Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIbadah korban merupakan satu daripada syiar Islam yang paling signifikan dilaksanakan pada setiap 10 Zulhijah bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha. Secara teologinya, ibadah korban merupakan manifestasi ketaatan hamba kepada Allah SWT yang merujuk peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan kesabaran anakandanya, Nabi Ismail AS. Namun begitu, di sebalik dimensi amalan ini, ibadah korban membawa nilai sosiologikal yang sangat mendalam, khususnya dalam konteks negara berbilang kaum seperti Malaysia. Ibadah ini mendidik jiwa manusia untuk keluar daripada kepompong sifat mementingkan diri sendiri seperti “enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing” demi menuju semangat kebersamaan yang menjadi teras keharmonian masyarakat majmuk.
Secara umumnya, ibadah korban mengajar kita nilai keikhlasan yang tidak berbelah bahagi. Sebagaimana yang digariskan dalam panduan ibadah korban yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), matlamat utama korban bukan sekadar penyembelihan haiwan, tetapi ketakwaan yang lahir daripada hati yang tulus. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hajj ayat 37 menjelaskan bahawa, daging dan darah binatang korban tersebut tidak akan sampai kepada Allah SWT, melainkan ketakwaan daripada pelaksana korban tersebut. Oleh itu, niat dan adab dalam melaksanakan ibadah ini sangat penting bagi memastikan perbuatan sedemikian tidak menjadi sekadar acara tahunan atau tanda status sosial, sebaliknya menjadi wasilah penyucian jiwa daripada sifat tamak dan cinta akan dunia.
Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, perkongsian rezeki melalui agihan daging korban merupakan medium komunikasi sosial yang sangat berkesan. Ibadah ini mendidik perasaan syukur dan empati dalam diri setiap individu. Daging korban yang dibahagikan kepada fakir miskin, keluarga, sahabat handai dan golongan rentan mencerminkan sistem sosial Islam yang membina kepedulian terhadap golongan yang memerlukan. Walaupun keutamaan diberikan kepada umat Islam yang kurang berkemampuan, semangat memberikan ini sering kali melimpah kepada komuniti setempat melalui semangat kejiranan. Hal ini secara tidak langsung mewujudkan perasaan hormat-menghormati dan mengurangkan jurang sosial antara kelas ekonomi yang berbeza, sekali gus memperkukuh ikatan antara warganegara.
Selain itu, proses pelaksanaan ibadah korban di Malaysia juga sering dilakukan secara bergotong-royong. Aktiviti penyembelihan, melapah dan mengagihkan daging memerlukan kerjasama kolektif yang erat. Semangat kerjasama ini melatih masyarakat untuk bekerja dalam satu pasukan tanpa mengira latar belakang sosial mahupun pangkat. Di sinilah nilai silaturahim diperkukuh, iaitu interaksi antara ahli masyarakat berlaku dalam suasana penuh harmoni dan persaudaraan. Semangat ini mengajar kita bahawa keberhasilan sesuatu matlamat komuniti bergantung pada kesediaan setiap individu untuk menyumbang tenaga dan masa demi kepentingan bersama.
Lebih jauh lagi, Aidiladha mengajar kita bahawa ibadah korban bukan semata-mata meraikan kejayaan peribadi, tetapi tentang membina masyarakat yang adil, penyayang dan bersatu padu. Berdasarkan kerangka negara majmuk, pengorbanan yang dituntut termasuklah kesediaan untuk mengorbankan ego, sifat kedekut dan kejahilan yang boleh memecah-belahkan perpaduan. Ibadah ini mendidik setiap insan agar bersedia melakukan pengorbanan demi kebaikan agama, bangsa dan negara.
Kesimpulannya, ibadah korban merupakan instrumen penyucian jiwa yang transformatif dan agen penyatuan sosial yang ampuh. Ibadah ini merupakan mekanisme pembinaan sahsiah yang menekankan empati dan kepedulian. Apabila nilai ini dihayati dengan penuh keikhlasan, maka lahirlah masyarakat majmuk yang stabil dan harmoni. Kebersamaan yang dipupuk melalui ibadah ini adalah kunci kepada kelestarian perpaduan di Malaysia, iaitu semangat berkongsi rezeki dan berkorban demi kesejahteraan umum yang menjadi asas kepada kelestarian hidup bermasyarakat.