Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeri Iskandar – Landskap pendidikan negara terus diperkukuh menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Pendidikan Pintar Cerdas (PPC) antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) yang berlangsung di Undercroft, UTP, Seri Iskandar, Perak.
Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen berterusan antara kedua-dua pihak dalam memperkasakan pembangunan pendidikan pintar cerdas, selaras dengan usaha melahirkan generasi berpotensi tinggi yang mampu bersaing pada peringkat global.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Dato’ Wan Hashim Wan Rahim, dan Presiden UTP, YBrs. Ir. Mohamed Firouz Asnan, serta disaksikan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, YBrs. Dr. Zakiah Shafiee, dan Ketua Pegawai Akademik (Provos UTP), YBrs. Profesor Dr. Benjamin Colin Cosh.
Kerjasama strategik ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh pelaksanaan Pendidikan Pintar Cerdas (PPC) yang berpusat di Akademi Sains Pendang (ASP) sebagai hab kecemerlangan pendidikan pintar cerdas negara.
Melalui gabungan kepakaran KPM dan UTP, inisiatif ini memfokuskan kepada pembangunan bakat murid yang berpotensi tinggi, perluasan aktiviti kurikulum, pemerkasaan guru, penyelidikan dan inovasi, pembangunan infrastruktur masa hadapan, serta pengukuhan jaringan strategik dengan universiti dan industri.
Kerjasama ini turut membuka peluang kepada murid untuk menjalinkan kerjasama dengan ahli akademik, penyelidik dan industri, selain meningkatkan akses kepada program pensijilan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat yang lebih menyeluruh.
Kerjasama ini juga dijangka memperkukuh pembangunan ekosistem PPC negara melalui penyediaan peluang pembelajaran bertaraf global, penghasilan penyelidikan dan inovasi murid, serta pembangunan bakat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Pemilihan UTP sebagai rakan strategik KPM adalah berasaskan reputasi dan rekod kecemerlangan universiti ini dalam bidang penyelidikan, iaitu STEM, di samping mempunyai hubungan erat dan kolaborasi yang mantap dengan pelbagai penggiat industri.
Keupayaan ini diyakini dapat menyokong aspirasi KPM dalam membangunkan ASP sebagai hab PPC negara yang mampu melahirkan pemikir ulung yang berintegriti, saintis, inovator yang berdaya saing dan pemimpin masa hadapan bertaraf global.
Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035, KPM akan terus memperkukuh kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, industri dan rakan strategik bagi memastikan pembangunan bakat murid Malaysia dilaksanakan secara holistik, mampan dan berimpak tinggi demi kemajuan negara.