20 Jun 2024, 20:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kesihatan mental merupakan aspek penting dalam kehidupan setiap individu, terutamanya bagi anak-anak yang sedang dalam proses pembentukan identiti dan mengenal perwatakan masing-masing. Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan mental anak-anak. Namun begitu, apabila ibu bapa pula sebaliknya bersikap toksik, hal ini boleh memberikan kesan negatif yang mendalam terhadap kesihatan mental anak-anak mereka.

Ibu bapa yang bersikap toksik sering kali menunjukkan tingkah laku negatif seperti mengkritik secara berlebihan, menggunakan kata-kata kesat, mengabaikan atau memanipulasikan emosi anak-anak mereka. Tingkah laku sebegini boleh membawa kepada beberapa masalah kesihatan mental yang serius bagi anak-anak, antaranya termasuklah:

1.Kemurungan dan Kebimbangan

Anak-anak yang terdedah kepada kritikan secara berlebihan dan berdepan dengan penghinaan mungkin mengalami kemurungan dan kebimbangan. Mereka merasa tidak dihargai dan tidak layak, sehingga boleh menyebabkan mereka merasa putus asa dan tidak berdaya. Hal in isering terjadi ketika mereka gagal dari segi pencapaian akademik yang kurang memberangsangkan.

2.Rendah Diri dan Kurang Keyakinan

Sikap ibu bapa yang sentiasa merendahkan anak-anak boleh menyebabkan mereka kehilangan keyakinan diri. Anak-anak ini mungkin berasa tidak mampu dan tidak berharga daripada kaca mata ibu bapa sehingga boleh memberikan kesan terhadap prestasi akademik dan hubungan sosial mereka.

3.Kesukaran Menguruskan Emosi

Anak-anak yang dibesarkan dalam persekitaran toksik sering kali mengalami kesukaran dalam menguruskan emosi mereka. Mereka mungkin menunjukkan tingkah laku agresif, mudah marah atau mengalami kesukaran dalam menjalin hubungan yang sihat dengan orang lain.

Al-Quran dan Hadis menyediakan panduan yang jelas tentang peranan ibu bapa yang  seharusnya dilakukan semasa berinteraksi dengan anak-anak mereka. Allah SWT berfirman dalam Al-Quran:

Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah, ‘Wahai Tuhanku! Kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.'” (Surah Al-Isra’, 17:24)

Ayat ini menekankan bahawa betapa pentingnya sikap lemah lembut dan kasih sayang dalam hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak. Ibu bapa yang bersikap kasar dan toksik bertentangan dengan ajaran ini kerana boleh menyebabkan kesan negatif terhadap kesihatan mental anak-anak mereka.

Selain itu, Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah Hadis sahih:

Tidaklah seseorang itu diberi pemberian yang lebih baik dan lebih luas daripada kesabaran.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menekankan tentang peri pentingnya kesabaran dalam mendidik anak-anak. Dalam usaha mendidik, ibu bapa perlu bersabar dalam menghadapi kerenah anak-anak dan tidak mudah marah atau menggunakan kata-kata kesat yang menyakitkan hati. Kesabaran ini merupakan kunci untuk membina hubungan yang sihat dan mampu menyokong kesihatan mental anak-anak.

Meniti era yang serba moden pada hari ini, ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka dengan nilai spiritual, di samping menjadi suri teladan yang baik kepada anak-anak mereka seperti mengutamakan ilmu agama yang mencukupi selain menerapkan nilai murni dalam kehidupan mereka. Lebih-lebih lagi, dalam dunia tanpa sempadan pada hari ini, masyarakat sentiasa terjebak dengan pelbagai anasir negatif yang sangat membimbangkan. Sebaliknya, Ibu bapa yang toksik boleh memberi kesan negatif yang serius terhadap kesihatan mental anak-anak mereka.

Maka itu, kritikan secara berlebihan, penghinaan dan kekerasan emosi boleh menyebabkan anak-anak dilanda kemurungan, kebimbangan, rendah diri dan kesukaran dalam menguruskan emosi. Al-Quran dan Hadis mengajar kita untuk bersikap lemah lembut, berkasih sayang dan sabar dalam mendidik anak-anak. Dengan mengamalkan ajaran sedemikian, ibu bapa dapat memastikan anak-anak mereka membesar dalam persekitaran yang sihat dan positif, sekali gus mampu menyokong perkembangan mental dan emosi yang baik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.