Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBatu Caves – Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2025 mencatatkan keputusan yang membanggakan apabila Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) Nasional meningkat kepada 2.88 mata berbanding dengan 2.85 mata pada tahun 2024.
Pengumuman sidang media keputusan STPM 2025 telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) merangkap Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), YBhg. Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff yang berlangsung di Dewan Besar, Majlis Peperiksaan Malaysia, petang tadi.
Mengulas mengenai statistik data, beliau menjelaskan bahawa sebanyak 40,199 ribu calon telah mendaftar pada tahun 2025 dengan peratusan kehadiran sebanyak 94.89 peratus (38,144 calon).
Daripada jumlah calon yang hadir dalam peperiksaan STPM 2025, kebanyakan terdiri daripada calon aliran Sains Sosial, iaitu sebanyak 2,370 ribu calon, manakala mata pelajaran wajib Pengajian Am merekodkan bilangan calon tertinggi, iaitu sebanyak 38,083 ribu calon.
Jelas YBhg.Profesor Dato’ Dr.Md Amin Md Taff, PNGK Nasional bagi STPM 2025 melonjak sebanyak 0.03 mata kepada 2.88 mata berbanding dengan pada tahun 2024, sekali gus mencatatkan rekod tertinggi dan signifikan dengan peningkatan sebanyak 12.06 peratus sejak tahun 2013.
“Kecemerlangan keputusan ini digambarkan menerusi peningkatan bilangan calon yang mendapat PNGK penuh, iaitu sejumlah 1,336 ribu calon berbanding dengan 1,266 ribu calon pada tahun 2024,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa trend peningkatan ini konsisten dengan jumlah calon yang meraih 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang meningkat kepada 60 calon, serta bilangan calon yang mendapat 4A yang bertambah kepada 1,285 ribu calon.
Selain itu, peratusan longgokan calon bagi PNGK 3.75; 3.00; 2.75 dan 2.00 secara keseluruhan menunjukkan corak peningkatan dengan status kelulusan penuh gred C ke atas bagi lima dan empat mata pelajaran, meningkat kepada 77.64 peratus, sekali gus melayakkan 99.6 peratus atau sebanyak 38,128 calon dianugerahkan Sijil STPM 2025.
Berdasarkan prestasi keseluruhan mata pelajaran, kesemua 23 mata pelajaran yang ditawarkan dalam STPM 2025 berjaya mencatatkan kelulusan penuh 70 peratus. Mata pelajaran Bahasa Arab dan Bahasa Tamil menunjukkan lonjakan prestasi kelulusan melebihi 3.00 peratus, manakala mata pelajaran Literature in English dan Bahasa Cina merekodkan penurunan melebihi nilai peratusan yang sama, dan baki 19 mata pelajaran lain kekal sama seperti tahun lepas.