31 Oktober 2024, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menyerahkan bingkai potret TYT YDP Negeri Sarawak dengan disaksikan oleh Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Anuerah Sastera Sarawak Ke-11, YB Datuk Dr. Annuar Rappa’ee; Ahli Lembaga Pengelola DBP, Dato’ Dr. Jeniri Amir; Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Abang Julai.

Kuching – Sejurus selesai majlis pengiktirafan kepada para penerima Anugerah Sastera Sarawak Ke-11 malam tadi, Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua (YDP) Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkenan menerima cenderamata yang menampilkan wajah beliau sebagai tokoh muka depan majalah Dewan Masyarakat Bil.10 2024 (Oktober) dalam sesi khas yang berlangsung di Bilik Kenamaan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Rencana utama Dewan Masyarakat Bil.10 2024 (Oktober) memfokuskan inti pati ucapan beliau bersempena dengan majlis Syarahan Negarawan anjuran Bahagian Promosi dan Pengiktirafan yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan bahasa dan Pustaka (DBP) pada Ogos lalu.

Bingkat potret TYT YDP Negeri Sarawak dan cenderamata iringan berupa bahan terbitan DBP disampaikan oleh Ketua Pengarah DBP, Yang Berusaha Dr. Hazami Jahari dengan disaksikan oleh Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Anuerah Sastera Sarawak Ke-11, Yang Berhormat, Datuk Dr. Annuar Rappa’ee; Ahli Lembaga Pengelola DBP, Dato’ Dr. Jeniri Amir; Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Abang Julai serta tetamu kenamaan yang lain.

Rencana utama Dewan Masyarakat mengangkat Syarahan Negarawan berjudul “Literasi Sejarah Membijaksanakan Bangsa” yang disampaikan oleh TYT YDP Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai fokus utama pada bulan ini, selain menampilkan Ahli Lembaga Pengelola DBP, Dato’ Dr. Jeniri Amir sebagai penulis utama.

Sesi pertemuan khas DBP bersama-sama TYT YDP Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar selepas berlangsungnya majlis Anugerah Sastera Sarawak Ke-11.

Sebelum itu, beliau hadir menyempurnakan Anugerah Sastera Sarawak Ke-11 di Dewan Santapan, DUN Sarawak bersama-sama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Dewan Masyarakat merupakan naskhah fizikal yang diterbitkan oleh DBP sejak September 1963, telah banyak mengetengahkan tokoh ternama negara yang bergiat dalam pelbagai lapangan seperti politik, sosial, ekonomi, agama, budaya, undang-undang, penididikan, seni dan pelbagai lagi sebagai tokoh muka depan menerusi isu tertentu.

Majalah terbitan DBP yang menampilkan Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai tokoh muka depan semasa menyandang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada tahun 2021.

Sebagai rekod, TYT YDP Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar pernah ditampilkan sebagai tokoh muka depan majalah Dewan Ekonomi terbitan Februari tahun 2021 semasa beliau mengemudi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebagai Menteri.

Buku edisi terbaharu TYT YDP Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang diterbitkan oleh DBP.

Beliau turut menghasilkan beberapa buah buku dengan DBP. Antaranya termasuklah Falsafah Moral Ilmu Berpengakap (2007) dan Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen Malaysia Edisi Ketiga (2024) yang turut mengadakan Bicara Buku tersebut serentak bersama Syarahan Negarawan tempoh hari.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.