Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuching – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melakar sejarah gemilang apabila majlis kemuncak Sambutan Ulang Tahun Ke-70 DBP diraikan di bumi Kenyalang pada hari ini, dengan penegasan komitmen teguh untuk memperkasakan ekosistem bahasa Melayu merentasi era teknologi kecerdasan buatan (AI) serta pelestarian bahasa sukuan.
Majlis yang penuh gilang-gemilang itu mengangkat tema “Restu Jiwa Pahlawan” berlangsung di Hotel Pullman, Kuching dan dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Keberangkatan tiba beliau turut diiringi oleh Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Fauziah Mohd Sanusi.
Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan mewalili Yang Berhormat (YB) Menteri Pendidkkan dalam ucapan alu-aluannya menyifatkan bahawa pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah bagi edisi kali ini sarat dengan nilai sejarah dan perlambangan perpaduan negara.

“Pemilihan negeri Sarawak sebagai tuan rumah bagi sambutan kali ini bukanlah satu kebetulan. Pemilihan ini adalah simbolik utuhnya jambatan bahasa yang menghubungkan Semenanjung, Sarawak dan Sabah dalam satu semangat kebangsaan yang tidak bertepi,” jelas beliau di hadapan ratusan tetamu kehormat.
Mengulas mengenai hala tuju baharu DBP menerusi pelaksanaan Rancangan Strategik DBP 2026-2030, YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan menegaskan bahawa DBP menggalas matlamat besar untuk terus mengukuhkan kecintaan terhadap bahasa Melayu dan meningkatkan jati diri bangsa Malaysia.
Malah, beliau menekankan keperluan mendesak agar DBP terus kekal relevan dalam menguasai teknologi masa kini.
“Kita kini mendepani era perubahan yang sarat dengan rempuhan teknologi disruptif dan kecerdasan buatan (AI) pada era Revolusi Industri 4.0 ini. DBP tidak boleh sekadar menjadi pemerhati; kita mesti menjadi pemain utama dalam revolusi ini dari aspek bahasa dan persuratan,” tegasnya lagi.
Kemuncak sambutan bersejarah tersebut turut diwarnai dengan pelbagai persembahan seni dan kesusasteraan yang memukau para hadirin.
Antaranya termasuklah pementasan epik deklamasi Keranda 152 yang merupakan naskhah ikonik karya Sasterawan Negara Usman Awang, serta alunan lagu keramat Dewan Bahasa yang dijayakan dengan penuh emosi dan penghayatan oleh para pelajar Sekolah Seni Sarawak.
Acara di dewan utama kemudiannya melabuhkan tirainya dengan persembahan teaterikal yang bertajuk “Pendeta Za’ba: Jauhar Pahlawan Bahasa” kelolaan kumpulan produksi Semarak Kreatif.
Persembahan tersebut bertindak sebagai sebuah refleksi mendalam terhadap jasa dan pengorbanan tokoh ulung bahasa itu dalam meletakkan asas yang kukuh bagi perjuangan persuratan Melayu di rantau ini.
Bagi menyemarakkan lagi bahang sambutan Ulang Tahun Ke-70 ini, penganjuran di Kuching turut padat dengan kelangsungan pelbagai wacana ilmu dan kebudayaan. Antaranya termasuklah penganjuran wacana Bicara Bahasa Jiwa Bangsa serta Syarahan Tokoh Restu Jiwa Pahlawan yang telah disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato’ Dr. Jeniri Amir.
Selain pengisian keilmuan, inisiatif memasyarakatkan sastera terus diperhebat menerusi penganjuran Ekspresi Muzik Bahasa Jiwa Bangsa dan Malam Bahasa Jiwa Bangsa, yang bertindak sebagai platform ideal untuk menyatukan elemen hiburan, seni dan bahasa kebangsaan buat tatapan serta penghayatan seluruh lapisan masyarakat.
Agensi-agensi kerajaan, badan beruniform, institusi pengajian tinggi, sekolah rendah serta sekolah menengah di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Ketua-ketua Masyarakat dan Ketua Kaum turut serta memeriahkan Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-70 yang berlangsung pada hari ini.
Turut hadir memeriahkan majlis perasmian termasuklah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, YB Datuk Francis Harden Hollis; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Wan Hashim Wan Rahim; Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari; Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Dr. Azizul Haji Ismail; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, YBrs. Encik Omar Mahli serta Ketua-ketua Jabatan.