Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetiap kali berita berkaitan dengan penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan, masyarakat lazimnya meluahkan rasa marah, sedih dan kecewa. Namun begitu, perhatian umum sering beralih kepada isu lain selepas beberapa ketika. Pada hakikatnya, penderaan seksual kanak-kanak bukanlah kes terpencil yang berlaku sekali-sekala, sebaliknya merupakan cabaran sosial yang memerlukan perhatian dan tindakan berterusan daripada semua pihak.
Di Malaysia, terdapat ribuan kes yang melibatkan kanak-kanak direkodkan oleh pelbagai agensi pada setiap tahun. Walaupun angka rasmi menunjukkan jumlah yang membimbangkan, jumlah sebenar berkemungkinan lebih tinggi kerana masih terdapat banyak kes yang tidak dilaporkan. Sebahagian mangsa memilih untuk berdiam diri, manakala sesetengah keluarga pula enggan mendapatkan bantuan kerana bimbang akan pandangan masyarakat.
Keadaan ini menjadikan penderaan seksual kanak-kanak sebagai satu bentuk jenayah yang tersembunyi. Kesannya bukan sahaja menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan mangsa, malah turut memberikan impak buruk kepada institusi keluarga, komuniti dan pembangunan sosial sesebuah negara.
Kajian bersama-sama dengan pekerja komuniti di Malaysia menunjukkan bahawa usaha melindungi kanak-kanak berhadapan dengan cabaran yang kompleks. Isu ini bukan sekadar berkaitan dengan pelaku, tetapi turut melibatkan tahap kesedaran keluarga, norma masyarakat dan keupayaan komuniti untuk bertindak apabila berhadapan dengan situasi berisiko.
Apabila Ancaman Datang daripada Individu yang Dikenali
Kebanyakan ibu bapa sering mengingatkan anak-anak supaya berhati-hati dengan orang yang tidak dikenali. Namun begitu, perkongsian daripada pekerja komuniti menunjukkan bahawa ancaman terhadap kanak-kanak lazimnya datang daripada individu yang dekat dengan mangsa, termasuk orang yang dipercayai oleh keluarga.
Seorang peserta kajian menjelaskan, “Pada kebiasaannya, pelaku dan mangsa mempunyai hubungan kekeluargaan. Dalam kes yang melibatkan kanak-kanak, kebanyakan ibu bapa tidak tahu tentang rakan sepergaulan anak-anak mereka.”
Realiti ini sememangnya sukar diterima kerana individu yang sepatutnya menjadi pelindung pula yang menjadi punca ancaman terhadap keselamatan kanak-kanak. Apabila pelaku mempunyai hubungan rapat dengan mangsa atau keluarga, keadaan menjadi lebih rumit kerana wujud konflik emosi, kepercayaan dan hubungan kekeluargaan.
Dalam sesetengah keadaan, keluarga cuba menyelesaikan perkara tersebut secara dalaman kerana bimbang hubungan keluarga terjejas atau perkara itu diketahui oleh masyarakat. Walaupun tindakan tersebut diambil demi menjaga maruah keluarga, keputusan untuk menyembunyikan penderaan boleh menyebabkan mangsa terus terdedah kepada risiko.
Seorang lagi peserta kajian berkongsi, “Kadang-kadang, ibu bapa merasakan tiada keperluan untuk melibatkan orang luar. Oleh sebab itu, mereka cuba menyelesaikan masalah itu sendiri kerana bimbang kes tersebut diketahui oleh orang lain sehingga menyebabkan keluarga berasa malu.”
Stigma yang Menghalang Perlindungan
Selain ancaman daripada pelaku, stigma masyarakat turut menjadi cabaran besar dalam usaha melindungi kanak-kanak. Dalam sesetengah keadaan, keluarga lebih bimbang akan pandangan orang lain berbanding dengan kesan penderaan yang dialami oleh mangsa.
Seorang pekerja komuniti menjelaskan, “Ada ibu bapa yang tidak mahu meneruskan laporan kerana berasa malu. Mereka berpendapat bahawa sekiranya orang kampung mengetahui perkara ini, nama keluarga mereka akan tercemar.”
Pemikiran bahawa penderaan seksual merupakan sesuatu yang memalukan keluarga menyebabkan sesetengah kes disembunyikan. Akibatnya, mangsa mungkin tidak mendapat perlindungan, sokongan emosi dan bantuan pemulihan yang diperlukan. Hal yang lebih membimbangkan ialah stigma itu juga menyebabkan mangsa berasa takut untuk bersuara. Mereka mungkin berfikiran bahawa masyarakat tidak akan mempercayai mereka, seterusnya menyalahkan mereka dan menanggap mereka membawa aib kepada keluarga.
Situasi ini menunjukkan bahawa perubahan sikap masyarakat amat penting agar mangsa dilihat sebagai individu yang memerlukan perlindungan, bukannya pihak yang perlu dipersalahkan. Masyarakat perlu memahami bahawa melaporkan penderaan bukanlah tindakan membuka aib keluarga, sebaliknya merupakan langkah menyelamatkan nyawa dan masa hadapan kanak-kanak.
Mengapakah Mangsa Terus Berdiam Diri?
Persoalan yang sering timbul ialah mengapakah sesetengah kanak-kanak mengambil masa yang lama sebelum mendedahkan bahawa mereka menjadi mangsa penderaan seksual? Bagi orang dewasa, perbuatan melaporkan kejadian tersebut mungkin kelihatan mudah, tetapi bagi kanak-kanak, keputusan untuk menceritakan perkara sebenar adalah amat rumit dan menakutkan.
Antara sebab mangsa memilih untuk berdiam diri termasuklah:
Ada mangsa yang hanya berani menceritakan pengalaman mereka selepas bertahun-tahun, malah sesetengahnya apabila mereka sudah meningkat remaja atau dewasa. Sepanjang tempoh tersebut, mereka mungkin memendam trauma dan berhadapan dengan kesan emosi secara bersendirian.
Oleh itu, usaha melindungi kanak-kanak tidak seharusnya bermula selepas laporan dibuat sahaja. Sebaliknya, usaha tersebut perlu bermula dengan mewujudkan persekitaran yang selamat supaya kanak-kanak berani bersuara dan yakin bahawa mereka akan dipercayai. Tindakan mendengar dengan empati, tidak membuat andaian serta memberikan sokongan merupakan langkah penting untuk memastikan mangsa mendapat perlindungan yang sewajarnya.
Membina Sistem Perlindungan yang Lebih Kukuh
Keluarga merupakan tempat perlindungan pertama bagi kanak-kanak. Namun begitu, tanggungjawab memastikan keselamatan mereka tidak boleh dipikul oleh keluarga semata-mata. Dalam usaha membina persekitaran yang selamat, sekolah, komuniti, institusi agama dan pelbagai organisasi masyarakat turut memainkan peranan penting sebagai benteng perlindungan.
Di sekolah, guru merupakan antara individu yang paling hampir dengan kanak-kanak selepas ibu bapa. Interaksi harian bersama-sama dengan murid membolehkan guru mengenal pasti perubahan tingkah laku, gangguan emosi atau kemerosotan prestasi akademik yang mungkin menjadi petunjuk bahawa seseorang kanak-kanak sedang berdepan masalah.
Jadual 1 Cara mengesan tingkah laku kanak-kanak yang didera.
| Perubahan pada kanak-kanak | Kemungkinan petunjuk |
| Menjadi lebih pendiam atau menyendiri. | Mengalami tekanan emosi atau ketakutan. |
| Takut bertemu individu tertentu. | Berasa tidak selamat apabila bertemu seseorang. |
| Perubahan emosi secara mendadak. | Berhadapan dengan pengalaman yang mengganggu fikiran. |
| Kemerosotan prestasi pembelajaran. | Mengalami tekanan yang menjejaskan tumpuan. |
Walau bagaimanapun, keupayaan guru, jiran atau anggota komuniti untuk membantu bergantung pada tahap pengetahuan mereka tentang perlindungan kanak-kanak. Tanpa kesedaran yang mencukupi, tanda-tanda awal penderaan mungkin dianggap sebagai perubahan tingkah laku biasa. Oleh sebab itu, pendidikan tentang perlindungan kanak-kanak perlu diperluas kepada seluruh lapisan masyarakat.
Ibu bapa perlu memahami cara mengenal pasti risiko, guru perlu mengetahui tindakan yang sewajarnya, manakala komuniti pula perlu mempunyai keberanian untuk bertindak apabila melihat sesuatu yang mencurigakan. Perlindungan kanak-kanak yang berkesan memerlukan “mata” dan “telinga” masyarakat. Semakin banyak individu memahami tanggungjawab mereka, semakin sukar bagi pelaku untuk menyembunyikan perbuatan yang mengancam keselamatan kanak-kanak.
Daripada Kesedaran kepada Tindakan
Dalam usaha meningkatkan perlindungan kanak-kanak, kesedaran masyarakat merupakan langkah pertama yang amat penting. Namun begitu, kesedaran sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak diterjemahkan kepada tindakan yang tepat. Hal ini demikian kerana masih terdapat anggota masyarakat yang mengetahui bahawa penderaan seksual kanak-kanak merupakan kesalahan jenayah, tetapi tidak memahami perkara yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengan situasi tersebut.
Persoalan yang berikut perlu diketahui oleh masyarakat.
Literasi perlindungan kanak-kanak bukan sekadar memahami bahawa penderaan merupakan satu kesalahan. Sebaliknya, literasi tersebut merangkumi keupayaan untuk:
Pada masa yang sama, masyarakat juga perlu meninggalkan budaya menyalahkan mangsa. Pertanyaan seperti “mengapakah baru sekarang ingin bersuara?” atau “mengapakah tidak melawan?” hanya akan menyebabkan mangsa berasa lebih tertekan dan memilih untuk terus berdiam diri. Sebaliknya, pendekatan yang lebih berempati perlu dibina. Mangsa perlu didengar, dipercayai dan diberikan sokongan agar mereka berasa selamat untuk mendapatkan bantuan.
Ke Arah Pendekatan Pencegahan
Usaha melindungi kanak-kanak tidak seharusnya tertumpu pada tindakan semata-mata selepas sesuatu kejadian telah berlaku. Sebaliknya, pendekatan pencegahan perlu diberi perhatian supaya risiko penderaan dapat dikurangkan sejak awal. Antara langkah penting yang perlu diperkukuh termasuklah:
Kanak-kanak juga perlu diberi kefahaman bahawa mereka mempunyai hak untuk berasa selamat. Mereka perlu diajar mengenali sempadan diri, memahami konsep sentuhan selamat dan tidak selamat, serta mengetahui bahawa mereka boleh mendapatkan bantuan daripada orang dewasa yang dipercayai. Namun begitu, pendidikan kepada kanak-kanak tidak boleh dilihat sebagai satu-satunya jalan penyelesaian. Tanggungjawab utama tetap terletak pada orang dewasa untuk mewujudkan persekitaran yang melindungi mereka.
Cabaran Perlindungan Kanak-kanak pada Era Digital
Perkembangan teknologi membawa pelbagai manfaat kepada kehidupan kanak-kanak, khususnya dalam bidang pendidikan dan komunikasi. Namun begitu, kemajuan digital turut membuka ruang kepada bentuk ancaman baharu yang semakin kompleks.
Selain penderaan secara fizikal, kanak-kanak pada masa ini berhadapan dengan risiko seperti yang berikut:
Cabaran ini menjadi lebih sukar dikawal kerana berlaku dalam ruang digital yang luas dan pantas berubah. Ada kalanya ibu bapa tidak menyedari aktiviti dalam talian anak-anak atau tidak mengetahui risiko yang mungkin berlaku. Oleh itu, keselamatan digital perlu menjadi sebahagian daripada agenda perlindungan kanak-kanak.
Ibu bapa perlu memainkan peranan dengan membimbing penggunaan teknologi secara selamat, bukannya sekadar melarang penggunaan peranti. Hubungan komunikasi yang terbuka antara ibu bapa dengan anak juga amat penting. Kanak-kanak perlu berasa yakin untuk berkongsi pengalaman mereka semasa melayari permainan dalam talian untuk mengelakkan mereka berasa tidak selesa atau takut dimarahi dan dihukum oleh ibu bapa.
Wira yang Kurang Diberi Perhatian
Dalam sistem perlindungan kanak-kanak, terdapat sekumpulan individu yang sering bekerja tanpa mendapat perhatian meluas daripada masyarakat, iaitu pekerja komuniti. Mereka memainkan peranan penting dalam membantu mangsa, menyokong keluarga serta menghubungkan mereka dengan perkhidmatan perlindungan yang diperlukan. Dalam banyak keadaan, mereka hadir ketika keluarga berada dalam keadaan yang paling sukar.
Tugas pekerja komuniti bukan sekadar mengurus kes, tetapi turut melibatkan usaha mendengar pengalaman mangsa, memberikan sokongan emosi dan membantu keluarga memahami proses mendapatkan bantuan. Namun begitu, tanggungjawab tersebut bukanlah mudah. Mereka berhadapan dengan tekanan emosi, beban kerja yang tinggi serta cabaran apabila berhadapan dengan keluarga atau masyarakat yang masih kurang memahami isu penderaan seksual kanak-kanak.
Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, pekerja komuniti terus memainkan peranan sebagai penghubung antara mangsa dengan sistem perlindungan. Dalam banyak keadaan, merekalah yang membantu memastikan kanak-kanak tidak berdepan masalah tersebut seorang diri.
Membina Budaya Perlindungan Kanak-kanak
Apabila membincangkan isu penderaan seksual kanak-kanak, perhatian masyarakat sering tertumpu kepada pelaku dan hukuman yang bakal dikenakan. Walaupun aspek penguatkuasaan undang-undang amat penting, usaha melindungi kanak-kanak memerlukan perubahan yang lebih menyeluruh, iaitu membina budaya perlindungan dalam masyarakat.
Budaya perlindungan bermaksud setiap anggota masyarakat melihat keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama-sama. Dalam pembudayaan ini, ibu bapa tidak berasa malu untuk mendapatkan bantuan, guru berani membuat laporan apabila mengesan tanda-tanda penderaan, manakala komuniti tidak memilih untuk berdiam diri apabila melihat sesuatu yang membimbangkan.
Namun begitu, budaya ini masih berhadapan dengan pelbagai cabaran. Dalam sesetengah keadaan, penderaan seksual kanak-kanak masih dianggap sebagai masalah keluarga yang tidak wajar dicampuri oleh pihak luar. Sikap tersebut mungkin berpunca daripada keinginan menjaga privasi keluarga, tetapi tanpa disedari boleh menyebabkan penderaan yang berterusan dan mangsa tidak mendapat perlindungan yang sewajarnya.
Pengalaman yang dikongsikan oleh pekerja komuniti menunjukkan bahawa usaha melindungi kanak-kanak menjadi lebih berkesan apabila semua pihak memainkan peranan masing-masing. Keluarga, sekolah, komuniti dan agensi yang berkaitan dengan perlindungan kanak-kanak perlu bergerak seiring kerana tiada satu pihak yang mampu menangani isu ini secara bersendirian. Usaha ini mestilah dilaksanakan secara berterusan untuk membina persekitaran yang selamat, prihatin dan menyokong perkembangan kanak-kanak.
Peranan Media dalam Membentuk Kesedaran
Selain keluarga dan komuniti, media turut memainkan peranan penting dalam membentuk pemahaman masyarakat tentang isu perlindungan kanak-kanak. Pelaporan media yang beretika mampu membantu meningkatkan kesedaran awam, memberikan maklumat yang tepat serta mendorong masyarakat memahami kepentingan melindungi kanak-kanak. Namun begitu, laporan yang terlalu sensasi atau cenderung menyalahkan mangsa boleh memberikan kesan sebaliknya.
Dalam melaporkan kes melibatkan kanak-kanak, aspek perlindungan identiti, sensitiviti terhadap emosi mangsa dan penggunaan bahasa yang berhati-hati perlu diberi perhatian. Kanak-kanak yang menjadi mangsa tidak seharusnya dilihat sebagai bahan berita semata-mata, sebaliknya sebagai individu yang memerlukan sokongan dan pemulihan.
Media juga boleh menjadi wadah pendidikan dengan menyebarkan maklumat yang berkaitan dengan hak kanak-kanak, saluran bantuan serta langkah pencegahan yang boleh dilakukan oleh masyarakat. Dengan mengambil pendekatan yang bertanggungjawab, media bukan sahaja melaporkan sesuatu kejadian, malah turut membantu membina masyarakat yang lebih peka dan bersedia untuk bertindak.
Perlindungan Kanak-kanak sebagai Agenda Negara
Perbincangan tentang penderaan seksual kanak-kanak sering dikaitkan dengan aspek jenayah dan hukuman. Walaupun kedua-dua aspek tersebut penting, isu ini sebenarnya mempunyai kesan yang lebih luas terhadap pembangunan negara. Penderaan yang dialami ketika zaman kanak-kanak boleh memberikan kesan jangka panjang terhadap kehidupan seseorang individu. Trauma tersebut berpotensi menjejaskan kesihatan mental, kesejahteraan emosi, hubungan sosial dan perkembangan diri mangsa apabila meningkat dewasa.
Oleh sebab itu, perlindungan kanak-kanak perlu dilihat sebagai satu bentuk pelaburan sosial. Negara yang berjaya melindungi kanak-kanaknya bukan sahaja mengurangkan risiko penderaan, malah berupaya melahirkan generasi yang lebih yakin, sihat dan produktif. Usaha ini memerlukan komitmen pelbagai pihak. Apabila setiap pihak memahami peranan masing-masing, sistem perlindungan kanak-kanak akan menjadi lebih kukuh dan berkesan.
Jadual 2 Peranan setiap pihak dalam melindung kanak-kanak.
| Pihak | Peranan dalam perlindungan kanak-kanak |
| Ibu bapa dan keluarga | Menyediakan persekitaran yang selamat serta membina komunikasi terbuka dengan anak. |
| Sekolah dan guru | Mengesan perubahan murid serta memberikan sokongan awal. |
| Komuniti | Memastikan kawasan sekeliling lebih prihatin dan selamat. |
| Media | Menyebarkan maklumat secara beretika dan mendidik masyarakat. |
| Agensi | Menyediakan perlindungan dan bantuan dan serta melakukan tindakan yang sewajarnya. |
Tanggungjawab Bersama
Melindungi kanak-kanak bukanlah tanggungjawab ibu bapa atau kerajaan sahaja. Sebaliknya, usaha ini merupakan tanggungjawab moral seluruh masyarakat. Persoalan utama bukanlah sama ada penderaan seksual kanak-kanak berlaku atau tidak, tetapi sama ada kita bersedia untuk mendengar, mempercayai dan bertindak apabila seorang kanak-kanak memerlukan bantuan.
Sesebuah masyarakat yang benar-benar maju bukan sahaja diukur berdasarkan kemajuan fizikal atau pertumbuhan ekonomi. Sebaliknya, kemajuan turut dinilai berdasarkan keupayaan masyarakat tersebut melindungi golongan yang paling memerlukan pembelaan. Kanak-kanak merupakan amanah yang perlu dijaga bersama-sama. Mereka berhak membesar dalam persekitaran yang selamat, dihargai dan bebas daripada ancaman.
Setiap tindakan yang dilakukan untuk melindungi kanak-kanak pada hari ini sebenarnya merupakan pelaburan terhadap masa hadapan negara. Masyarakat yang berani bersuara, prihatin terhadap keselamatan kanak-kanak dan bersedia memberikan sokongan kepada mangsa sedang membina asas kepada negara yang lebih sejahtera. Kesimpulannya, perlindungan kanak-kanak bukan sekadar usaha menyelamatkan seorang mangsa daripada penderaan, tetapi juga usaha membentuk generasi masa hadapan yang lebih yakin, berdaya tahan dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.