1 November 2021, 14:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dengan bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera”, Belanjawan 2022 yang dibentangkan pada 29 Oktober 2021 mendukung tiga paksi utama, iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan. Dalam strategi memulihkan kehidupan dan mata pencarian, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan dalam inisiatif ketiga, iaitu Pendidikan Berkualiti untuk Semua.

Berpegang kepada falsafah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjadi penerima peruntukan terbesar, iaitu sebanyak RM52.6 bilion atau 16 peratus daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan. Sudah pasti hal ini menggembirakan warga KPM sendiri kerana melalui pendidikanlah generasi muda dididik sebagai pemimpin masa hadapan. Perkara utama yang dititikberatkan dalam belanjawan kali ini ialah persiapan anak-anak ke sekolah secara bersemuka pada tahun 2022. Umum sedia maklum, selepas sekian lama menjalani pengajaran dan  pembelajaran di rumah (PdPR), keperluan anak-anak kembali ke sekolah perlu disediakan seperti sebelum pandemik COVID-19 melanda negara. Baju dan kasut yang tidak lagi muat perlu diganti baharu. Sehubungan dengan itu, kerajaan memperuntukkan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 untuk dimanfaatkan oleh 3 juta murid yang layak seterusnya meringankan beban ibu bapa khususnya yang terjejas akibat pandemik.

Apabila sesi persekolahan bersemuka bermula dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KPM, sudah tentu suasana pembelajaran yang kondusif untuk murid amat diperlukan. Peruntukan sebanyak RM1.0 bilion disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah. Hal ini meliputi sekolah tahfiz, institusi pondok yang berdaftar, sekolah agama rakyat, dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK). Sekolah daif juga tidak ketinggalan apabila peruntukan untuk menaik taraf sekolah tersebut juga dinaikkan. Sekolah berkeperluan khas turut diberikan perhatian dalam usaha memperkasa agenda pendidikan khas. Maka itu, kerajaan menyediakan sebanyak RM50 juta bagi membiayai pembelian peralatan mengajar dan menambah baik kemudahan sekolah berkeperluan khas.

 Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar sebanyak RM100 disediakan untuk 400 ribu  guru sekolah di KPM. Hal ini sebagai menghargai jasa guru yang menyediakan bahan mengajar tambahan kepada murid semasa tempoh pandemik. Umum mengetahui sewaktu PdPR berlangsung, para guru memainkan peranan mereka dalam memastikan setiap anak murid tidak tercicir daripada mendapat pendidikan formal.

Dengan perhatian yang diberikan oleh kerajaan terhadap KPM, diharapkan  tahun 2022 akan memberikan sinar kepada warga KPM khususnya murid dan guru yang kembali menjalani pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dengan SOP yang ketat. Kepentingan dan keselamatan murid dan warga sekolah akan sentiasa menjadi keutamaan KPM walaupun negara akan beralih ke fasa endemik akan datang.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.