31 Mei 2024, 14:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hubungan diplomatik Malaysia-China genap berusia 50 tahun pada hari ini, 31 Mei (1974-2024). Lawatan rasmi Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada hujung Mei dan awal Jun 1974 telah memulakan satu era baharu dalam hubungan Malaysia-China. Sebelum itu, dasar luar Malaysia bersifat anti-komunis dan pro-Barat. Oleh itu, Republik Rakyat China yang telah menjadi sebuah negara komunis pada 1 Oktober 1949 tidak menjalinkan hubungan dengan Malaysia dalam tempoh 1950-an, 1960-an dan awal 1970-an sehinggalah lawatan rasmi yang dilakukan oleh Tun Abdul Razak pada Mei 1974.

China kini sedang mengekori rapat Amerika Syarikat untuk muncul sebagai kuasa besar dunia.

China juga berpecah kepada dua China, iaitu Republik Rakyat China (sebuah negara komunis yang dipimpin oleh Presiden Mao Tse-tung) dan Republik China Taiwan (dipimpin oleh Chiang Kai-Shek yang pro-Barat khususnya Amerika Syarikat). Berdiri kukuhnya Taiwan di bawah pimpinan Chiang Kai-Shek kerana sokongan kuat Amerika Syarikat (AS) terhadap Chiang Kais-Shek sebagai pemerintah Taiwan. Bantuan pertahanan dan sokongan ekonomi serta perdagangan diberikan kepada Taiwan oleh AS. Dengan bahasa mudahnya, kedudukan Taiwan dapat bertahan kerana sokongan politik dan pertahanan serta sokongan ekonomi yang diberikan oleh AS terhadap Taiwan. Tanpa sokongan politik dan pertahanan oleh AS, kedudukan Presiden Chiang Kai-Shek di Taiwan tidak akan selamat dan kemungkinan besar Taiwan dikuasai oleh Mao Tse-tung dan disatukan dengan tanah besar China.

Pada masa yang sama, AS tidak mengiktiraf kuasa komunis Republik Rakyat China. Taraf anggota tetap China dalam Majlis Keselamatan tidak diberikan kepada China Komunis. Republik Rakyat China mendapat pengiktirafan daripada negara komunis utama dunia seperti Soviet Union (SU) dan negara komunis Eropah Timur seperti Jerman Timur, Poland, Czechoslovakia, Romania dan seumpamanya. Bagi mengukuhkan kedudukan China Komunis, Perjanjian Persahabatan 30 tahun ditandatangani antara China Komunis-SU pada Februari 1950 bagi mengukuhkan kedudukan Republik Rakyat China.

Semua perkembangan ini merupakan percaturan kuasa dalam era Perang Dingin yang bersifat struktur bipolar (bipolarity structure), dengan berpaksikan dua pusat kuasa utama, iaitu SU dan AS. AS sebagai pemimpin blok demokrasi-kapitalis, manakala SU diwakili oleh pemimpin blok komunis-sosialis. Dasar luar kebanyakan negara di dunia mempunyai hubungan sama ada secara langsung atau tidak langsung oleh struktur yang berpaksikan dua blok kuasa ini. Malaysia merupakan sebuah negara yang dalam banyak hal lebih memihak kepada blok demokrasi-kapitalis. Dasar luar Malaysia semasa era Tunku Abdul Rahman jelas bersifat anti-komunis dan pro-Barat. Keadaan sedikit berubah semasa era pentadbiran Tun Abdul Razak, iaitu bukan-komunis (non-communist). Dalam keadaan begitu, dasar luar kita masih mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan negara Barat dan negara yang bersifat demokrasi-kapitalis.

Mengapakah dasar kita berubah dengan mengadakan hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China, iaitu sebuah negara komunis pada tahun 1974? Dalam menjelaskan hal ini, perlu kita kaitkan dengan perubahan yang berlaku antara AS-China serta perubahan struktur politik antarabangsa di rantau Asia Pasifik mulai awal tahun 1970-an.

Perubahan hubungan AS-China berlaku semasa awal tahun 1970-an. Perubahan hubungan dua kuasa ini mempengaruhi perubahan struktur kuasa Asia Pasifik daripada bersifat bipolar (bipolarity structure) kepada tripolar (triplarity structure). Perubahan kepada tripolar ini cerminan hubungan langsung terhadap perubahan dasar AS terhadap China. AS menyokong resolusi 2758 Bangsa-Bangsa Bersatu pada 25 Oktober 1971, iaitu resolusi yang mengiktiraf dan mengembalikan kuasa China sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan (Security Council) yang selama ini di tentang oleh AS sejak China menjadi kuasa komunis pada 1 Oktober 1949. Mengapakah AS menyokong Resolusi 2758 ini? Apakah kesannya kepada kedudukan China dan regional politik di Asia Pasifik?

AS menyokong Resolusi 2758 kerana mempunyai hubungan dengan perkembangan politik di Asia Pasifik, khususnya perkembangan politik di Indo Cina, iaitu Perang Vietnam yang telah memasuki abad kedua. Perang Viernam bermula pada tahun 1960-an dan awal tahun 1970-an tidak menampakkan bahawa AS akan menang dalam peperangan ini. Tekanan dalaman dari AS sendiri juga amat mendesak. Sebelum berundur dari Vietnam, strategi berbaik dengan China adalah perlu. Presiden Richard Nixon mengambil jalan menghulur tangan persahabatan dengan China. Lawatan Henry Kissinger ke China pada Julai 1971 dan kemudiannya lawatan rasmi Presiden Richard Nixon pada Februari 1972 telah membuka satu era baharu kepada hubungan AS-China. Hubungan baharu antara China-AS telah bermula dan diteruskan oleh pemimpin China selepasnya. Hubungan politik dan ekonomi yang lebih rapat berlaku semasa pentadbiran Presiden Deng Xiao-Peng.

Perubahan yang berlaku pada tahun 1972 ini bukan sahaja membina hubungan baharu China-AS, malah turut mengubah struktur kuasa daripada bipolar kepada struktur tripolar termasuklah dari segi hubungan ekonomi dan politik antara China dengan negara pro-Amerika di rantau Asia Pasifik.

Adakah hubungan dan lawatan rasmi Tun Abdul Razak ke China mempunyai hubungan dengan perubahan politik regional dan hubungan kuasa besar utama China-AS-Soviet Union? Adakah berlakunya lawatan rasmi dan hubungan diplomatik antara Malaysia- China tanpa perubahan dasar AS-China seperti yang dibincangkan di atas? Jawapan mudahnya adalah benar kerana sebarang tindak-tanduk dan keputusan dasar luar sesebuah negara dalam era Perang Dingin tidak akan bebas daripada percaturan kuasa besar utama.

Keputusan yang dilakukan oleh Presiden Richard Nixon dalam tempoh awal 1970-an itu memberikan kesan yang besar. Negara yang mempunyai hubungan baik dengan AS turut melakukan tindakan yang sama dengan China. Bukan sahaja Malaysia yang melakukan lawatan rasmi, malah negara lain juga bertindak sedemikian. Misalnya Tanaka Kakuei, Perdana Menteri Jepun turut melakukan lawatan ke China pada tahun 1972, beberapa bulan selepas lawatan Richard Nixon.

Mengimbas kembali, lawatan rasmi Tun Abdul Razak yang mewujudkan hubungan diplomatik dengan China mempunyai kaitan rapat dengan perubahan hubungan China dan AS. Hubungan yang rapat seterusnya berlaku antara China-AS dalam tempoh tahun 1980-an dan 1990-an, khususnya dalam masa pemerintahan Deng Xiao-Peng dan Jiang Zemin.

Dalam tempoh tersebut, hubungan ekonomi dan perdagangan berlaku dengan lebih erat AS-China dan negara Barat pro-Amerika. Ideologi komunis dalam aspek politik diketepikan dalam hal ini; dan China mengamalkan ekonomi laissez faire dalam memajukan ekonomi, pelaburan dan perdagangan China. Special Economic Zones dibentuk di China yang sebahagian besar pelaburannya datang dari negara-negara luar. Bantuan daripada AS dan pelaburan dari negara Barat turut membangunkan ekonomi China. Dasar ini dilakukan oleh AS dan diterima baik oleh China dalam mengimbangi kuasa Soviet Union bagi membangunkan ekonomi China. Perkembangan positif dan peranan yang penting dimainkan oleh China khususnya dalam fasa kedua era tripolar (1980-1991) menyaksikan dalam tempoh ini China menjadi kuasa utama (pivot power) dalam hubungan China-AS-Soviet Union.

Maka demikian, dapatlah dikatakan bahawa lawatan rasmi Tun Abdul Razak dan rentetan hubungan diplomatik antara Malaysia-China merupakan sebahagian daripada fenomena yang mempunyai hubungan rapat dengan percaturan kuasa besar berserta perubahan politik regional Asia Pasifik.

Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Yazid,Felow Penyelidik Kanan, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS),Universiti Malaysia Sabah (UMS). Beliau merupakan pensyarah/Profesor Madya bagi Program Hubungan Antarabangsa, UMS tahun 1996-2022.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.