Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Gedong – Kembara MADANI Bahasa dan Sastera bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-70 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diteruskan kelangsungannya ke daerah Gedong dengan penganjuran program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Kadir Gedong dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gedong melibatkan penyertaan 192 orang pelajar, hari ini.
Peserta program tersebut terdiri daripada 94 orang peserta MDK Dewan Pelajar dan 98 orang peserta MDK Dewan Siswa, mewakili 15 buah sekolah rendah dan sekolah menengah di sekitar daerah berkenaan.

Pelaksanaan inisiatif ilmu yang dianjurkan oleh DBP Cawangan Sarawak dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Simunjan itu memberikan penekanan terhadap penggunaan majalah terbitan DBP sebagai bahan bantu pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Langkah ini dilihat sebagai sokongan utuh terhadap pembelajaran Bahasa Melayu, selain berupaya menyemai budaya membaca dan menulis secara berkesan dalam kalangan pelajar.

Pada masa yang sama, Bengkel MDK untuk Guru turut diadakan dengan pelibatan sebanyak 11 orang pegawai PPD Simunjan dan 48 orang guru pengiring. Bengkel yang dikendalikan oleh Puan Saidatul Faiqah Samasu itu bermatlamat untuk memperkasakan kaedah penggunaan majalah terbitan DBP sebagai Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang lebih interaktif di dalam bilik darjah.
Bagi memastikan penyampaian ilmu lebih efektif, pelbagai aktiviti telah dirangka untuk memupuk minat peserta terhadap keindahan bahasa kebangsaan.
Antara pengisian aktiviti murid sekolah rendah termasuklah penghasilan ulasan buku, teka simpulan bahasa dan kuiz menara belon.

Bagi pelajar sekolah menengah pula, pemikiran mereka diuji menerusi aktiviti penulisan puisi mengikut tema, teka peribahasa, sinonim dan antonim, serta kuiz menara belon.
Kepelbagaian aktiviti yang diadakan ini bukan hanya membuktikan pembelajaran Bahasa Melayu boleh dilaksanakan dalam suasana yang kreatif dan menyeronokkan, malah pengisiannya sesuai dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagi menyemarakkan lagi sambutan ulang tahun tersebut, aktiviti Eksplorasi Bahasa turut dianjurkan di bawah kelolaan Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja (PSKR) DBP.

Cabaran bahasa ini melibatkan penyertaan sebanyak 98 orang peserta yang mewakili SMK Gedong, SMK Seri Simunjan Nombor 1 dan SMK Seri Sadong dengan masing-masing menunjukkan semangat juang yang tinggi sewaktu menjawab teka-teki yang diberikan.
Kumpulan Ayu Jelita dinobatkan sebagai juara Eksplorasi Bahasa, manakala tempat kedua dan tempat ketiga pula masing disandang oleh kumpulan High-5 Fighters dan The Kambing, yang membawa pulang hadiah iringan serta sijil penyertaan daripada pihak DBP.

Turut hadir memeriahkan Kembara MADANI Bahasa dan Sastera pada kali ini termasuklah Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Dr. Azizul Haji Ismail; Pengerusi Majlis Daerah Gedong, Encik Jamain Wahab; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Roziah Md Yunos; Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Puan Norhasmanalinda Mustapa, dan Pengetua SMK Gedong, Encik Hamdan Bujang.