Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa anggapan atau perspektif bahawa bidang ketenteraan tidak sesuai kepada wanita adalah tidak lagi relevan.
Di sebalik sifat lemah lembut seorang ibu, ciri-ciri kepimpinan seorang wanita dapat dilihat melalui ketegasan dalam mendidik dan membimbing anak-anak.
Rata-rata wanita sekarang juga berpelajaran tinggi, mempunyai pekerjaan, berkedudukan baik, mempunyai sifat kepimpinan dan berkaliber dalam tugasan. Seseorang seharusnya diberi merit dan penghargaan berdasarkan pencapaian kendiri mereka dan bukanlah berdasarkan kepada aspek jantina sahaja.
Demikian titah baginda ketika berkenan merasmikan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF): Women in Search of Excellence – WiSE, Siri ke – 8 anjuran bersama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan YTF melalui platform Facebook UPNM dengan tajuk “Cabaran Wanita dalam Keselamatan”.

Terdahulu, Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah menyampaikan kata-kata aluan dalam program yang dihoskan oleh Pejabat Penolong Naib Canselor (Perkhidmatan, Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat) UPNM tersebut.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Penasihat DiRaja YTF dan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah menambah bahawa “Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah- kaum wanita seharusnya difahami sebagai seseorang yang mempunyai keyakinan, kecenderungan, minat dan perspektif yang pelbagai. Memberikan persepsi negatif sebelum memberikan peluang kepada wanita amat menyukarkan mereka untuk bekerjasama dengan orang lain. Hari ini, lebih ramai wanita diberi kepercayaan untuk mengemudi tampuk kepimpinan, baik dalam bidang ketenteraan dan keselamatan mahu pun dalam bidang lain seperti korporat dan pendidikan”.
Jelas Tuanku Raja Muda lagi, “Bagi wanita berkerjaya yang telah mendirikan rumah tangga dan mempunyai zuriat, mereka sentiasa mempunyai dilema sama ada memilih keluarga atau pun meneruskan kerjaya. Persefahaman antara suami isteri amatlah penting dan tugas serta peranan seorang ibu dan isteri mesti ditunjang oleh suami demi kebahagiaan bersama. Selain itu, dorongan dan sokongan orang yang rapat dan keluarga juga penting untuk menjaga kestabilan emosi dan mental seseorang. Hal ini demikian kerana ada sesetengah majikan mendesak pekerjanya untuk sentiasa komited dan kompeten dalam tugas dan tanggungjawab mereka. Polisi kerja dan kehidupan yang seimbang (work-life balance) akan membolehkan pekerja wanita memberikan tumpuan tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga masing-masing”.
Perasmian penutup webinar tersebut disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pengerusi YTF di akhir program.