Diterbitkan pada 18 Jun 2026, 18:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Batu Caves – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited untuk terus memartabatkan sistem pendidikan Tingkatan Enam di negara ini menerusi pelaksanaan beberapa inisiatif strategik, termasuk pembukaan dua buah kolej baharu dengan penyediaan kemudahan pembelajaran yang lebih kondusif.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek menzahirkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian luar biasa yang ditunjukkan oleh para pelajar Tingkatan Enam, sekali gus membuktikan keberkesanan sistem prapuniversiti berkenaan.

“KPM kini dalam perancangan untuk melancarkan Kolej Tingkatan Enam di daerah Alor Setar dan Gombak. Langkah ini disusuli dengan pengagihan baucar buku berjumlah RM9.23 juta, serta penyediaan papan pintar (smartboard) bagi memastikan mereka mendapat kemudahan pendidikan yang lengkap dan sempurna,” ujar beliau.

Selain pengukuhan aspek akademik dan prasarana, KPM turut memberikan penekanan proaktif terhadap agenda kokurikulum bagi menyokong pemarkahan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) para pelajar.

“Usaha tersebut bakal direalisasikan menerusi penganjuran Karnival Kokurikulum Tingkatan Enam dan Pidato Piala Diraja Tingkatan Enam yang dijadualkan berlangsung pada Oktober hadapan.

“Kedua-dua program ini diyakini mampu menjadi platform terbaik untuk menyuburkan aspirasi serta membentuk gagasan kepimpinan dalam kalangan remaja,” tambah beliau lagi.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan majlis penyampaian  anugerah kepada para pelajar cemerlang STPM 2025 dan institusi cemerlang sebagai manifestsasi sokongan padu daripada pelbagai agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Dalam menyokong kelangsungan akademik, universiti awam menyediakan dua tajaan biasiswa penuh bagi yuran pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda yang dikhususkan buat Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025, tertakluk kepada kesesuaian kursus yang ditawarkan.

Sumbangan institusi diperkukuh oleh Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) yang menyalurkan peruntukan berjumlah RM105,000. Dana tersebut diagihkan kepada 10 Kolej Tingkatan Enam, 10 Pusat Tingkatan Enam Mod 2 dan Mod 3 Terbaik Kebangsaan, serta sebuah Pusat Tingkatan Enam Kategori Lonjakan Prestasi Terbaik masing-masing menerima alat bantuan mengajar bernilai RM5,000.00 ribu.

Sementara itu, Management and Science University (MSU) turut menzahirkan komitmen korporatnya melalui sumbangan bernilai RM60,000 kepada enam Kolej Tingkatan Enam serta enam Pusat Tingkatan Enam Mod 2 dan Mod 3 Terbaik Kebangsaan, dengan pemberian sebanyak RM5,000 bagi setiap penerima.

Kecemerlangan dalam mata pelajaran khusus turut mendapat perhatian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang turut menyumbangkan wang tunai sebanyak RM500 bersama baucar buku bernilai RM500 kepada Pelajar Terbaik Kebangsaan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.

Sharifah Nur Hazwani Wan Sapare dari SMK Methodist Sibu, Sarawak dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Kebangsaan Mata Pelajaran Bahasa Melayu STPM 2025.

Persatuan Sejarah Malaysia menganugerahkan sebanyak RM1,000 kepada Pelajar Terbaik Kebangsaan bagi subjek Sejarah. Manakala, Persatuan Kemajuan Bahasa Cina Malaysia dan Persatuan Antarabangsa Penyelidikan Tamil Malaysia masing-masing memberikan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada Pelajar Terbaik STPM 2025 Kebangsaan bagi mata pelajaran Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.

Bagi aspek kebajikan dan perlindungan pula, Co-opbank Pertama menaja Pelan Perlindungan Takaful Kemalangan Diri selama satu tahun kepada semua pelajar terbaik STPM 2025.

Agenda pendidikan inklusif turut diraikan apabila Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia menyumbangkan jam Braille khusus kepada Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi Kategori Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) Kurang Upaya Penglihatan (Buta dan Rabun).

Yang turut hadir dalam majlis penyampaian anugerah tersebut ialah Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (Pengurusan), YBhg. Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak serta Ketua Eksekutif  MPM, Encik Badrul Hisham Abdullah.

Kredit Foto: Astro Awani
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi