7 September 2023, 16:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini kian menjadi rebutan pelajar negara ini terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Perubahan trend ini disebabkan oleh masyarakat sudah melihat bahawa pendidikan TVET ini semakin mampu memberikan jaminan masa hadapan yang lebih baik.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmianp program Titian Kasih Mega 2023 Peringkat Kolej Vokasional Kangar.

Berangkat sama ke program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis ini ialah DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Menyambut keberangkatan tiba baginda berdua ialah Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra, Datuk Johari Mohd Darus; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Naharudeen Othman; Pengarah Kolej Vokasional Kangar, Encik Mohamad Yatim Abu Bakar; dan Ketua Penyelaras Program, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Tuanku Raja Muda Perlis bertitah bahawa pelajar lulusan TVET kini mempunyai peluang pekerjaan yang semakin cerah dan kebolehpasaran yang tinggi setara dengan pelajar lulusan pendidikan formal.

“Melihat kepada perkembangan yang berlaku di negara maju dan negara serantau, pendidikan vokasional di Malaysia telah melalui perubahan yang besar semenjak Transformasi Pendidikan Vokasional ini dilancarkan pada Januari 2012”.

“Usaha mengangkat martabat pendidikan vokasional di Malaysia akan dapat dicapai dengan jayanya melalui sokongan setiap lapisan masyarakat”, titah baginda yang juga Pengerusi YTSP Perlis.

Dalam majlis yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian program KV Insani Masyarakat MADANI. Objektif utama program ini adalah untuk mendekatkan pelajar kolej vokasional (KV) dengan masyarakat.

Program khidmat komuniti (CSR) ini menggunakan kepakaran pelajar KV sebagai sumbangan kepada masyarakat dalam pelbagai bidang seperti kimpalan, automotif dan lain-lain lagi.

Tetamu dan peserta yang hadir dalam program Titian Kasih Mega 2023 Peringkat Kolej Vokasional Kangar tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama-sama Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sebagai rekod, Kolej Vokasional Kangar juga telah menjadi Johan Kolej Vokasional Skills Peringkat Zon bagi tahun 2023 bagi enam bidang antaranya termasuklah Program Seni Reka Fesyen, Program Permesinan Industri Mechanical Engineering (CAD) dan Industrial Machining,  Program Teknologi Elektrik, Program Teknologi Kimpalan serta Program Teknologi Penyejukan dan Penyaman Udara.

Kolej ini juga telah berjaya mencapai keputusan akademik yang membanggakan apabila menunjukkan peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 1.28 dalam peperiksaan SPM 2022 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu berbanding dengan tahun sebelumnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.