29 Oktober 2024, 14:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Lebih 30 premis diperiksa dan lima sesi penguatkuasaan pendidikan diadakan untuk pemilik atau wakil premis berkaitan dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) di sekitar Putrajaya, petang semalam. 

Sebanyak 60 poster berkaitan dengan Akta 852 turut diedarkan semasa sesi Walkabout Khas Operasi Penguatkuasaan Akta 852 yang diterajui oleh Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan.

Menurut kenyataan media oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), operasi ini bertujuan untuk memastikan pemilik perniagaan yang menjual rokok elektronik mematuhi peraturan larangan promosi, pengiklanan dan kawalan produk merokok. 

Akta 852, yang berkuat kuasa mulai 1 Oktober lalu, meliputi peraturan berkaitan dengan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan dan larangan merokok (termasuklah rokok elektronik) di tempat awam.

Gerai serbaneka antara premis yang dikunjungi dalam operasi penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 di Putrajaya.

Operasi berkenaan yang melibatkan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pejabat Kesihatan Putrajaya dilaksanakan di Presint 15 untuk memastikan pematuhan terhadap larangan promosi, pengiklanan dan tajaan, serta kawalan penjualan dan penggunaan produk merokok, terutamanya rokok elektronik dalam kalangan belia dan di kawasan larangan merokok. 

Penguatkuasaan pendidikan turut diberikan kepada pengusaha dan pekerja premis yang menjual produk rokok dan rokok elektronik di kedai serbaneka.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Penyakit Tidak Berjangkit) KKM, YBrs. Dr. Noraryana Hassan dan Ketua Sektor Inspektorat dan Perundangan, Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam KKM, Ts. Mohamad Ridzuan Mohamad Salleh.

Kredit Foto: Media Kementerian Kesihatan Malaysia
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.