Diterbitkan pada 16 Julai 2026, 19:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

 

Kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sememangnya tidak mengejutkan. Malah, sebelum hari pengundian lagi, sebahagian besar penyelidik dan pemerhati politik telah menjangkakan BN sekali lagi akan memenangi PRN kali ini. Persoalan yang berlingkar hanyalah berkisat tentang seberapa besarkah angka kemenangannya?

Jawapannya akhirnya cukup jelas. BN bukan sekadar mempertahankan kerajaan negeri, malah memperkukuh dominasinya apabila berjaya memenangi sebanyak 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri, iaitu meningkat lapan kerusi berbanding dengan PRN 2022. Lebih menarik, beberapa buah kubu kuat Pakatan Harapan (PH) turut berjaya dipecahkan. PH hanya meraih sebanyak lapan kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN), MUDA, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan BERSAMA dan parti kecil lain langsung gagal memenangi sebarang kerusi.

Persoalannya, mengapakah BN begitu dominan? Berbanding dengan menghuraikan faktor teknikal dan numerologi yang telah banyak diperkatakan, analisis ini lebih menyentuh soal sentimen, naratif dan tingkah laku pengundi dalam menjelaskan fenomena tersebut.

Dato’ Onn Hafiz berjaya meletakkan dirinya sebagai figura muda yang mampu menarik perhatian rakyat Johor.

Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa prestasi memberangsangkan BN dalam PRN Johor kali ini banyak disandarkan kepada Dato’ Onn Hafiz Ghazi sebagai wajah utama (poster boy) parti. Beliau berjaya membentuk legitimasi berasaskan prestasi (performance legitimacy) sehingga imej beliau akhirnya menjadi proksi kepada prestasi keseluruhan kerajaan negeri. Natijahnya, calon-calon BN turut menerima limpahan keyakinan pengundi hasil daripada prestasi pentadbiran yang dikaitkan dengan kepimpinan beliau.

Namun demikian, faktor poster boy semata-mata masih belum mencukupi untuk menjelaskan dominasi BN. Sebaliknya, faktor tersebut hanyalah satu daripada beberapa pemboleh ubah yang saling melengkapi dalam menjelaskan dominasi BN.

Perkara yang menjadi nilai tambah termasuklah keupayaan Dato’ Onn Hafiz menghidupkan kembali politik Johor dalam acuan tempatan. Acuan tersebut berpaut pada naratif identiti Johor yang bertunjangkan tiga tunjang utama, iaitu monarki, kerajaan negeri dan masyarakat atau lebih dikenali sebagai “Bangsa Johor”. Berdasarkan pengalaman politik Johor sebelum ini, kemampuan menghubungkan ketiga-tiga institusi tersebut lazimnya akan menatijahkan sebuah pentadbiran negeri yang lebih stabil, berkelas dan berwibawa.

Maka itu, apabila beliau berhasil memberikan penekanan yang konsisten terhadap tiga serangkai ini, BN Johor akhirnya berjaya membentuk imej dan identiti kenegerian yang sedikit terpisah daripada politik federal. Dalam istilah sains politik, keadaan ini boleh ditafsirkan sebagai pembentukan kesedaran politik kenegerian (regional political consciousness). Dari sudut ini, BN Johor mula berfungsi sebagai sebuah wadah politik kewilayahan, hampir menyamai peranan Gabungan Rakyat Sarawak (GRS) di Sarawak yang meletakkan kepentingan dan pembangunan wilayah sebagai teras utama naratif politiknya.

Dengan erti kata mudah, beliau berjaya meletakkan semula semangat kepunyaan atau patriotisme kenegerian yang akhirnya berperanan besar dalam membentuk sentimen asas pengundi Johor dalam PRN 2026. Persoalannya, mengapakah kesedaran politik kenegerian ini begitu penting kepada BN Johor?

Jika dilihat kepada kedudukan BN pada peringkat nasional, gabungan tersebut masih belum benar-benar berjaya membina semula populariti yang signifikan. Apatah lagi, wajah-wajah utama kepimpinan parti masih berlegar dalam kelompok yang sama, lama dan semakin kehilangan daya tarikan politik. Turut tidak terkecuali ialah kerjasama dengan DAP yang masih dilihat sebagai antara pelanggaran terbesar terhadap “pantang larang” politik Melayu. Atas perkiraan itu, BN Johor perlu membentuk imej yang lebih bersifat autonomi daripada politik nasional bagi mengelakkan sentimen “UMDAP” terus membayangi pertimbangan pengundi.

Oleh hal yang demikian, identiti politik BN Johor yang lebih bersifat “autonomi” dibina melalui pengurusan hubungan antara etnik menerusi konsep “Bangsa Johor”, prestasi pentadbiran yang meyakinkan, hubungan yang baik dengan institusi monarki serta keupayaan mengurus naratif dan media. Aspek terakhir ini menjadi kunci utama bagi memastikan setiap dasar, pencapaian dan kejayaan kerajaan negeri benar-benar sampai kepada pengetahuan rakyat. Atas sebab itu, BN Johor akhirnya menguasai pemilikan naratif (narrative ownership) sepanjang PRN tersebut.

Faktor inilah yang sedikit sebanyak menjelaskan pengembalian sebahagian undi masyarakat Cina kepada MCA. Sekiranya diperhatikan beberapa siri pilihan raya yang lalu, masyarakat Cina lazimnya lebih cenderung mengamalkan tingkah laku pengundian yang bersifat pragmatik. Sokongan mereka jarang-jarang bersifat mutlak, sebaliknya berubah mengikut penilaian terhadap prestasi semasa dan kemampuan sesebuah kerajaan.

Biarpun dalam beberapa pilihan raya kebelakangan ini pengundi Cina lebih cenderung kepada pengundian berasaskan identifikasi parti (mengundi berdasarkan parti), PRN Johor kali ini memperlihatkan kecenderungan kembali kepada corak pengundian klasik mereka, iaitu pragmatisme. Maka itu, sedikit peralihan undi kepada MCA dalam PRN kali ini tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kebangkitan semula parti tersebut. Tafsiran yang lebih munasabah ialah sebahagian pengundi Cina mula memberikan penilaian yang lebih positif terhadap prestasi kerajaan negeri Johor berbanding dengan sebelumnya.

Pada masa yang sama, tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian mereka juga mula mempersoalkan keberkesanan DAP sebagai parti yang benar-benar mampu mempertahankan kepentingan masyarakat tersebut. Walaupun perubahan ini tidak besar, kesannya cukup untuk mengubah keputusan di beberapa buah kawasan campuran.

Keadaan ini akhirnya menyumbang kepada kemerosotan prestasi PH dalam PRN kali ini yang selama ini banyak bergantung kepada sokongan pengundi Cina. Lebih penting, PH gagal menampilkan “faktor wow” pada peringkat regional ataupun meyakinkan pengundi bahawa Johor benar-benar memerlukan pertukaran kerajaan. Sebahagian besar kempen PH masih berpaut pada isu-isu nasional dan gagal menghubungkan naratif “identiti Johor” dengan hala tuju pembangunan negeri secara lebih meyakinkan. Akibatnya, PH gagal menawarkan satu naratif tempatan yang benar-benar mampu menyaingi pendekatan yang dibawa oleh BN.

Kegagalan ini turut memperlihatkan bahawa PH masih belum benar-benar mantap dari sudut taktikal dan strategi untuk menawan negeri tertentu. Ketiadaan panglima perang atau tokoh yang benar-benar berpengaruh pada peringkat negeri akhirnya menyebabkan keseluruhan gerak kerja kempen gagal diselaraskan secara lebih berkesan. Implikasinya mula kelihatan apabila beberapa kelemahan asas yang sepatutnya dapat dielakkan akhirnya berlaku, termasuklah kelewatan melancarkan manifesto sehingga membuka ruang kepada dakwaan bahawa manifesto tersebut sekadar “salin tampal” daripada manifesto BN.

Situasi tersebut dikeruhkan lagi dengan ketidakjelasan poster boy yang akhirnya menimbulkan kesamaran mengenai hala tuju kepimpinan gabungan itu di Johor. Biarpun pada saat akhir PH mengetengahkan nama besar seperti Dr. Maszlee Malik yang juga merupakan anak watan Johor, pengaruh beliau masih belum cukup kuat untuk membentuk politik berpusatkan calon sebagaimana yang berjaya dilakukan oleh Dato’ Onn Hafiz.

Prestasi PN pula langsung tidak mengejutkan. Masalah terbesar gabungan tersebut sebahagian besarnya disebabkan oleh krisis kredibiliti. Parti yang gagal mengurus konflik organisasinya sendiri lazimnya berhadapan dengan kesukaran untuk meyakinkan pengundi bahawa mereka mampu mentadbir sebuah negeri. Ditambah pula dengan rekod kedua-dua mantan Menteri Besar daripada BERSATU yang gagal meninggalkan legasi pentadbiran yang benar-benar membekas dalam ingatan rakyat Johor, PN akhirnya kehilangan kelebihan kredibiliti (valence advantage) yang sepatutnya menjadi modal utama mereka.

Tanpa kewujudan gelombang nasional ataupun isu negeri yang cukup besar untuk mencetuskan penjajaran politik, agak sukar untuk PN menembusi kubu tradisi BN. Lebih-lebih lagi apabila kedua-duanya bersaing dalam segmen pengundi Melayu yang hampir sama.

Manakala, perkembangan yang paling mencuri perhatian ialah kemunculan BERSAMA buat julung-julung kalinya. Biarpun gagal membawa pulang sebarang kerusi, parti tersebut berjaya mengganggu status quo PH di beberapa kerusi bandar terutamanya di Bukit Batu dan Perling. Sebahagian besar undi yang diperoleh datang daripada kelompok penyokong PH yang tidak lagi melihat gabungan tersebut sebagai pilihan utama. Faktor Datuk Seri Rafizi Ramli sedikit sebanyak turut menjelaskan fenomena ini.

Satu lagi parti alternatif yang menerima nasib sama ialah MUDA. Selepas pemergian Syed Saddiq, parti tersebut masih belum berjaya menemukan semula identiti politiknya. Hala tuju yang ingin dibawa kelihatan semakin kabur, manakala kepimpinan baharunya masih belum cukup menonjol untuk membentuk keyakinan pengundi. Kegagalan membentuk kepimpinan generasi kedua akhirnya menyebabkan parti tersebut semakin hilang daya saing, khususnya di Johor yang menuntut naratif politik tempatan yang lebih jelas. MUDA juga gagal menawarkan justifikasi yang meyakinkan mengapa pengundi perlu beralih daripada parti-parti yang telah sedia bertapak. Lebih penting, parti tersebut masih belum berjaya memperlihatkan kejelasan dari sudut strategi, pemilihan isu mahupun agenda pentadbiran yang membezakannya daripada parti alternatif yang lain.

Satu hal yang jelas dalam PRN Johor 2026 memperlihatkan bahawa politik negeri semakin terpisah daripada pengaruh politik nasional (de-nationalisation of politics). Prestasi kerajaan negeri kini mulai mengatasi sentimen nasional dan turut berpaut pada pengundian retrospektif, iaitu menilai kerajaan berdasarkan pencapaiannya.

Apa-apapun keputusan PRN Johor bukanlah isyarat utama atau sebagai petunjuk langsung kepada PRU-16 kelak. Hal ini dikatakan demikian kerana politik Malaysia kini memperlihatkan kecenderungan politik negeri yang semakin terpisah daripada politik nasional, sekali gus menyebabkan pertimbangan pengundi dalam kedua-dua pilihan raya tidak lagi semestinya bergerak dalam kerangka yang sama.

Penulis, calon Doktor Falsafah (PhD) di Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia dan berkelulusan Sarjana Sains Politik, UKM.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi