Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerang antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel bukan sekadar konflik geopolitik biasa, tetapi satu krisis yang sedang menggoncang kestabilan ekonomi dunia. Tempiasnya tidak terhenti di Asia Barat, sebaliknya merebak pantas ke seluruh dunia termasuk Malaysia dan rantau Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN). Negara-negara Arab menanggung kesan paling parah akibat tindakan agresif yang mencetuskan peperangan ini dan suatu perkembangan yang sepatutnya menjadi peringatan awal kepada negara-negara lain tentang risiko ketidakstabilan global.
Ketegangan yang berpunca daripada isu program nuklear dan peluru berpandu Iran akhirnya meledak menjadi konflik terbuka. Serangan Iran terhadap pangkalan tentera AS di beberapa negara Arab serta tindakan menyekat Selat Hormuz telah mencetuskan gangguan besar kepada bekalan minyak dunia. Kesan langsungnya menunjukkan harga minyak melonjak hampir 40 peratus, kos logistik meningkat mendadak dan ekonomi global mula menunjukkan tanda-tanda tekanan yang serius.
Malaysia tidak Terkecuali
Sebagai negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, Malaysia sangat terdedah kepada kejutan luaran seperti ini. Kenaikan harga minyak dunia akan terus memberikan tekanan kepada subsidi kerajaan, meningkatkan kos operasi perniagaan dan akhirnya memerah poket rakyat. Walaupun PETRONAS memberikan jaminan bekalan minyaknya di setiap stesen sehingga hujung Mei 2026, realitinya krisis ini belum menunjukkan tanda-tanda akan reda dalam masa terdekat.
Dalam keadaan ini, pengumuman kerajaan untuk melaksanakan Dasar Bekerja dari Rumah (BDR) melibatkan kementerian, agensi, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan bermula pada 15 April ini bukan sekadar langkah pentadbiran biasa. IaLangkah ini merupakan isyarat awal bahawa negara sedang memasuki fasa pengurusan krisis tenaga. Pegawai kerajaan di sektor awam khususnya di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor, juga semua ibu negeri di Malaysia yang melibatkan perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi 8 kilometer (km) dibenarkan bekerja dari rumah. Pelaksanaan ini berkuat kuasa selama tiga hari seminggu susulan konflik Asia Barat yang kita sedang alami kini. Namun begitu, persoalan yang lebih besar ialah adakah kita benar-benar bersedia untuk melaksanakannya secara serius?
BDR tidak boleh dilihat sebagai pilihan sampingan atau sekadar “opsyen fleksibel”. Dalam konteks krisis tenaga global, perkara ini perlu dilihat sebagai satu dasar strategik negara. Setiap perjalanan ulang-alik yang dapat dikurangkan bermaksud penjimatan bahan api. Setiap liter petrol yang dijimatkan bermaksud pengurangan tekanan terhadap subsidi negara. Tindakan kerajaan mengurangkan subsidi RON95 melalui BUDI MADANI daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan tidak terlepas memberi kesan langsung kepada tenaga kerja harian yang menggunakan kereta terutamanya bagi mereka yang berada di luar bandar ingin ke bandar dan begitu sebaliknya. Hal ini juga membuktikan bahawa kerajaan sedang berkira-kira tentang kemampuan untuk menampung harga subsidi sedia ada.
Namun begitu, kelemahan utama dasar ini di Malaysia adalah pada tahap pelaksanaan bukan pada konsepnya. Sektor awam mungkin boleh diarahkan, tetapi bagaimanakah dengan sektor swasta? Tanpa komitmen jelas daripada syarikat-syarikat besar, dasar ini kemungkinan tidak mencapai impak yang diharapkan. Realitinya, banyak majikan masih skeptikal terhadap produktiviti BDR, walaupun pengalaman lalu telah membuktikan sebaliknya khususnya ketika pandemik COVID-19.
Di Myanmar, kerajaan memperkenalkan sistem catuan bahan api melibatkan kenderaan persendirian melalui kaedah nombor plat ganjil dan genap. Kenderaan tersebut digilirkan mengikut tarikh tertentu sahaja jika hendak digunakan di jalan raya. Di Bangladesh, universiti ditutup sementara bagi menjimatkan penggunaan tenaga selain perkhidmatan bas sekolah dihentikan. Contoh ini membuktikan bahawa Malaysia juga tidak terlepas daripada ancaman yang bakal dirasai kelak. Sekiranya pendekatan sekarang tepat dan lebih bersedia, sudah tentu dasar dan polisi sedia ada yang dilaksanakan oleh kerajaan boleh menangani isu ini.
Kerajaan Perlu Tegas
Pengalaman negara seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia menunjukkan bahawa BDR boleh dilaksanakan secara lebih berani dan tersusun. Mereka antara negara yang mempelopori usaha ini sejak awal apabila krisis ini muncul. Indonesia telah menetapkan pelaksanaan BDR sekurang-kurangnya satu hari seminggu bagi penjawat awam sebagai satu langkah kecil tetapi konsisten. Thailand pula tidak teragak-agak mengarahkan agensi kerajaannya untuk melaksanakan BDR serta-merta dalam krisis ketidaktentuan ini. Malaysia perlu melangkah lebih jauh daripada sekadar galakan. Kerajaan wajar mempertimbangkan garis panduan yang lebih komprehensif kepada sektor swasta dalam melaksanakan dasar ini. Cadangan ini boleh merangkumi beberapa langkah konkrit seperti:
1.Insentif cukai dan sokongan kewangan
Kerajaan boleh menimbangkan pemberian potongan cukai, geran atau subsidi kepada syarikat yang melaksanakan BDR secara sistematik, contohnya memberikan kos penyediaan peralatan pejabat di rumah, subsidi Internet atau latihan pengurusan jarak jauh. Pendekatan ini memberikan motivasi langsung kepada syarikat untuk mengekalkan amalan BDR tanpa membebankan mereka.
2. Sektor terpilih berdasarkan kesesuaian
Dasar BDR mungkin lebih berkesan jika dilaksanakan secara berperingkat dan berfokus pada sektor-sektor tertentu seperti teknologi maklumat, kewangan, perkhidmatan profesional dan pendidikan. Sektor ini juga secara tidak langsung membudayakan kerja dari mana-mana sahaja tanpa menjejaskan produktiviti.
3. Garis panduan standard dan indikator prestasi
Kerajaan boleh menyediakan manual BDR yang merangkumi amalan terbaik, piawaian keselamatan siber, pengurusan masa dan mekanisme pemantauan produktiviti kepada sektor-sektor yang memerlukan. Hal ini bagi memastikan pelaksanaan BDR tidak sekadar arang habis besi binasa, tetapi memberikan impak sebenar kepada keberkesanan organisasi.
4. Fasa percubaan dan penambahbaikan berterusan
Sebelum pelaksanaan secara menyeluruh, kerajaan boleh memulakan program rintis dengan beberapa syarikat dan sektor terpilih. Hasil daripada fasa percubaan ini boleh digunakan untuk memperhalus garis panduan dan insentif supaya lebih praktikal dan memberikan impak nyata.
Lebih penting, BDR tidak boleh berdiri sendiri, sebaliknya mesti menjadi sebahagian daripada strategi nasional yang lebih besar termasuklah memperkukuh pengangkutan awam, mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian dan mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu. Namun begitu, langkah penjimatan harus digerakkan dengan lebih awal bagi menghadapi situasi yang tidak menentu. BDR merupakan satu daripada alternatif jangka pendek yang boleh dilaksanakan.
Kesimpulannya, kerajaan dan sektor swasta tidak harus melaksanakan operasi seperti biasa ketika dunia menghadapi krisis ketidaktentuan ekonomi. BDR mungkin bukan penyelesaian mutlak, tetapi dalam krisis seperti ini, BDR merupakan antara langkah paling cepat, paling selamat dan paling rendah kos yang boleh dilaksanakan. Berdasarkan keadaan ekonomi yang semakin terhimpit kini, kelewatan bertindak bukan lagi satu pilihan.