28 November 2024, 19:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Festival Idea Putrajaya bukan sekadar ruang meraikan perbezaan pandangan, tetapi medan mencurahkan idea-idea baharu yang teguh dengan nilai murni, kemanusiaan dan keadilan.

“Festival ini meraikan perbezaan pendapat dan luahan pandangan yang memperlihatkan peserta program digalakkan untuk mencurahkan apa-apa sahaja idea sebanyak mungkin, tetapi mesti berlandaskan martabat, harakat dan darjat,” ujar beliau dalam ucapan perasmian di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), petang ini.

YAB Dato’ Seri Anwar menekankan kepentingan untuk memastikan idea-idea yang dicetuskan mesti bebas daripada kelecehan dan kedangkalan ilmu, yang menurut beliau idea yang tidak berasaskan ilmu sering mengapi-apikan hubungan masyarakat majmuk di negara ini.

“Percambahan idea mesti berakar kepada nilai kemanusiaan dan kebaikan, kerana kecamukan idea yang tidak berasas boleh membawa kerosakan,” kata beliau, menambah bahawa idea tanpa tindakan ibarat pohon yang tidak berbuah. 

Menurut beliau, idea yang dicetuskan harus tercerna dengan hati nurani yang baik dan ada pemupukan nilai dan budaya yang murni kerana pencernaan idea tanpa asas nilai akan bererti kerosakan dalam bentuk kegalauan pemikiran.

Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan negara perlu disokong oleh pembaharuan yang “mengakar ke bumi dan menggapai ke langit” dengan berpaksikan jati diri bangsa, budaya dan bahasa, di samping mengintegrasikan kemajuan teknologi dan kelestarian alam.

“Anak-anak muda yang hadir hari ini harus melahirkan idea yang menyatukan negara bangsa, mempromosi nilai kemanusiaan dan memberikan makna kepada kehidupan, demi masa depan yang lebih baik,” tambah beliau.

Festival Idea Putrajaya, yang menurut YAB Dato’ Seri Anwar adalah langkah permulaan yang baik dan dicadangkan untuk dijadikan acara tahunan bagi menggalakkan daya cipta, kreativiti dan pemikiran kritikal dalam kalangan belia.

Majlis perasmian itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Wong dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.

Festival ini dijangka menjadi platform untuk membarakan pemikiran baharu dan membina kerangka idea yang memacu ke arah pembangunan mampan, berasaskan nilai luhur dan keyakinan yang kukuh.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.