Oleh Rasoul Manan
1 Jun 2023, 09:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Buku ini diterbitkan untuk membangkitkan kembali kesedaran politik dan kebudayaan dalam kalangan bangsa Melayu”.

Jelas YBhg. Dato’ Dr. Firdaus Abdullah dalam sesi bersama-sama penulis di Reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (PBAKL), semalam.

Antara Yang Dikendong Dengan Yang Dikejar, merupakan buku baharu himpunan artikel yang ditulis berdasarkan pengalaman dan pengamatan beliau sendiri tentang nilai politik Melayu.

Buku baharu Dato’ Dr. Firdaus Abdullah telah mula dijual di Reruai DBP bersempena dengan PBAKL 2023.

Terdapat lapan bahagian, bermula dengan bab pertama iaitu “Prolog” yang mengandungi dua puisi panjang dan satu naskhah syarahan perdana berkenaan analisis politik Melayu.

Seterusnya berkenaan alam Melayu, isu sosial seperti kemiskinan, masyarakat majmuk serta perubahan sikap akibat revolusi mental dan diakhiri dengan bab “Epilog” iaitu berkaitan perjuangan bangsa serta nasihat kepada angkatan muda.

Beliau memulakan sesi dengan menyatakan tulisan pertamanya yang disiarkan ketika berusia 13 tahun, lantas membakar semangat beliau menulis sehingga ke hari ini merangkumi pelbagai aspek seperti kewartawanan, politik, budaya, sosial dan puisi.

Beliau turut menitipkan nasihat kepada anak muda agar terus memahami, menghayati susur galur kaum, seterusnya mengkaji agar dapat memberikan sumbangan terhadap bangsa dan negara.

Program ini turut diselitkan dengan bacaan puisi oleh Encik Armin Azhari Salleh, iaitu Ketua Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja yang memilih sajak “P. Ramlee dalam Ingatan” bersempena dengan 50 tahun pemergian tokoh seniman tersebut.

En. Armin Azhari Salleh sedang membaca puisi ketika program sedang berlangsung di Reruai DBP, semalam.

Sebelum sesi ini berakhir, Dato’ Dr. Firdaus Abdullah telah mendeklamasikan dua sebuah puisi yang berjudul “Pasir Salak” dan “Patricia Takemoto” dengan penuh patriotisme dan romantis.

 

Dato’ Dr. Firdaus Abdullah membacakan dua sajak beliau sebagai penutup program dengan penuh semangat.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.