2 November 2024, 14:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam suatu kenyataannya semalam memaklumkan bahawa pihaknya akan melaksanakan Operasi Khas Motosikal Tahun 2024 selama dua bulan bermula 1 November hingga 31 Disember 2024 di seluruh negara terhadap penunggang dan pemilik motosikal.

Pihak JPJ akan memfokuskan kepada lapan kesalahan utama dalam pelaksanaannya bagi mencapai objektif keseluruhan operasi, iaitu meminimumkan kadar kemalangan dan kematian selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia.

Antara lapan kesalahan utama tersebut termasuklah tiada lesen memandu, tiada atau tamat tempoh lesen kenderaan motor (LKM), tiada perlindungan insurans, perbuatan melanggar isyarat lalu lintas (lampu merah), perbuatan mengubah suai kenderaan secara berlebihan, tidak memakai topi keledar, lumba haram dan kesalahan lain (teknikal).

Menurut Ketua Pengarah JPJ Malaysia, YBhg. Datuk Aedy Fadly Ramli, pelaksanaan operasi tersebut adalah berdasarkan pematuhan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.

Pelaksanaan operasi tersebut berikutan daripada statistik yang membimbangkan menerusi peningkatan kadar kemalangan dengan kematian melibatkan motosikal sebanyak 70 peratus dengan 1,908 kes yang telah direkodkan secara bulanan oleh pihak Polis Diraja Malaysia.

“Untuk menyasarkan pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh suku ketiga dan keempat bagi tahun 2024, strategi penguatkuasaan secara berfokus ini adalah untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap penunggang dan pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan yang sedang berkuat kuasa”, ujar beliau.

Justeru, pihak JPJ memohon kerjasama pengguna jalan raya khususnya penunggang dan pembonceng motosikal untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan serta mengamalkan sikap toleransi bersama-sama pengguna yang lain demi keutamaan keselamatan di jalan raya.

Pihak JPJ turut menyeru orang awam untuk melaporkan aduan secara terus atau masa nyata (real time) menerusi aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau e-mel [email protected] berserta dengan butiran lengkap aduan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.