Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAdakah sepotong kek coklat sukar ditolak walaupun anda tidak lapar? Adakah anda ingin makan biskut setiap kali melihatnya, atau adakah aiskrim, aroma kek keju atau roti bersalut mentega merangsang selera anda? Jika benar, anda mungkin seorang penagih makanan. Hal ini tidaklah mengejutkan kerana kita kini hidup di dunia apabila makanan tidak lagi berfungsi untuk tujuan hidup semata-mata, tetapi lebih terdedah kepada obsesi makanan.
Apakah faktor yang menyebabkan obsesi kepada makanan? Peningkatan obsesi makanan ialah disebabkan pengeluar makanan “menyerang” otak kita dengan menukar kandungan makanan kepada lemak, garam dan gula yang menyebabkan ketagihan dan sukar ditolak. Industri makanan diproses mendorong seseorang itu ketagih untuk makan dan secara tidak sedar mendorong untuk memakan makanan yang tinggi kandungan lemak, gula dan garam.
Makanan diproses direka untuk menjadikan kita makan secara berlebihan dan menjadi ketagih. Makanan remeh ini merangsang sistem otak dengan cara yang sama seperti dadah. Bagi mereka yang mudah terjejas, makanan remeh boleh membawa ketagihan. Menurut kajian dalam PloS One pada 2015, “Makanan yang diproses diubah suai khusus untuk menyebabkan ketagihan melalui lemak atau karbohidrat halus seperti tepung putih dan gula. Makanan tidak diproses seperti epal kurang cenderung mencetuskan tindak balas ketagihan berbanding makanan yang diproses seperti biskut.”
Makanan diproses dikaitkan dengan peningkatan kadar penyakit kronik dan penambahan berat badan di negara maju. Pakar kesihatan menggelarnya sebagai “diet perosak.” Makanan diproses mengandungi pelbagai bahan penambah makanan yang bukan makanan sebenar. Bahan tersebut termasuklah bahan pengawet, pewarna tiruan (satu perisa tiruan pada label mungkin mengandungi 10 atau lebih bahan kimia) dan texturants (bahan kimia penambah tekstur kepada makanan). Makanan diproses ialah sejenis bentuk bencana dalam industri makanan kerana kebanyakannya rendah nutrien dan serat, tinggi lemak trans bertoksik dan mengandungi minyak sayuran yang diproses (lemak teroksida, dan lebihannya dikaitkan dengan aterosklerosis dan penyakit jantung).
Menurut David A. Kessler, mantan Pesuruhjaya Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat, pemakanan secara berlebihan disebabkan oleh kombinasi lemak, gula dan garam yang digunakan oleh pengeluar makanan untuk mencetuskan “titik kebahagiaan” dalam otak manusia adalah lebih merbahaya. Satu daripada cara pengusaha industri makanan menimbulkan ketagihan terhadap sesuatu produk makan ialah dengan menambah pemanis, bahan kimia, pewarna dan pengawet tiruan dalam produk makanan mereka yang akan mempunyai kesan pada otak.
Gula, lemak dan garam merupakan tiga ramuan utama yang menyebabkan ketagihan kepada makanan diproses. Saintis industri makanan menghabiskan banyak masa dalam menentukan jumlah gula, lemak dan garam yang optimum untuk mewujudkan “rasa nikmat”. Kandungan lemak juga ditambah dalam usaha menghasilkan “rasa yang sempurna” dan “kepuasan” yang merangsang otak seperti mana yang dilakukan oleh gula. Garam pula berfungsi sebagai perisa tambahan bersama dengan bahan tambahan lain yang bertindak sebagai bahan pengawet. Kombinasi bahan-bahan ini menyebabkan rasa makanan lebih memberangsangkan.
Syarikat makanan membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mencipta makanan dengan rasa ketagihan supaya kita sentiasa mengidamkannya, sekali gus meningkatkan pergantungan dan pengambilan terhadap makanan tersebut. Melalui gabungan sains dan strategi pemasaran, industri makanan mempengaruhi masyarakat agar terus makan secara berlebihan sungguhpun tidak berasa lapar. Akibatnya, kita terlalu banyak makan, namun tidak mendapat khasiat secukupnya, bahkan menjadi terlalu gemuk dan jatuh sakit. Makanan moden dirumus khusus untuk melahirkan rasa ketagih dan menyebabkan kita makan tanpa berfikir panjang. Strategi ini merupakan rahsia pengusaha industri makanan yang digunakan untuk membuatkan masyarakat mendambakan makanan diproses. Strategi ini menguntungkan industri tersebut tetapi pada masa yang sama menjejaskan masyarakat.
Kebanyakan orang tahu, makanan remeh atau pun makanan diproses tidak sihat dan pengambilan secara berlebihan boleh menyebabkan masalah jantung, tekanan darah tinggi dan pelbagai penyakit lain. Akan tetapi, mengapakah masyarakat masih mendambakannya?
Pihak industri makanan juga telah menghasilkan banyak produk makanan yang mencapai titik “kesedapan yang tinggi”. Proses ini merupakan satu proses kompleks dalam menentukan ketepatan kombinasi ramuan yang akan mencetuskan keseronokan neurologi sehingga individu yang memakannya mendapat isyarat kepuasan dan menyebabkan individu tersebut tidak berhenti makan. Makanan diproses dihasilkan supaya tahan lama dan keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan manusia. Makanan ini menggalakkan kita untuk makan lebih banyak. Kecenderungan untuk mengambil makanan diproses kadang kala bukanlah disebabkan rasa lapar, tetapi kerana makanan itu telah diproses supaya rasanya lebih sedap dan merangsang selera untuk makan dengan lebih banyak.
Steves Witherly, seorang saintis makanan dalam kajiannya lebih 20 tahun mendapati bahawa terdapat dua faktor yang menyebabkan sesuatu makanan menyebabkan ketagihan berbanding yang lain. Pertama, wujudnya sensasi apabila memakan makanan itu. Hal ini dicetuskan oleh rasa (masin, manis, tawar dan sebagainya) dan bau yang terhasil di dalam mulut. Semua faktor ini digabungkan untuk menghasilkan sensasi apabila otak akan menghubungkannya dengan makanan atau minuman tertentu. Kedua, binaan makronutrien dalam makanan, iaitu gabungan protein, lemak dan karbohidrat yang terkandung di dalamnya. Dalam kes makanan remeh, pengeluar makanan melihat melalui gabungan sempurna garam, gula dan lemak yang merangsang otak untuk menginginkannya secara berterusan.
Pengeluar makanan menggunakan pelbagai kaedah psikologi makanan supaya otak kita mahukan lebih banyak makanan dan menjadi pengguna setia mereka. Misalnya sensasi yang berbeza dalam makanan yang sama. Mengikut Witherly, makanan sebegini mempunyai “kulit yang boleh dimakan serta dikunyah, diikuti sesuatu yang lembut atau berkrim dan penuh dengan sebatian aktif rasa.” Ciri-ciri ini digunakan untuk pelbagai struktur makanan yang digemari seperti karamel, bahagian atas pencuci mulut, piza, biskut dan lain-lain. Otak mencetuskan rasa seronok apabila mengunyahnya.
Tindak balas air liur merupakan sebahagian daripada proses semasa makan. Lebih banyak makanan, maka lebih banyak air liur dikeluarkan di dalam mulut dan mematikan deria rasa. Sebagai contoh, makanan beremulsi seperti mentega, coklat, hiasan salad, aiskrim dan mayones menggalakkan tindak balas air liur yang membantu membuihkan deria rasa. Keadaan ini memjadi punca yang menyebabkan ramai orang menggemari makanan yang mempunyai sos atau acar di dalamnya kerana makanan tersebut menggalakkan pengeluaran air liur dan merangsang otak untuk makan lebih banyak dan mempunyai rasa yang lebih baik berbanding dengan makanan lain.
Begitu juga dengan makanan yang cepat cair di dalam mulut memberi isyarat kepada otak yang kita masih belum kenyang, walaupun telah makan begitu banyak kalori. Menurut Witherly, makanan yang cair dengan cepat menyampaikan mesej kepada otak bahawa tiada kalori dalam makanan tersebut. Hal ini menggalakkan individu untuk makan secara berlebihan.
Otak juga mempunyai rangsangan terhadap kepelbagaian rasa. Apabila melibatkan makanan, rasa yang sama menyebabkan otak menimbulkan perasaan kurang seronok dan nikmat. Dengan kata lain, deria khusus sensitif akan berkurangan dalam jangka waktu tertentu. Walau bagaimanapun, makanan remeh direka untuk mengelakkan tindak balas khusus deria ini. Makanan jenis ini menyediakan rasa yang merangsang otak untuk tidak pernah jemu memakannya. Oleh itu, sebungkus kerepek kentang boleh habis dimakan dan seseorang perlu bersedia untuk menambahnya lagi. Makanan remeh direka untuk meyakinkan otak bahawa kita mendapat khasiat pemakanan, namun bukan untuk mengenyangkan.
Jelas sekali, kita sedang menjadi uji kaji sains bagi industri makanan dengan penggunaan ramuan bukan asli. Kebanyakan pakar pemakanan bersetuju bahawa bahan kimia dan makanan tiruan memberi kesan besar terhadap kesihatan dan menyebabkan ketagihan yang sukar diatasi.