26 April 2022, 17:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur- Yang Dipertua MPP Universiti Petahanan Nasional Malaysia (UPNM), Saudara Mohamad Mifzal Mohamad Ali@Shukrie, menjelaskan Program Jelajah SKS Menyemarakkan Semangat #UPNMPrihatin dilaksanakan bertujuan untuk mendekatkan mahasiswa bersama-sama masyarakat bagi menyantuni komuniti yang memerlukan melalui program berkongsi rezeki supaya dapat meringankan beban mereka.

Melalui program ini, potensi kepemimpinan diri seperti aspek komunikasi, penyelesaian masalah, bekerjasama serta saling membantu dan bertindak segera menghulurkan pertolongan kepada yang memerlukan dapat diserlahkan, selain mampu membentuk sahsiah mahasiswa supaya bersikap prihatin kepada komuniti dan dapat mengalami sendiri keberkesanan program khidmat masyarakat yang dilaksanakan ini.

“Mahasiswa juga mampu meningkatkan kemahiran berkomunikasi, berfikir di luar kotak, bersifat prihatin dan kasih sayang sesama insan, “jelas beliau. Menurutnya, pendedahan berkaitan dengan tanggungjawab fungsi dan peranan sebagai mahasiswa, anggota komuniti dan masyarakat juga dapat diperkukuh. Bersempena dengan Ramadan yang mulia dan amat bermakna ini, pelbagai program diatur dalam usaha memperkukuh serta menyuburkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa, agama dan kepercayaan di negara ini.

Program anjuran MPP UPNM ini akan diketengahkan sebagai Ikon UPNM dalam Program Jelajah SKS yang diadakan secara bersiri sebagai usaha mengukuhkan agenda perpaduan dengan mendekati masyarakat. Rangka Tindakan Kesejahteraan Pendidikan Tinggi atau Sejahtera IPT bagi tahun 2022 dengan mengangkat dua teras daripada Sejahtera IPT, iaitu Memacu Kesejahteraan Komuniti dan Menyemarakkan Semangat #KPTPrihatin. Program Jelajah SKS akan diadakan secara bersiri dengan tema Menyemarakkan Semangat #UPNMPrihatin bertujuan untuk menyantuni komuniti dengan meringankan beban masyarakat yang terkesan selepas Pandemik COVID-19.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPNM, Profesor. Ts. Dr. Muhd Zu Azhan Yahya, MPP sebagai Ikon UPNM menjadi tunjang utama dalam menjayakan Program SKS ini. Program ini akan diadakan secara berterusan sebagai usaha untuk membentuk mahasiswa secara holistik yang sentiasa peka dan prihatin dalam membantu nasib masyarakat yang memerlukan bantuan. “Melalui program sebegini, mereka memperoleh pengalaman sebenar dalam kemahiran berkomunikasi, berfikir di luar kotak, selain dapat memupuk sikap prihatin dan kasih sayang,” jelas beliau.

Empat keluarga telah menerima sumbangan, iaitu Encik Abdul Aziz Suman dari Kampung Dacing Hilir, Lenggeng, Negeri Sembilan, Puan Wan Rosnani Wan Mahmud dan keluarga dari Kampung Sri Gemas, Tampin, Negeri Sembilan. Encik Sabri Alang dan keluarga dari Kampung Hulu Kemensah, Ampang Jaya, Selangor, serta Encik Muhammad Ridwan Tee Abdullah dan keluarga dari Kampung  Kelang Makau, Sungai Petani, Kedah.

Bentuk sumbangan adalah berupa barangan keperluan asas dan wang tunai bagi persediaan untuk menyambut hari raya yang bakal tiba tidak lama lagi. Sumbangan tersebut diperoleh hasil daripada sumbangan warga UPNM yang sentiasa menyokong program sebegini dan juga daripada agensi luar. Pergerakan penghantaran sumbangan telah dibuat pada 23 dan 24 April 2022 bagi Kedah, Kuala Lumpur, dan Negeri Sembilan yang diketuai oleh barisan MPP UPNM dan turut disertai wakil daripada PERNAMA dan juga UPNM Holdings Sdn. Bhd. yang merupakan penyumbang utama dana sumbangan.

UPNM sentiasa prihatin kepada komuniti dalam mengembangkan potensi kepemimpinan pelajar supaya dapat menyerlahkan lagi potensi diri mereka.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.