28 November 2024, 19:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Peranan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) adalah amat signifikan dalam menyumbang kepada keterjaminan makanan negara, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu. Menurut beliau, IPT berperanan melahirkan modal insan terlatih, menyokong penyelidikan dan inovasi serta menggalakkan pemodenan pertanian pintar melalui penggunaan teknologi mampan.

Dalam ucapan perasmiannya di Sidang Selari 7 Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS) yang berlangsung pagi ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), YB Datuk Seri Mohamad menekankan cabaran besar yang dihadapi Malaysia dalam memastikan bekalan makanan yang stabil dan mencukupi di tengah-tengah perubahan iklim dan ketidakstabilan ekonomi global.

“Kerapuhan sistem makanan negara dalam mendepani krisis ini menuntut perubahan besar dari segi polisi dan struktur. Empat dimensi keterjaminan makanan, iaitu ketersediaan, kebolehcapaian, keselamatan makanan dan pemakanan, serta kestabilan dan kemampanan, perlu ditangani dengan teliti,” ujar beliau .

Beliau turut menggariskan komitmen Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk terus melaksanakan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025. Program-program ini, kata beliau, penting untuk menggalakkan produktiviti, daya tahan dan inovasi dalam sektor pertanian.

“Dalam era globalisasi dan perubahan iklim, cabaran dalam memastikan keterjaminan makanan semakin kompleks. Oleh itu, pelbagai pihak berkepentingan perlu mengambil langkah proaktif untuk memastikan kelangsungan bekalan makanan dapat disediakan kepada seluruh rakyat Malaysia,” ujar beliau.

Beliau turut menggesa kerjasama menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan, komuniti tani dan masyarakat umum untuk memperkukuh kestabilan sistem makanan negara.

“Impaknya adalah peningkatan produktiviti, penambahbaikan pendapatan golongan sasar dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” tambah YB Datuk Seri Mohamad.

Sidang MyIDEAS, anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), menjadi platform penting untuk percambahan idea dan penyelesaian kepada isu kritikal keterjaminan makanan.

Antara yang hadir dalam sesi ini adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM, YBhg. Datuk Badrul Hisham Muhammad; Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), YBhg. Dato’ Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohammad Sadullah dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan UPM, YBhg. Profesor Dr. Mohd Adzir Mahdi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.