Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) pada hari ini mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan Macau Scam yang tidak berputus asa dalam memperdayakan mangsa.
Menurut laporan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 556 kes yang melibatkan kerugian lebih RM15.26 juta berkaitan dengan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDNM telah disiasat bagi tempoh 1 Januari hingga 27 Mei 2021.
Dalam kenyataan tersebut, LHDNM menyatakan bahawa “Modus operasi yang digunakan oleh suspek adalah dengan cara menghubungi mangsa melalui telefon dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDNM. Suspek kemudiannya menyatakan bahawa syarikat atau perniagaan mangsa mempunyai tunggakan cukai yang perlu dilunaskan. Mangsa yang terkeliru dengan panggilan ini pada kebiasaannya akan membuat penafian, seterusnya panggilan tersebut akan disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) atau agensi penguat kuasa yang memaksa mangsa untuk membuat laporan rasmi.”
“Mangsa seterusnya dikaitkan dengan kegiatan jenayah lain seperti pengubahan wang haram, pengedaran dadah dan sebagainya sehinggakan mangsa menjadi panik dan diminta menyerahkan maklumat perbankan mereka. Mangsa mula menyedari mereka ditipu apabila mendapati wang dalam akaun mereka telah dipindahkan ke dalam akaun bank pihak ketiga dan suspek tidak dapat dihubungi semula,” demikian menurut kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, LHDNM menasihati orang awam agar lebih berhati-hati dan melakukan pengesahan terlebih dahulu dengan LHDNM jika menerima panggilan, e-mel mahupun surat yang meragukan dengan menghubungi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000/603-8911 1100 (luar negara), atau talian pegawai yang boleh disemak senarainya pada portal rasmi, www.hasil.gov.my, atau hadir ke cawangan LHDNM yang berdekatan.
LHDNM juga menegaskan bahawa agensi tersebut tidak membincangkan hal berkaitan dengan percukaian melalui panggilan telefon peribadi. Sebarang permohonan maklumat daripada pembayar cukai atau arahan pembayaran cukai tertunggak akan dilakukan secara teratur melalui surat atau e-mel rasmi LHDNM yang menggunakan domain @hasil.gov.my.