20 Mei 2024, 17:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Kementerian Belia dan Sukan meluluskan peruntukan awal sebanyak RM200,000 bagi tujuan baik pulih dan naik taraf dewan lama di Kampung Seberang Top Pi, Kuala Perlis kepada Pusat Komuniti Belia di bawah program Rakan Muda.

Demikian sembah maklum oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Hannah Yeoh kepada Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam program Kayuhan MAIPs Peduli Kali ke-44 Tahun 2024 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kuala Perlis.

Berangkat sama ialah anakanda bongsu Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail. Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara, YBrs Dr. Zainah Shariff dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hai Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Menurut YB Hannah Yeoh, beliau berharap agar proses pelaksanaan berkenaan dapat disegerakan bagi memberikan impak kepada komuniti setempat khususnya kepada warga belia yang merupakan aset penting untuk masa hadapan.

“Saya berhasrat untuk jalinkan kerjasama antara pusat komuniti ini dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang dapat melaksanakan program pemerkasaan komuniti bagi meluaskan lagi impak pewujudannya,” jelas beliau.


YB Hannah Yeoh turut berkongsi keterujaannya apabila dapat bersama-sama dalam program turun ke lapangan yang diterajui sendiri oleh Tuanku Pemangku Raja Perlis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Dr. Zainah Sahriff berkongsi pandangan bahawa program seumpama ini penting dalam memastikan tiada pihak yang terpinggir dan berharap agar pemerkasaan belia dalam komuniti dapat dilaksanakan melalui beberapa entiti di bawah Kementerian Belia dan Sukan seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan lain-lain pada masa akan datang.

Pada akhir program, Tuanku Syed Faizuddin Putra menitahkan agar semua pihak menghargai golongan belia sebagai aset penting negara ini.

Titah Baginda, golongan belia perlu diberikan peranan penting seperti mempertahankan keselamatan negara, melaksanakan dan menjadi agen lonjakan ekonomi termasuklah terlibat dalam menentukan dasar dan hala tuju negara.

Tuanku Pemangku Raja Perlis diiringi delegasi dan peserta program kayuhan sedang menyantuni sebuah keluarga asnaf di sekitar Kuala Perlis.

Tuanku Pemangku Raja Perlis yang diiringi delegasi peserta program kayuhan, singgah sebentar bagi menyantuni tiga buah keluarga asnaf di sekitar Kuala Perlis di rumah masing-masing. Baginda turut berkenan berangkat ke tapak cadangan naik taraf dewan komuniti kepada pusat aktiviti belia serta menyaksikan aktiviti sepak raga tuju di Dewan Serba Guna Kuala Perlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.