Diterbitkan pada 28 Mei 2026, 16:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kejayaan pelumba basikal sensasi negara, Datuk Azizulhasni Awang yang dikenali dengan gelaran The Pocket Rocketman merangkul pingat emas sebanyak dua kali berturut-turut dalam Siri Piala Dunia Trek Persatuan Basikal Antarabangsa (UCI) 2026 telah berjaya menggembirakan seluruh rakyat Malaysia. Beliau berjaya menggondol pingat emas dalam acara keirin dalam dua siri pertandingan itu. Datuk Azizulhasni memenangi pingat emas pertama dalam siri pertama di Perth, Australia sebelum sekali lagi memenangi pingat emas dalam siri ketiga di Nilai, Malaysia.

Kejayaan beliau ini berjaya melayakkan beliau ke pusingan akhir Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2026 yang akan dilangsungkan pada bulan Oktober 2026 di Shanghai, China. Datuk Azizulhasni berjaya menewaskan penyandang juara dunia keirin dari Belanda, Harrie Lavreysen dalam perlawanan akhir di Nilai pada bulan April 2026 yang lalu. Berdasarkan rekod, Datuk Azizulhasni pernah memenangi menjuarai acara keirin dalam kejohanan dunia pada tahun 2017 yang berlangsung di Hong Kong, China. Beliau kemudiannya pernah memenangi pingat gangsa dalam acara keirin dan pecut di kejohanan dunia pada tahun 2020 yang dilangsungkan di Berlin, Jerman.

Oleh sebab itulah, beliau memburu pingat emas yang kedua dalam kejohanan ini untuk sekali lagi dinobatkan sebagai juara dunia, terutamanya dalam acara kegemarannya, keirin.

Dalam usia 38 tahun, sukan basikal Malaysia masih lagi menagih kudrat Datuk Azizulhasni untuk memburu kejayaan memenangi pingat emas pertama negara dalam temasya Sukan Olimpik di Los Angeles, Amerika Syarikat pada tahun 2028 kelak. Kegagalan beliau memenangi sebarang pingat dalam Sukan Olimpik di Paris, Perancis pada tahun 2024 menjadi titik tolak kepada perkembangan karier beliau. Beliau dilihat mahu bersara daripada sukan tersebut sebelum kembali berlatih dan menyertai semula beberapa siri perlawanan antarabangsa. Datuk Azizulhasni pernah menyumbang dua pingat Sukan Olimpik melalui acara keirin; satu pingat gangsa di Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 2016 dan satu pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo, Jepun pada tahun 2020.

Semasa edisi 2024, Datuk Azizulhasni gagal melepasi peringkat saingan awal acara keirin apabila penyertaannya dibatalkan oleh komisar perlumbaan. Beliau didapati telah memotong basikal pemandu (pacer) lebih awal daripada waktu yang sepatutnya, sekali gus gagal ke pusingan seterusnya. Beliau juga gagal mara jauh dalam acara pecut selepas terkandas dalam pusingan 1/8 akhir.

Hal ini menyebabkan Datuk Azizulhasni mula memikirkan masa hadapan beliau dalam sukan berbasikal trek selepas mencurahkan segala keringat dan pengorbanan beliau kepada sukan tersebut sejak hampir 18 tahun yang lalu.

Pihak Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) telah mula mengorak langkah dengan mencari bakat baharu dalam sukan ini. Antara yang mula menonjol ialah Muhammad Shah Firdaus Sahrom. Anak kelahiran Johor ini telah berjaya mara ke perlawanan akhir acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024 yang lalu dan hampir-hampir memenangi satu pingat sebelum gagal menyudahkan kayuhan. Beliau telah terjatuh di atas trek dalam enjutan terakhir ke garisan penamat setelah bertembung dengan pelumba lain yang turut mengejar masa ke garisan penamat.

Selepas tamat Sukan Olimpik, Muhammad Shah Firdaus terus meraih kejayaan dengan memenangi pingat perak dalam acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2025 yang dilangsungkan di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai. Beliau juga berjaya merangkul pingat gangsa dalam acara pecut di kejohanan itu. Namun begitu, beliau masih belum lagi memberikan apa-apa kejayaan pada tahun 2026 setelah pulih daripada kecederaan lutut yang dialami beliau pada tahun 2025. Dalam Siri Piala Dunia Berbasikal Trek UCI 2026 di Hong Kong baru-baru ini juga, beliau gagal melepasi pusingan kelayakan acara pecut selepas mengalami kesakitan pada lututnya.

Beliau perlu menggandakan lagi prestasi agar mampu bersaing dalam beberapa kejohanan lagi pada tahun ini terutamanya kejohanan Sukan Asia 2026 yang akan dilangsungkan di Jepun pada bulan September dan Oktober 2026.

Selain Muhammad Shah Firdaus, Malaysia turut memiliki beberapa pelumba berbasikal trek lelaki lain seperti Fadhil Zonis, Akmal Nazimi Jusena, Ridwan Sahrom dan pelumba muda, Adib Andhar Adnan. Namun begitu, prestasi mereka dilihat masih lagi jauh ketinggalan daripada pencapaian Datuk Azizulhasni.

Melihat prestasi semasa yang ditonjolkan oleh pelumba basikal lain, jelas Malaysia masih lagi tiada pengganti yang mampu menandingi pencapaian Datuk Azizulhasni. Oleh hal yang demikian, wajarlah Datuk Azizulhasni sendiri berasa gusar dengan perkembangan semasa atlet lumba basikal Malaysia yang dilihat masih jauh lagi untuk bersaing dengan pelumba negara lain terutamanya di Asia. Menurut beliau, pasukan lumba basikal Jepun mempunyai banyak pelapis yang mampu bersaing pada peringkat Asia mahupun dunia. Ini ditambah lagi penguasaan pelumba dari negara Eropah dan Australia yang dilihat mendominasi sukan ini sejak dahulu lagi.

Diharapkan pihak berkenaan terus berusaha untuk menggilap lagi pelumba basikal trek Malaysia dan terus mencari pelapis agar kita tidak terlalu mengharapkan kepada seorang atlet sahaja pada masa hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi