10 Jun 2024, 17:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada masa ini, stok bekalan darah masih mencukupi untuk menampung perubatan di seluruh negara, namun stok bekalan darah tersebut yang diperoleh melalui penderma darah tetap diperlukan secara berterusan. Hal ini demikian kerana pada setiap hari, lebih kurang 2000 pek darah diperlukan untuk merawat pesakit yang memerlukan bekalan darah tersebut.

Bahkandalam media sosial juga kita boleh melihat terdapat hantaran yang dibuat oleh individu memohon pertolongan orang ramai untuk menderma darah bagi kegunaan ahli keluarga yang sedang mendapatkan rawatan di hospital. Sebagaimana pendermaan organ, kesedaran tentang menderma darah dalam kalangan masyarakat juga masih kurang memuaskan.

Walau bagaimanapun, kesedaran ini semakin meningkat dari hari ke hari berikutan kempen kesedaran yang giat dijalankan sama ada secara dalam talian mahupun di lapangan. Saban tahun, penderma darah juga diraikan melalui sambutan Hari Penderma Darah Sedunia yang disambut pada 14 Jun pada setiap tahun. Pada tahun ini, sambutan tersebut bertemakan “Meraikan 20 Tahun Pemberian: Terima Kasih Penderma Darah.”

Dalam kebanyakan negara di dunia, pendermaan darah di dilakukan secara sukarela tanpa dikenakan sebarang bayaran, termasuklah juga di Malaysia. Walau bagaimanapun, India merupakan antara negara yang menjadikan pendermaan darah sebagai komoditi ekonomi yang boleh dijual beli.  Sedangkan, darah merupakan antara keajaiban ciptaan Tuhan dan komponen terpenting dalam sistem tubuh badan manusia.

Kesihatan seseorang boleh terjejas jika kekurangan darah dalam badan. Kepentingan darah dalam hidup manusia menjadikan budaya menderma darah sebagai satu daripada amalan yang mulia dan terpuji. Oleh itu, kita digalakkan untuk menderma darah kerana dapat memberikan bantuan kepada pesakit yang memerlukan dan mampu menyelamatkan nyawa seseorang. Antaranya termasuklah wanita yang mengalami tumpah darah semasa bersalin, mangsa kemalangan, pesakit talesemia, pesakit denggi dan pesakit anemia. Bagi orang Islam, menjaga nyawa juga merupakan satu daripada tuntutan dalam maqasid al-Shariah.

Perkhidmatan Tabung Darah di Malaysia telah dirintis oleh sekumpulan sukarelawan wanita Palang Merah British pada tahun 1955. Perkhidmatan ini awalnya bertempat di bangunan Hospital Umum Kuala Lumpur dan penderma terdiri daripada anggota polis, tentera dan kakitangan kerajaan. Tabung Darah kemudiannya dipindahkan ke satu bangunan khas yang dikenali sebagai “Pusat Perkhidmatan Darah Kebangsaan” di Hospital Kuala Lumpur pada tahun 1971.

Bermula pada tahun 1975, Pusat Perkhidmatan Darah telah memainkan peranan penting dalam penyeragaman peraturan kerja, metodologi dan peralatan tabung darah di seluruh negara. Bangunan baharu Pusat Perkhidmatan Darah yang kemudiannya dikenali sebagai Pusat Darah Negara (PDN) telah dibina pada tahun 2002 di Jalan Tun Razak.

Menurut  PDN, antara kriteria untuk menjadi penderma darah termasuklah sihat tubuh badan; berumur antara 17 tahun hingga 70 tahun bagi yang pernah menderma; berumur 17 tahun hingga 60 tahun bagi yang pertama kali menderma; berat badan 45 kg ke atas; tiada masalah kesihatan; pendermaan darah terakhir tiga bulan lepas; tidur minimum lima jam; telah mengambil makanan sebelum menderma darah; tidak mengandung, tidak datang haid dan menyusukan anak bagi penderma wanita; bagi bukan warganegara pula mereka perlu menetap sekurang-kurangnya satu tahun di Malaysia; tidak mengamalkan tingkah laku gaya hidup berisiko tinggi seperti pengambilan dadah, bertukar-tukar pasangan dan perhubungan jenis serta perlu membawa dokumen pengenalan diri: manakala bagi penderma yang berumur 17 tahun, mereka perlu mempunyai kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga untuk menjadi penderma.

Derma darah masih tidak menjadi cara hidup dalam kalangan masyarakat di negara kita sedangkan amalan tersebut merupakan antara tanggungjawab sosial yang penting. Bekalan darah negara bergantung pada keprihatinan masyarakat untuk terus menjadi penderma. Kekurangan penderma darah mungkin disebabkan oleh pelbagai mitos yang menimbulkan kebimbangan dan kegusaran kepada masyarakat untuk menjadi penderma.

Menurut portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat lapan mitos yang dikaitkan dengan derma darah, iaitu boleh menyebabkan berat badan penderma naik atau turun; boleh mendapat penyakit berjangkit; darah yang diderma boleh disimpan lama; derma darah mengambil masa yang panjang; boleh menyebabakan badan penderma menjadi lemah; penderma muslim tidak boleh terima atau derma darah daripada bukan muslim; tidak perlu menderma kerana sudah banyak penderma dan individu yang mempunyai tekanan darah tinggi dan mengambil ubat sebagai rawatan tidak boleh menderma.

Penderma darah juga turut memperoleh manfaat, antaranya termasuklah dapat mengesan masalah kesihatan penderma. Hal ini demikian kerana sebelum menderma, setiap orang perlu melakukan pemeriksaan fizikal dan ujian darah. Bagi penderita hemochromatosis yang memiliki terlalu banyak zat besi dalam darah, menderma darah merupakan rawatan paling baik untuk mereka. Selain itu, kajian menunjukkan dengan menderma darah, penderma dapat menjaga kesihatan jantung dan mengawal tekanan darah mereka. Penderma darah juga boleh mengenalpasti jika terdapat sebarang jangkitan virus seperti HIV, sifilis, hepatitis dan sebagainya.

Di samping itu, KKM juga telah memperuntukkan beberapa keistimewaan rawatan kepada penderma darah di negara ini sebagai menghargai jasa baik dan pengorbanan para penderma darah. Keistimewaan ini juga merupakan insentif bagi menggalakkan penderma darah baharu untuk meneruskan amalan mulia ini sebagai penderma darah tetap. Semakin banyak mereka menderma darah, semakin banyak keistimewaan rawatan yang bakal mereka peroleh. Penderma darah akan diberikan rawatan pesakit luar dan perubatan serta wad secara percuma di hospital atau klinik kerajaan dan tempoh sah perkhidmatan rawatan percuma dari tarikh terakhir pendermaan darah sehingga tempoh yang ditetapkan iaitu 4 bulan hingga 10 tahun.

tersebut bergantung pada bilangan pendermaan darah yang telah dilakukan dan kekerapan pendermaan. Kemudahan wad yang diberikan bergantung pada keadaan semasa di hospital berkenaan dan jika tiada kekosongan wad kelas yang dinyatakan, maka penderma darah akan ditempatkan di wad kelas lain yang bersesuaian. Keistimewaan ini hanya diberikan kepada penderma darah warganegara Malaysia dan yang berstatus penduduk tetap.

Kesitimewaan rawatan penderma darah di fasiliti kesihatan. Sumber (Facebook KKM)

Bagi mendapatkan kesitimewaan tersebut, penderma darah perlu membawa buku Sijil Perkhidmatan Permindahan Darah Kebangsaan (PPDK 9/Pin. 4/99), iaitu Buku Derma Darah ke pusat kesihatan, hospital atau pusat darah dan menunjukkan buku tersebut kepada pihak berkenaan sebelum mendapatkan rawatan.

Selaras dengan perkembangan teknologi, kad derma darah digital juga telah ditambah dalam aplikasi MySejahtera sejak Oktober 2023. Urusan penderman darah akan menjadi lebih mudah dan terurus dengan menggunakan kad derma darah digital pada aplikasi MySejahtera. Antara kelebihan kad digital termasuklah lebih mudah menjejak sejarah proses derma darah, tidak lagi perlu membawa kad merah, mudah digunakan, boleh mengetahui keistimewaan sebagai penderma darah dan dapat menderma di mana-mana kawasan menderma darah. Walau bagaimanapun, pada peringkat awal, sistem ini hanya boleh merekodkan aktiviti derma darah di pusat pendermaan yang menggunakan sistem Blood Bank Information System (BBISV2) sahaja.

Setakat ini, sistem BBISV2 ini hanya digunakan di 22 pusat kutipan darah di seluruh Malaysia, iaitu Pusat Darah Negara, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Sultanah Aminah,  Hospital Sultanah Nora Ismail, Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Taiping, Hospital Sultanah Nur Zahirah; Hospital Seberang Jaya, Hospital Pulau Pinang, Hospital Miri, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Hospital Seri Manjung, Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu, Hospital Tawau, Hospital Queen Elizabeth II, Hospital Sandakan, Hospital Melaka dan Hospital Tuanku Ja’afar.

Tuntasnya, derma darah merupakan amalan mulia dan tanggungjawab sosial setiap masyarakat. Dengan menderma, kita mampu memberikan kehidupan baharu kepada mereka yang memerlukan. Untuk mengetahui maklumat lanjut berkaitan pendermaan darah dan lokasi kempen pendermaan darah, boleh melayari laman sosial, Facebook PDN, melalui pautan  https://www.facebook.com/PusatDarahNegaraKementerianKesihatanMalaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.