Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSejak kebelakangan ini, masyarakat semakin terdedah kepada pelbagai bentuk ketidaktentuan ekonomi. Kenaikan kos sara hidup, perubahan landskap pekerjaan kepada bekerja dari rumah (BDR), serta perkembangan teknologi yang pesat telah mengubah cara kita bekerja dan berbelanja. Dalam keadaan ini, kestabilan kewangan tidak boleh diukur melalui jumlah pendapatan semata-mata, tetapi juga melibatkan kesediaan individu menghadapi risiko yang tidak dijangka.
Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), peningkatan kos sara hidup dan perubahan corak perbelanjaan isi rumah menunjukkan tekanan kewangan yang semakin membebankan masyarakat, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Merujuk pula kajian Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES), perbelanjaan bulanan isi rumah menunjukkan peningkatan sebanyak 3.9 peratus pada tahun 2024 berbanding dengan pada tahun 2022. Hal ini disebabkan oleh kenaikan harga barang dan perubahan gaya hidup
Pada masa yang sama, laporan Bank Negara Malaysia (BNM) turut menekankan bahawa tahap daya tahan kewangan isi rumah masih menjadi kebimbangan, terutamanya apabila berdepan dengan kejutan ekonomi. Pada hakikatnya, ketidaktentuan ekonomi bukan lagi sesuatu yang asing. Kita telah melalui pandemik COVID-19 yang membawa pelbagai cabaran, termasuk kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba, pengurangan pendapatan, peningkatan kos rawatan kesihatan serta pertambahan komitmen kehidupan. Bagi sesetengah individu, kejadian kecil yang tidak terkawal boleh mengganggu keseluruhan kedudukan kewangan mereka.
Dalam konteks ini, dana kecemasan menjadi semakin signifikan. Namun begitu, masih banyak individu yang mengabaikan dan menangguhkan pelaksanaan dana kecemasan. Ada yang beranggapan bahawa selagi pendapatan mereka masih stabil, keperluan untuk menyediakan simpanan kecemasan adalah tidak mendesak. Walaupu npersepsi ini kelihatan munasabah, pada hakikatnya realiti tidak selari dengan keadaan ekonimi semasa.
Dana kecemasan merupakan satu bentuk perlindungan kewangan. Dana ini bukan sekadar simpanan, tetapi juga mekanisma yang memberikan ruang kepada individu untuk berdepan dengan situasi luar jangka tanpa membuat keputusan secara terburu-buru. Dalam situasi kecemasan, individu yang tidak mempunyai simpanan sering kali terpaksa bergantung pada hutang sama ada melalui kad kredit, pinjaman peribadi atau bantuan tidak formal daripada keluarga dan rakan.
Menurut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), antara faktor utama individu terjebak dalam masalah hutang termasuklah ketiadaan simpanan kecemasan. Hal ini menyebabkan mereka bergantung pada pembiayaan berasaskan hutang untuk menghadapi krisis kewangan. Kebergantungan ini bukan sahaja menambah beban kewangan, tetapi juga berpotensi untuk mewujudkan tekanan emosi yang berpanjangan.
Sebaliknya, individu yang mempunyai dana kecemasan berada dalam kedudukan yang lebih stabil. Mereka mempunyai ruang untuk menilai pilihan, merancang langkah seterusnya dan mengelakkan keputusan yang bersifat reaktif. Dalam erti kata lain, dana kecemasan bukan sahaja memberikan perlindungan kewangan, tetapi juga ketenangan fikiran.
Persoalan yang timbul ialah bagaimanakah dana kecemasan ini boleh dibina dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat? Tidak dapat dinafikan bahawa cabaran kewangan pada hari ini memerlukan penyesuaian gaya hidup dan keutamaan. Namun begitu, pembinaan dana kecemasan tidak semestinya bermula dengan jumlah yang besar. Simpanan boleh dimulakan secara berperingkat, selaras dengan kemampuan individu.
Perkara yang lebih penting ialah perubahan cara berfikir terhadap simpanan. Dana kecemasan tidak seharusnya dilihat sebagai baki daripada perbelanjaan, tetapi sebagai keutamaan sebelum perbelanjaan dilakukan. Pendekatan “bayar untuk diri sendiri dahulu” boleh menjadi asas kepada pembentukan disiplin kewangan yang lebih kukuh.
Pada masa yang sama, pendidikan kewangan memainkan peranan yang penting dalam pembentukan kesedaran. Literasi kewangan bukan sekadar mengetahui cara mengurus wang, tetapi juga memahami risiko dan membuat persediaan yang sewajarnya. Dalam dunia yang semakin kompleks, keupayaan untuk merancang dan menghadapi ketidaktentuan menjadi satu bentuk kecekapan hidup yang amat penting.
Selain faktor individu, masyarakat juga perlu melihat isu ini dalam kerangka yang lebih luas. Ketidaktentuan ekonomi bukan berpunca daripada kelemahan individu semata-mata, tetapi turut dipengaruhi oleh perubahan struktur ekonomi dan dinamika global. Oleh itu, usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang dana kecemasan perlu disokong oleh pendekatan pendidikan yang berterusan dan menyeluruh.
Kesimpulannya, dana kecemasan bukan lagi satu pilihan tambahan dalam pengurusan kewangan, tetapi satu keperluan asas. Persediaan ini mencerminkan tahap kesiapsiagaan seseorang untuk menghadapi realiti kehidupan yang penuh dengan ketidakpastian. Walaupun dana kecemasan tidak memberikan pulangan yang tinggi seperti pelaburan lain, kewujudannya mampu memberikan ketenangan fikiran semasa berdepan dengan situasi yang tidak dijangka. Dalam dunia yang penuh dengan ketidakpastian, ketenangan fikiran merupakan kekayaan yang tidak ternilai.
Dr. Radziah Mohd Dani merupakan Pensyarah Perakaunan di Politeknik Muadzam Shah Pahang. Beliau juga seorang penulis literasi kewangan.