Diterbitkan pada 26 Januari 2022, 11:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
YB Datuk Mohamad Haji Alamin, Timbalan Menteri Pendidikan II semasa lawatan di Kolej Vokasional Keningau, Sabah.

Keningau – KPM sangat komited dalam usaha meningkatkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di semua institusi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), termasuklah kolej vokasional, kata Timbalan Menteri Pendidikan II, YB Datuk Mohamad Haji Alamin dalam tinjauan dan lawatan kerja di Kolej Vokasional Keningau semalam.

“Program merentasi kementerian ini selari dengan aspirasi kerajaan dalam RMK-12 baru-baru ini yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk memperkasakan TVET di negara kita.”

“Dengan inisiatif ini, kolej vokasional juga mampu bergerak pantas ke hadapan bersama-sama dengan kolej yang lain,” kata beliau ketika diwawancara.

Sesi wawancara bersama-sama dengan Timbalan Menteri Pendidikan II, YB Datuk Mohamad Haji Alamin.

Sebelum ini, beliau telah mengadakan lawatan ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau dan menerima beberapa pandangan untuk menaik taraf kampus tersebut.

Susulan daripada permohonan pihak Kolej Vokasional Keningau untuk menaik taraf dari segi struktur bangunan, beliau turut mengakui keperluan untuk penyelenggaraan kerana usia kolej tersebut agak lama. Oleh itu, KPM akan mempertimbangkan permohonan tersebut, ujar beliau.

Beliau turut menyampaikan sijil kepada pensyarah dan pelajar Kolej Vokasional Keningau yang telah memberikan sumbangan dalam menaikkan nama kolej pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Mengakhiri sesi wawancara itu, beliau menegaskan bahawa pihak KPM sangat komited untuk membela Murid-murid Berkeperluan Khas (MBK) kerana banyak insentif dan usaha dibuat oleh pihak KPM dengan memberi mereka ruang dan peluang yang lebih banyak dalam konteks pendidikan agar nasib mereka terbela dan tidak tertinggal di belakang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi