11 Disember 2024, 14:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penggubalan Rang Undang-Undang Perkongsian Data (RUUPD) yang dirangka oleh Jabatan Digital Negara (JDN) di Dewan Rakyat menjadikan Malaysia sebagai tumpuan pemacu negara digital.

Menurut kenyataan JDN, hasrat penggubalan RUUPD 2024 adalah untuk membenarkan perkongsian data dalam sektor awam dilaksanakan yang merupakan tambahan kepada peruntukan undang-undang bertulis lain berkaitan serta berupaya memberikan nilai tambah dalam penyampaian perkhidmatan awam jangka masa panjang yang berteraskan kecerdasan buatan.

Ujar JDN,

Keberhasilan RUU ini juga sejajar dengan pengwujudan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) yang akan diluncurkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim  pada 12 Disember 2024.

Dalam kenyataan tersebut, JDN menyatakan bahawa kewujudan Akta Perkongsian Data 2024 bertindak sebagai mekanisme perundangan dan tambahan kepada peruntukan-peruntukan sedia ada yang mengandungi obligasi kerahsiaan serta komponen melindungi data-data tertentu.

Sehubungan dengan itu, kerajaan komited untuk melaksanakan islah (pembaharuan) melalui RUU berkenaan di mana berupaya menambah baik tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap dan berkesan melalui undang-undang yang komprehensif.

Menerusi kenyataan itu juga, JDN turut memperkenalkan Akta Perkongsian Data 2024  yang mengandungi  lima bahagian dan 29 fasal perundangan pada tahun ini yang memfokuskan  kepada tiga sasaran utama iaitu, kerajaan, ekonomi negara dan masyarakat.

“JDN merupakan agensi sebagai pemacu pendigitalan penyampaian perkhidmatan kerajaan memainkan peranan utama dalam memantapkan perkhidmatan digital di mana perkongsian data antara agensi merupakan agenda dalam penyediaan perkhidmatan merentas agensi yang bersepadu, inklusif dan selamat seiring dengan Anjakan Strategi Digital First (ASDF) yang telah diluncurkan pada 6 Jun 2024 yang lalu,” katanya.

Oleh itu, JDN akan menjadi agensi pengawal selia dalam pelaksanaan akta ini kelak selaras dengan peranannya dalam pendigitalan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.