Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Rakyat semalam telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2024 dan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2024 untuk menangani isu perbuatan buli secara khusus dan menyeluruh.
Kedua-dua RUU tersebut dibacakan kali kedua dan ketiga oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Azalina Othman Said bertujuan untuk meminda beberapa peruntukan dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) yang sedia ada.
“Pindaan undang-undang ini merupakan langkah penting yang diambil oleh kerajaan MADANI untuk melindungi rakyat Malaysia daripada ancaman buli yang semakin meningkat,” kata beliau ketika membacakan RUU tersebut kali kedua di Parlimen.
“Perdana Menteri menekankan bahawa isu buli tidak boleh dipandang ringan kerana perkara tersebut antara lain memberikan impak psikologi seperti penderaan mental sehingga mengancam nyawa dan keselamatan individu yang mengalaminya,” tegas beliau lagi.
Menurut beliau, kes tragis yang berlaku kepada seorang pempengaruh sebelum ini, iaitu mendiang Rajeswary Appahu telah meninggal dunia kerana mengalami tekanan yang melampau akibat perbuatan buli siber, namun hukuman kepada pihak tertuduh setakat ini hanyalah denda maksimum sebanyak RM100 di bawah Seksyen 14, Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.
“Kes ini menuntut kita untuk memperkenalkan pindaan undang-undang yang lebih tegas termasuk menetapkan hukuman yang lebih berat kepada pelaku buli siber agar kes yang serupa tidak berulang lagi,” kata beliau.
“Oleh itu, pindaan undang-undang ini akan memperkenalkan langkah pengawasan yang lebih ketat, laporan segera dan hukuman berat kepada pelaku, di samping mewajibkan program kesedaran dan sokongan kaunseling khasnya di institusi-institusi pendidikan,” ujar beliau.
Pindaan ini bukan sahaja dapat melindungi individu daripada ancaman buli tetapi juga memastikan negara kita mempunyai kerangka undang-undang yang dikemas kini selaras dengan cabaran semasa dan sesuai untuk melindungi setiap lapisan masyarakat dalam dunia digital yang semakin kompleks.
Tambah beliau, langkah tersebut bukan sahaja memperkukuh sistem perundangan negara tetapi memberikan keadilan kepada mangsa buli yang telah lama menunggu perlindungan menerusi undang-undang yang tegas.
Sementara itu, antara cadangan penambahbaikan yang dilaksanakan dalam pindaan Akta 574 termasuklah mewujudkan peruntukan baharu di bawah Seksyen 507 bagi kesalahan berkaitan dengan buli, iaitu perbuatan yang menyebabkan gangguan, kemurungan, ketakutan atau kebimbangan kepada seseorang.
Pada masa yang sama, pindaan Akta 593 yang melibatkan Jadual Pertama berbangkit daripada penggubalan peruntukan baharu di bawah Seksyen 507, Akta 574 dengan memasukkan butiran baharu berhubung dengan pindaan akta tersebut.