Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPerlis – Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis menerusi Jawatankuasa Program bersama-sama Persatuan Prihatin Negeri Perlis (CommUniCare) telah menyantuni murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Oran, Perlis menerusi penganjuran Program UiTM Perlis@Komuniti: Legacy of Arau, 100 Years Quest di Sekolah Kebangsaan Oran.
Dalam program tersebut, Pengarah Program UiTM Perlis, Puan Intan Balqis Nadzri berkata, sebanyak 28 orang pelajar bagi kod Kursus MGT538 Pembangunan Diri dan Etika yang diketuai oleh beliau dan tujuh orang ahli dari CommUniCare telah menyertai program ini.
“Program Tanggungjawab Sosial Masyarakat (CSR) ini bertujuan untuk menyantuni murid tersebut, sekali gus memberikan sumbangan kepakaran dan khidmat masyarakat kepada murid di sekolah luar bandar.
“Beberapa aktiviti menarik diadakan seperti senamrobik, Latihan dalam Kumpulan (LDK), program motivasi, serta program Eksplorasi Sains khusus untuk pelajar di sekolah ini,” katanya.
Tambah beliau, penganjuran program tersebut telah memberikan manfaat kepada lebih 143 orang murid di sekolah tersebut yang terdiri daripada murid tahun 4 dan 6.
“Sejumlah lebih RM2000 telah berjaya dijana oleh seluruh ahli jawatankuasa melalui pelbagai aktiviti seperti jualan makanan antara kolej, tayangan amal, tajaan individu serta kutipan sumbangan daripada warga kampus yang kemudiannya digunakan sepenuhnya untuk melaksanakan program ini.” ujar beliau semasa mengakhiri ucapan.
Pada masa yang sama, Guru Besar SK Oran, Yang Mulia Tengku Hazleen Binti Tengku Azman merakamkan penghargaan kepada pihak UiTM Cawangan Perlis yang berbesar hati untuk mengadakan program CSR buat julung kalinya di sekolah tersebut.
Setinggi penghargaan diucapkan khususnya kepada Pihak Pengurusan UiTM Cawangan Perlis dan pihak CommUniCare atas inisiatif mengadakan program CSR ini.
“Saya mengharapkan agar lebih banyak program seumpama ini akan dijalankan di sekolah dan kerjasama daripada UiTM Cawangan Perlis dapat terus dipergiatkan,” kata beliau.
Sementara itu, Pengerusi CommUniCare, Encik Abdul Hapes Mohammed ketika ditemui di program tersebut juga merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan sekolah atas kesudian menerima rombongan pihak universiti dan CommUniCare.
“Mewakili Jawatankuasa Program, kami amat menghargai komitmen tinggi dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program ini dengan pelibatan, sokongan dan kerjasama jitu yang telah diberikan oleh pihak sekolah.
“Semoga program ini akan meninggalkan impak yang positif kepada seluruh warga sekolah dan kerjasama yang terjalin ini akan diteruskan pada masa akan datang,” ujar beliau.
Turut hadir semasa majlis perasmian, Prof. Maya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Penasihat CommUniCare, barisan Guru Kanan SK Oran dan barisan pensyarah UiTM Cawangan Perlis.