10 Jun 2022, 16:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 Kuala Lumpur – Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 merupakan iltizam untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan. Erti kesyukuran, keamanan dan kesejahteraan perlu dipasak dalam jiwa anak-anak Keluarga Malaysia.

Projek penerbitan buku sulung Institut Masa Depan Malaysia (MASA) yang berjudul Negara Bangsa Malaysia: Ke Arah Kemakmuran Bersama bakal diterbitkan selepas tertangguh akibat pandemik COVID-19.  Sehubungan dengan itu, pihak Institut MASA mengadakan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Penasihat Projek Penerbitan Buku Negara Bangsa Malaysia: Ke Arah Kemakmuran Bersama. Buku ini bakal menjadi panduan kepada segenap masyarakat berhubung dengan konsep meraikan kepelbagaian bangsa serta budaya sebagai asas penyatuan negara bangsa.

Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Penasihat Projek Penerbitan Buku yang diadakan di Kuala Lumpur pada 10 Jun 2022, telah dipengerusikan oleh Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sulaiman Mahbob, selaku Ahli Lembaga Pengarah Institut Masa Depan Malaysia (MASA). Turut hadir, barisan penasihat projek penerbitan buku yang dilantik, iaitu Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pengarah Institut Alam dan Tamadun (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), UKM, Prof. Dr. Mansor Mohd Noor, Profesor Kehormat KITA, UKM dan Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Felo Majlis Profesor Negara (MPN).

Objektif projek ini adalah untuk menerangkan dan menilai prinsip panduan dan pendekatan yang diwujudkan oleh kerajaan Malaysia dalam membina identiti kebangsaan yang bersifat kolektif.  Selain itu, projek ini juga bertujuan untuk meneroka faktor asas pembangunan negara bangsa di Malaysia berdasarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2020 (WKB) 2030. Oleh yang demikian, konsep negara bangsa di Malaysia berdasarkan latar belakang sejarah, budaya, sosioekonomi, masyarakat dan geografi haruslah difahami.

Menurut Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sulaiman Mahbob, kepakaran penulis dipilih daripada kalangan pelbagai bangsa dan agama bagi menyumbang idea untuk buku ini berdasarkan kepakaran dan pengalaman. Bangsa Malaysia yang bersatu padu dengan melihat prospek pelbagai pakar bidang dalam membantu pembuat dasar kerajaan menunjukkan bangsa Malaysia yang bersatu-padu. Isu semasa di Sabah dan Sarawak sebagai wilayah perlu diangkat sama sebagai matlamat utama Wawasan Kemakmuran Bersama untuk menyediakan taraf hidup yang sewajarnya kepada semua rakyat Malaysia menjelang tahun 2030.

Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut menyatakan bahawa asas-asas ketimuran dalam kalangan warganegara Malaysia, iaitu Melayu, Cina dan India dan lain-lain etnik Sabah dan Sarawak perlu ditonjolkan. Tamadun Melayu dan tamadun Cina seperti penemuan pantun, lagu rakyat dan pemikiran dilihat banyak mempunyai persamaan. Nilai-nilai murni ini perlu ditonjolkan dengan asas-asas sedia ada.

Bengkel seterusnya akan diadakan secara berkala mengikut pengagihan bahagian yang telah dipersetujui oleh barisan penasihat projek penerbitan. Terdapat bahagian dalam buku ini yang akan mengetengahkan pembangunan modal insan dalam kalangan belia dan melihat corak pemikiran mereka serta pelibatan golongan ini dalam aktiviti kemasyarakatan seperti institusi berasaskan komuniti dan persatuan kejiranan yang dapat meningkatkan tahap kepercayaan dan keyakinan dalam institusi masyarakat dan negara.

Dalam menyelami semangat Keluarga Malaysia, penerbitan buku ini selari dengan objektif dan aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang memerlukan semua pihak berganding bahu dan berusaha lebih gigih dalam memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati bersama.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.