Diterbitkan pada 28 Mei 2026, 16:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bayangkan situasi ini. Makmum sedang merapatkan saf. Ketika sedang solat, imam sedang membaca surah dengan suara yang tenang. Ketika sedang rukuk atau sujud, tiba-tiba imam tersebut rebah. Jemaah di saf hadapan terpaku. Ada yang keliru sama ada perlu meneruskan solat atau menghentikannya? Dalam situasi ini, siapakah yang perlu menggantikan imam? Bolehkah melakukan bantuan pernafasan (CPR) di dalam masjid?

Situasi seperti ini bukan lagi mustahil. Sejak kebelakangan ini, kita mendengar berita imam atau jemaah tumbang ketika solat berjemaah. Ada yang pengsan, ada yang diserang sakit jantung, malah ada yang meninggal dunia di tempat kejadian. Persoalan ini bukan sekadar bersifat teknikal, namun melibatkan persoalan fiqh dan maqasid.

Maqasid Mengatasi Kekeliruan

Dalam Islam, tujuan utama syariat (maqasid syariah) adalah untuk menjaga lima perkara asas – agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Dalam konteks kecemasan di masjid, prinsip hifz al-nafs (memelihara nyawa) menjadi keutamaan.

Allah SWT berfirman bahawa sesiapa yang menyelamatkan satu nyawa seolah-olah dia telah menyelamatkan seluruh manusia. Ayat ini memberikan mesej jelas bahawa menyelamatkan nyawa bukan sekadar tindakan sosial, tetapi ibadah besar di sisi Allah SWT.

Maka itu, apabila imam rebah ketika solat, tindakan menyelamatkan nyawa bukan gangguan kepada ibadah, namun sebahagian daripada ibadah itu sendiri.

Perlukah Solat Diteruskan?

Dalam konteks inilah kekeliruan sering berlaku. Jika imam hanya mengalami gangguan ringan seperti vertigo atau sesak nafas dan masih sedar, makmum di saf hadapan boleh segera menggantikan imam (istikhlaf) dan solat perlu diteruskan.

Namun begitu, sekiranya imam rebah dan tidak sedarkan diri, keutamaannya telah berubah. Dalam keadaan itu, menghentikan solat untuk menyelamatkan nyawa mangsa bukan sahaja dibenarkan, malah boleh menjadi wajib.

Kaedah fiqh menyebut: Apa-apa yang tidak dapat disempurnakan kewajipan melainkan dengannya, maka situasi tersebut menjadi wajib. Jika nyawa seseorang mungkin dapat diselamatkan dengan tindakan segera seperti CPR, maka bertindak segera adalah kewajipan disebabkan solat itu boleh diulang, tetapi nyawa tidak ada galang gantinya.

CPR di dalam Masjid: Adakah Dibenarkan?

Ada yang bertanya, “Bolehkah melakukan CPR dalam ruang solat? Bukankah hal tersebut seolah-olah mengganggu kesucian masjid?”

Jawapannya mudah: Menjaga nyawa lebih utama daripada menjaga tertib fizikal ruang. Dalam keadaan darurat, hukum asal boleh berubah. Kaedah fiqh menyatakan bahawa keadaan darurat membolehkan perkara yang asalnya dilarang.

Melakukan CPR untuk menyelamatkan nyawa tidak disifatkan sebagai mencemarkan masjid, tetapi memuliakannya dengan melakukan amal kebajikan.

Malah, dalam konteks moden, banyak pihak berautoriti termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia menggalakkan latihan CPR dan penggunaan AED (Automated External Defibrillator) di tempat awam. Masjid sebagai pusat komuniti juga tidak seharusnya terkecuali.

Tertib dan Tindakan Praktikal

Dalam situasi kecemasan, terdapat dua perkara utama yang perlu dititikberatkan, iaitu tidak panik dan utamakan kaedah penyelamatan mangsa. Beberapa orang makmum di saf hadapan boleh menghentikan solat serta-merta untuk memeriksa keadaan mangsa. Seorang yang lain boleh memberikan isyarat untuk menggantikan imam agar jemaah tidak keliru.

Jika mangsa tidak bernafas dan tiada nadi, CPR perlu dimulakan, sementara jemaah yang lain menghubungi pihak hospital untuk mendapatkan bantuan kecemasan. Jika masjid mempunyai kemudahan AED, alat tersebut boleh digunakan dengan mengikuti arahan suara yang disediakan. Tindakan ini langsung tidak mencemari ibadah, bahkan dituntut agama dalam melaksanakan maqasid ibadah.

Tanggungjawab Institusi Masjid

Isu ini tidak boleh hanya dibincangkan ketika tragedi berlaku. Institusi masjid atau surau perlu bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Antara langkah yang wajar dipertimbangkan:

  • Membentuk pasukan kecemasan masjid.
  • Memberikan latihan CPR kepada imam, bilal dan beberapa jemaah tetap.
  • Menyediakan AED di ruang utama solat.
  • Melantik pembantu kanan imam untuk kesiapsiagaan semasa kecemasan.

Hal ini bukan sekadar urusan teknikal kerana turut melibatkan fardu kifayah. Sekiranya tiada sesiapa dalam komuniti yang mampu bertindak ketika kecemasan, maka seluruh masyarakat akan menanggung kelalaian tersebut.

Islam Bukan Agama Kaku

Peristiwa imam rebah semasa sedang solat mengajar kita tentang satu hakikat penting bahawa Islam bukan agama yang kaku. Syariat menilai tindakan berdasarkan niat, maslahat dan keadaan sebenar. Solat berjemaah melambangkan kesatuan. Akan tetapi, kesatuan bukan sekadar berdiri dalam saf yang lurus. Kesatuan ini bermakna saling menjaga dan menyelamatkan antara satu dengan yang lain. Menjaga nyawa ketika solat bukan meremehkan ibadah, namun menghidupkan roh ibadah itu sendiri.

Antara Saf dengan Amanah

Masjid bukan hanya tempat rukuk dan sujud semata-mata, namun turut berfungsi sebagai pusat kehidupan umat. Apabila kita memahami maqasid syariah dengan betul, kita tidak lagi terperangkap dalam kekeliruan antara tertib zahir dengan tujuan syariat. Kita tahu bila perlu meneruskan solat dan bila perlu menghentikannya demi nyawa manusia. Solat boleh diqada, namun nyawa yang terlepas tidak mungkin akan kembali. Oleh hal yang demikian, marilah kita bersama-sama mengimarahkan masjid bukan sahaja dengan bacaan yang merdu, tetapi dengan kesiapsiagaan dalam menyelamatkan nyawa orang lain mengikut kaedah yang sewajarnya. Hal ini demikian kerana dalam setiap tekanan dada untuk menghidupkan kembali jantung yang terhenti, ada pahala yang mungkin lebih besar daripada rakaat yang terlepas.

Prof. Madya Dr. Firdaus Ismail, Pensyarah dalam bidang Kejururawatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau memiliki Ijazah Doktor falsafah dalam bidang Kejururawatan dan  Pengajian Islam dan turut aktif menyampaikan kuliah dan wacana berkaitan dengan fiqh perubatan, maqasid syariah dan isu kesihatan semasa.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi