024 lalu, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak telah merasmikan pelancaran buku ini. Beliau turut menitipkan harapan agar masyarakat sentiasa cakna terhadap perkembangan bahasa, sastera dan persuratan serta melibatkan diri secara langsung dalam kegiatan bahasa, sastera dan persuratan tanah air yang dianjurkan di negara ini.
Antara kegiatan lain yang diadakan bersempena dengan sambutan 25 tahun DBPWU termasuklah pertandingan mewarna, mesra secangkir kenangan pada sudut penulis DBPWU dan pameran sambutan 25 tahun bermula dari Oktober 2024 hingga Mac 2025.
Majlis kemuncak menyaksikan para penonton juga disajikan dengan persembahan teater bertajuk AciPatmabi yang mengisahkan perjuangan seorang wanita yang cuba menyelamatkan tanah, harta dan maruah penduduk peribumi Pulau Pinang daripada tergadai oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Turut hadir dalma majlis tersebut ialah mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, YBhg Tan Sri Koh Tsoo Koon; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan,; Naib Cancelor USM, YBhg. Porf. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Md Johari Hassan; Pengarah DBP Wiayah Utara, YBrs. Encik Armin Salleh, Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar dan pegawai-pegawai kanan DBP serta staf USM.