30 November 2024, 14:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Pengguna media sosial dinasihatkan agar mempunyai sikap bertanggungjawab ketika berkongsi maklumat berkaitan dengan banjir atau bencana.

“Pastikan setiap gambar atau video yang dimuat naik disertakan dengan tarikh, masa dan lokasi yang jelas.”

Perkara ini bukan sahaja membantu pihak berkuasa mendapatkan gambaran sebenar tetapi juga mengelakkan kekeliruan akibat penyebaran maklumat palsu.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka, pada malam tadi.

Keberangkatan Tuanku Raja Muda disambut oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Tuan Ku Chik Ku Isa; Ketua Polis Daerah (OCPD) Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Lefttenan Koperal (PA) Tuan Mohd Izaimi Md Daud.

Baginda turut menyeru agar mangsa banjir berpindah ke pusat pemindahan yang telah disediakan demi memastikan keselamatan dan kebersihan terjamin serta mendapat akses mudah kepada bantuan logistik.

Ujar baginda,

Meskipun mungkin sukar untuk meninggalkan kediaman, keutamaan perlu diberikan kepada nyawa dan kesejahteraan keluarga.

Dalam majlis yang sama, Tuanku Raja Muda Perlis turut berkenan menyampaikan sumbangan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berupa peralatan solat kepada pihak pengurusan PPS tersebut.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meninjau keadaan penduduk kampung yang terlibat dengan banjir di PPS SK Guar Nangka.

Sebanyak 22 buah keluarga melibatkan 73 individu ditempatkan di PPS tersebut sejak 27 November yang lalu.

Mereka terdiri daripada penduduk dari kawasan sekitar seperti dari Kampung Rambai, Kampung Banggol Sena, Kampung Gial, Kampung Bukit dan Kampung Kuala Tunggang.

Terdahulu, baginda turut berkesempatan meninjau beberapa kawasan yang dialami banjir termasuklah Kampung Titi Besi Arau dan Kampung Rambai.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.