Diterbitkan pada 24 April 2022, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – “COVID-19 telah mengubah landskap kehidupan di seluruh dunia.  Setelah dua tahun mengharungi dugaan ini, tiba masanya untuk masyarakat bangkit menjadikan keadaan lebih baik. Kita perlu menambah nilai dalam diri kita, terutamanya ilmu pengetahuan.”

Budaya membaca perlu terus subur dan hidup dalam jiwa masyarakat. Membaca akan melahirkan masyarakat generasi muda yang mencintai ilmu, berakhlak mulia, mentaati agama dan berkemahiran yang tinggi. Dengan membaca juga, minda kita menjadi lebih tenang dan dapat berfikir dengan lebih baik.

Titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam satu hebahan media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis selepas berkenan berangkat menghadiri aktiviti kayuhan berbasikal sempena “Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2022” peringkat Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), YTSP Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).

Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia merupakan satu acara tahunan yang disambut pada setiap 23 April seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Matlamatnya adalah untuk menggalakkan minat membaca, penerbitan dan hak cipta. Sambutan program ini mula disambut pertama kalinya pada 23 April 1995, iaitu 27 tahun yang lalu.

Dalam majlis tersebut, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, Azizi Janan menyeru masyarakat untuk terus menjadikan perpustakaan sebagai tempat riadah minda, yakni menyediakan pelbagai pilihan bahan bacaan bercetak dan kandungan subjek yang berbeza untuk dimanfaatkan oleh pembaca.

“Apabila seseorang itu berada di perpustakaan, maka ilmu pengetahuan dapat diterokai seolah-olah berada di serata pelusuk dunia.

“Lebih 52 juta bahan bacaan seperti e-buku, e-majalah dan e-suratkhabar serta e-pembelajaran juga boleh diakses secara percuma dihujung jari anda. Kandungan digital ini akan sentiasa ditambah dari masa ke masa,” ujar Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis mengatakan bahan bacaan tidak terhad kepada bahan fizikal sahaja, tetapi dapat dicapai menerusi laman portal u-Pustaka.

Beliau turut mengajak masyarakat di negeri Perlis supaya segera mendaftar sebagai ahli u-Pustaka dan terokailah dunia maklumat tanpa sempadan.

Pada masa yang sama, program ini dilakukan secara serentak dengan aktiviti “Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Bilangan ke 31 bagi tahun 2022”. Sebanyak RM700 diterima oleh Nurulanis Abd Rahman, Jafri Talib dan Saad Mat daripada keluarga asnaf, serta sekotak bahan makanan mentah “Kit MAIPs Peduli” dan juga satu pek beras daripada pihak MAIPs disumbangkan kepada mereka sempena aktiviti tersebut.

Raja Muda Perlis memberikan sumbangan kepada golongan asnaf di kawasan perkampungan Pauh, Perlis.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi