18 April 2022, 21:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Sesi penyerahan bendera alumni UPNM oleh Naib Canselor UPNM, YBhg. Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah sebagai satu simbolik merasmikan Misi Jelajah Berbasikal Solo Alumni UPNM ke Eropah.

Misi Jelajah Berbasikal Alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Eropah 2022 memperlihatkan graduan alumni UPNM sentiasa berusaha untuk meningkatkan nama universiti demi kecemerlangan bersama.

Misi Jelajah Eropah yang sepatutnya diadakan pada tahun 2020 terpaksa ditangguhkan akibat pandemik COVID-19. Namun begitu, kini misi ini akan direalisasikan dengan tujuan untuk memperkenalkan Malaysia dan UPNM kepada masyarakat tempatan bahkan pada peringkat global, selain daripada menyampaikan mesej solidariti dan perpaduan.

Wan Mohammad Faris Wan Mohd. Nor, Alumni UPNM yang menyahut cabaran untuk mengembara 20 buah negara di bumi Eropah.

Tahniah kepada Wan Mohammad Faris Wan Mohd. Nor, Alumni UPNM yang mengorak langkah dengan idea dan menyahut cabaran tersebut. Idea ini telah diilhamkan oleh graduan alumni UPNM, berikutan daripada kejayaan misi sebelum ini yang telah menyempurnakan kayuhan basikal mengelilingi Semenanjung Malaysia secara solo pada tahun 2019.

Program ini akan berlangsung pada 7 Mei 2022 dan dijangka berakhir pada 21 Julai 2022 yang memakan masa hampir 74 hari, dengan misi pengembaraan ke 20 buah negara di Eropah bermula dari England dan berakhir di Turki.

Sebuah travelog 20 episod juga akan diterbitkan dan mengisahkan semangat Wan Mohammad Faris yang menggunakan basikal lipat untuk mengembara di bumi Eropah Barat.

Selain itu, program jelajah ini memberikan satu simbolik dan strategi UPNM untuk menyebarluas penjenamaan UPNM, selain bertemu dengan Alumni UPNM di Eropah. Selaras dengan falsafah UPNM, iaitu melahirkan pemimpin berintelektual yang menyerlah serta bersifat terpuji dan komited untuk berbakti sepenuhnya kepada negara dalam menjayakan kelangsungan kepentingan strategik negara.

Hubungan erat dan akrab antara alumni UPNM dengan universiti bersiap sedia untuk kembali menyumbang bakti kepada universiti demi kebersamaan ke arah kecemerlangan universiti. Hal ini demikian akan menjadi pemangkin dan meningkatkan motivasi diri kepada semua mahasiswa di Malaysia yang masih mengikuti pengajian.

Susulan daripada itu, majlis penyerahan bendera alumni UPNM telah dilaksanakan pada hari ini sebagai tanda sokongan pihak pengurusan universiti kepada alumni yang sentiasa berusaha untuk meningkatkan potensi dan kecemerlangan diri demi nama baik universiti. Majlis ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UPNM, YBhg. Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah di UPNM.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah pengurusan tertinggi UPNM dan jawatankuasa yang terlibat. Majlis Simbolik Penyerahan Bendera Alumni ini dilakukan sebagai wadah untuk memperlihatkan kecemerlangan universiti bersama alumni.

Ayuh rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama mendoakan agar Wan Mohammad Faris dapat merealisasikan misi ini, sekali gus mengharumkan nama Malaysia gah di pentas antarabangsa.


Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Felow Kluster Wanita dan Masyarakat Majlis Profesor Negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.