Oleh Zulkifli Salleh
11 Jun 2024, 18:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Beberapa dekad awal pengakhiran Perang Dingin menyaksikan hiruk-pikuk mantera globalisasi yang kebiasaannya disampaikan oleh guru pengurusan, ahli strategi dan pendukung globalisasi itu sendiri. Seakan-akan mantera yang meraikan keruntuhan Tembok Berlin, penyepaian Kesatuan Soviet dan kemenangan kapitalisme yang menjanjikan harapan gilang-gemilang kepada warga dunia.

Kita dapat menemui mantera seumpama ini dalam The Lexus and the Olive Tree, karya Thomas Friedman yang merupakan pendukung tegar globalisasi. Hujah Friedman, Perang Dingin dalam sistem antarabangsa wujud kira-kira dari tahun 1945 hingga tahun 1989, apabila bermulanya kejatuhan Tembok Berlin, yang digantikan oleh satu lagi sistem, iaitu era baharu globalisasi yang kini dialami oleh masyarakat. Globalisasi ini muncul kira-kira dalam tempoh 75 tahun dari permulaan Perang Dunia Pertama hingga pengakhiran Perang Dingin.

Buku yang menjelaskan tentang era globalisasi, karya Thomas Friedman.

Buku itu berusaha menjelaskan tentang era globalisasi baharu yang menjadi sistem antarabangsa dominan pada akhir abad ke-20 bagi menggantikan sistem Perang Dingin dan untuk mengkaji sistem yang membentuk  politik domestik, perdagangan, alam sekitar dan hubungan antarabangsa setiap orang.

Walau bagaimanapun, Charles A. Kupchan dalam The End of the American Era:  U.S. Foreign Policy an the Geopolitics of the Twenty-First Century, membangkitkan persoalan: “Globalisasi, panakea atau  peril?”. Beliau merujuk The Lexus and the Olive Tree, yang Friedman beritahu bahawa beliau “pelancong bersama-sama sikap.” Friedman dikatakan sebagai pelancong kerana beliau berkembara secara meluas dan melaporkan apa-apa yang dilihat oleh beliau. Beliau mempunyai sikap kerana beliau melihat setiap benda menerusi lensa khusus – lensa globalisasi. Selepas menghabiskan separuh kedua tahun 1990-an mengembara dunia, pergi dari bilik lembaga ke kampung pedalaman,  Friedman menyimpulkan bahawa globalisasi ialah “sistem antarabangsa yang paling penting bagi membentuk politik domestik dan hubungan antarabangsa yang boleh dikatakan berlaku kepada setiap negara.”

Friedman tanpa segan-silu merujuk kepada idea Karl Marx dan Friedrich Engels dalam The Communist Manifesto, meskipun beliau bukan Marxis. Dalam The World is Flat: A Brief History of the Globalized World in the 21st Century, Friedman memberitahu daripada perbincangannya dengan Michael J.  Sandel, ahli teori politik di Harvard University, beliau mengetahui jenis proses pendataran (flattening) yang beliau jelaskan, sebenarnya mula-mula dikenal pasti oleh Marx dan Engels.

Michael Denning dalam  Culture in the Age of Three Worlds, memberitahu terdapat beratus-ratus judul buku diterbitkan pada tahun 1990-an. Kelihatan bahawa buku pertama yang menggunakan globalisasi sebagai judul diterbitkan pada tahun 1988. Dalam banyak cara, “globalisasi bukannya baharu, tetapi merupakan kecenderungan kapitalisme dengan sesetengah ukuran ekonomi duniayang  tidak lebih global jika dibandingkan dengan yang berlaku pada tahun 1914,  pada permulaan yang Eric Hobsbawm sebut ‘abad ke-20 yang pendek’.”

Globalisasi, seperti yang ditegaskan  oleh  John Gray dalam False Dawn: The Delusions of Global Capitalism boleh memaknakan banyak perkara.  Dari satu segi, globalisasi merupakan penyebaran seluruh dunia teknologi moden perindustrian moden dan komunikasi semua jenis merentas perbatasan dalam perdagangan, modal, pengeluaran dan maklumat. Bagi Gray, globalisasi ialah proses sejarah. Globalisasi tidak memerlukan kehidupan ekonomi serata dunia diintegrasikan secara sama rata dan intensif.

Sesetengah penulis  menganggap bahawa globalisasi wujud bersama-sama kapitalisme. Bagi Samir Amin, globalisasi moden dan kapitalisme tidak dapat dipisahkan. Dalam Beyond US Hegemony: Assessing the Prospect for a Multipolar World,beliau menjelaskan bahawa wujud empat fasa globalisasi moden bersekutu dengan pengembangan kapitalis.

Dua yang pertama, beliau sebut (1) fasa merkantilis(1500 – 1800), yang ketika itu Eropah Atlantik mewujudkan sistem teras – pinggir menerusi penaklukan dan membentuk semula benua Amerika, perkembangan perdagangan hamba dan serangan awal komersial terhadap Asia (dan, pada darjah yang amat kurang, Afrika), dan (2) fasa klasik(1800 – 1950) sistem berasaskan pembahagian antara teras perindustrian dengan pinggir bukan perindustrian dan kecenderungan yang berkaitan dengan pengurangan pinggir bukan perindustrian kepada status kolonial atau separuh kolonial. Dalam (3), fasa pascaperang (1950 – 1980), kemenangan gerakan pembebasan kebangsaan dan/atau revolusi sosialis (yang beliau tafsirkan sebagai bentuk radikal pembebasan kebangsaan) membolehkan pinggir mengenakan semakan terma tak simetri sistem global dan untuk memasuki zaman perindustrian.

Tempoh globalisasi yang “dirunding” ini adalah pengecualian dan memang menarik untuk dicatatkan bahawa dunia kemudiannya mengalami pertumbuhan yang amat kuat yang diketahui dalam sejarah, di samping kurang tidak seimbang dari segi pengagihan apa yang dikeluarkan atau dihasilkan. Dalam fasa baharu (4) hari ini, sistem global dibina yang teras (tiga serangkai) mendapat faedah daripada “monopoli lima” yang memberi mereka kawalan terhadap pengeluaran semula sistem.

Dalam  The Three Waves of Globalization: A History of a Developing Global Consciousness, Robbie Robertson menegaskan bahawa globalisasi bukannya fenomena pasca-Perang Dunia Kedua, masih kurang proses perubahan yang menyusuli keruntuhan Perang Dingin. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa globalisasi merupakan ungkapan penarik kesukaan yang tidak dinikmatinya pada pertengahan abad ke-20 atau sebelumnya.

Bagi Robertson, globalisasi adalah tentang saling hubungan manusia yang menjadikan perkadaran dunia dan mengubah diri mereka sendiri. Sememangnya, asal usul globalisasi terletak pada hubungan yang secara perlahan-lahan menyelubungi manusia sejak zaman awal, sebagaimana mereka mengglobalisasikan diri mereka sendiri. Hal ini bemaksud globalisasi sebagai dinamik  manusia selalu bersama-sama kita, malahan sekiranya kita tidak sedari mendakapnya hingga baru-baru ini. Untuk memahami globalisasi, tegas beliau, kita perlu memahami dimensi sejarahnya.

Robertson mengenal pasti tiga gelombang globalisasi. Selama 500 tahun apabila manusia mengalami tiga gelombang global yang berbeza kesalinghubungan. Yang pertama, selepas tahun 1500, memasuki globalisasi perdagangan serantau; yang kedua, selepas tahun 1800, memperoleh dorongan daripada perindustrian; yang ketiga diperoleh daripada reka bentuk dunia baharu selepas tahun 1945. Setiap gelombang bermula dengan peristiwa – ada kalanya peperangan yang memberikan ruang untuk perkembangannya sebagai daya global untuk perubahan.

Setiap gelombang menghasilkan saling hubungan baharu dan menjanakan sinergi baharu yang pada masa itu membawa kepada transformasinya sendiri. Tidak ada gelombang pernah merupakan ciptaan sebuah negara sahaja, meskipun pada masa hegemoni dan bakal hegemoni mencuba untuk melakukan monopoli demi kepentingan mereka. Tidak ada gelombang yang pernah mereka hasilkan satu “tamadun” atau satu budaya sahaja. Gelombang itu merangkumi banyak budaya,iaitu gelombang yang membolehkan budaya berinteraksi, meskipun tidak sama.

Dalam The Ages of Globalization: Geography, Technology, and Institutions,  Sachs pergi lebih jauh dengan mengenal pasti tujuh zaman globalisasi. Bermula dengan Zaman Paleolitik (70,000 – 10,000 SM), disusuli oleh Zaman Neolitik  (10,000 – 3000 SM), Zaman Tunggang Kuda (3000 – 1000 SM), Zaman Klasik (1000 SM – 1500 M), Zaman Lautan (1500 – 1800), Zaman Perindustrian (1800 – 2000), dan akhir sekali Zaman Digital (Abad ke-21).

Bagi Sachs, kemanusiaan selalu diglobalisasikan, sejak penyebaran manusia moden dari Afrika kira-kira 70,000 tahun lalu. Namun begitu, globalisasi mengubah sifatnya dari zaman ke zaman. Perubahan itu sering datang dengan cepat dan ganas. Pada abad ke-21, kita perlu secara aman dan bijaksana; pada zaman nuklear, mungkin tidak wujud peluang kedua dalam peristiwa perang global. Dengan mengkaji sejarah globalisasi, kita dapat mencapai kefahaman berpengetahuan tentang globalisasi pada abad ke-21 dan bagaimana mengurusnya dengan berjaya.

Menurut tafsiran Sachs, kita mengharungi tujuh zaman globalisasi yang berbeza daripada zaman lampau hingga ke masa kini. Pada setiap tujuh zaman ini, perubahan global muncul daripada saling mempengaruhi geografi fizikal, teknologi, dan institusi. Geografi fizikal dalam konteks ini bermaksud iklim, flora dan fauna, penyakit, topografi, tanah, sumber tenaga, deposit mineral dan proses Bumi yang mengesani keadaan hidup. Teknologi merujuk kedua-duanya, iaitu perisian keras dan perisian lembut sistem pengeluaran kita.  Institusi tertentu termasuklah politik, undang-undang, idea dan amalan budaya yang menuntun masyarakat. Geografi, teknologi dan institusi tertakluk pada keragaman dan perubahan yang luar biasa, dan ketiga-tiganya berinteraksi dengan penuh tenaga untuk membentuk masyarakat di seluruh tempat dan sepanjang masa.

Bagi Sachs, globalisasi menandakan saling kaitan masyarakat yang berbeza di sepanjang kawasan geografi yang luas. Saling kaitan ini ialah teknologi, ekonomi, institusi, budaya, dan geopolitik. Saling kaitan ini, termasuk interaksi masyarakat di seluruh dunia menerusi perdagangan, kewangan, perusahaan, migrasi, budaya, empayar dan peperangan. Untuk menjejak sejarah globalisasi, Sachs menjelaskan tujuh zaman yang berlainan: Zaman Paleolitik, zaman prasejarah kita apabila manusia masih lagi pencari (foragers); Zaman Neolitik, apabila perkebunan pertama bermula; Zaman Tunggang Kuda, apabila penjinakan kuda dan kemajuan proto-penulisan membolehkan perdagangan dan komunikasi jarak jauh; Zaman Klasik, apabila empayar besar pertama muncul; Zaman Lautan, apabila empayar pertama berkembang merentas lautan dan melampaui zon ekologi tanah air sudah biasa;  Zaman Perindustrian, apabila sebilangan masyarakat, diterajui oleh Great Britain, membawa ekonomi perindustrian; dan Zaman Digital yang menyaksikan hampir seluruh dunia dihubungkan serentak oleh data digital.

Dalam buku itu, Sachs juga membincangkan geopolitik dan globalisasi, yang menurut beliau, sejak penyebaran besar dari Afrika, dan tentunya sebelum itu dalam Afrika, kumpulan manusia bertempur antara satu sama lain untuk wilayah dan untuk memperoleh keperluan penakatan asas mereka (termasuk air, bekalan makanan, perlindungan, dan mineral).  Sememangnya, sifat manusia terus mara dalam kenceng persaingan wilayah, yang tersemai dalam gen kita dan budaya kita kapasiti yang luar biasa untuk bekerjasama dalam kumpulan digabungkan dengan kecenderungan yang berakar umbi secara mendalam ke arah konflik dan kesangsian antara kumpulan (menurut ras, agama, bahasa, asal usul kebangsaan, dan penanda jati diri lain).

Beliau menegaskan bahawa sejak sekurang-kurangnya alaf kedua SM, globalisasi melibatkan geopolitik, ekonomi dan persaingan ketenteraan yang hebat antara empayar yang berseteru. Sejarawan Barat agung pertama, Herodotus, menjelaskan bahawa persaingan antara negara kota Yunani dengan Empayar Parsi. Sejak itu, globalisasi melibatkan kebangkitan dan kejatuhan empayar yang bersaing: Assyria, Macedonia di bawah Alexander Agung, empayar Hellenistik, Rom, Parsi, dinasti China, empayar India,  khalifah Arab, empayar Eropah, Kesatuan Soviet, dan Amerika Syarikat. Sejak sekitar tahun 1600, empayar Eropah semakin memperoleh pengaruh terhadap bahagian lain di dunia ini, dan ketika Revolusi Perindustrian, Britain dan Amerika Syarikat menjadi hegemoni global.

Buku karya paul Kennedy ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh DBP.

Perlu dinyatakan bahawa The Rise and Fall of the Great Powers: Economic Change and Military Conflict from 1500 to 2000 dianggap sebagai karya cemerlang geopolitik arus perdana. Buku Paul Kennedy itu diterjemahkan dan diterbitkan dengan judul Kebangkitan dan Kejatuhan Kuasa-kuasa Besar: Perusahaan Ekonomi dan Konflik Ketenteraan dari Tahun 1500 ke 2000 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Penulis, Mantan Pengarah Penerbitan DBP. Buku terbaharu beliau ialah Pandemik dan Dinamik Krisis Global dan Negara Bangsa Malaysia: Gerakan Nasionalisme, Perjuangan Politik dan Dasar Negara terbitan DBP.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.