16 Jun 2024, 08:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Biasanya, apabila sesebuah keluarga memiliki cahaya mata, ibu yang akan mengambil keputusan besar untuk berhenti kerja. Alasannya cukup mudah. Wanitalah yang sering dianggap menjadi watak utama untuk mendidik anak. Hal ini mutlak, tiada kompromi. Itulah lumrah kehidupan sejak dulu kala lagi.

Persoalannya, adakah bapa hanya menjadi pemantau semata-mata? Ya, benar. Bapa ialah individu penting dalam mencari nafkah untuk keluarga. Namun begitu, adakah dengan membiarkan isteri sahaja yang memikul tanggungjawab penuh merupakan satu tindakan yang adil? Dalam konteks Islam, menerusi Hadis Riwayat Imam Al-Tirmizi, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Seorang lelaki yang mendidik anaknya lebih baik daripada bersedekah dengan segantang barang.”

Mungkin apa yang dibangkitkan ini banyak terjadi di negara ini dan di beberapa negara ASEAN. Kebanyakan kaum lelaki di beberapa negara maju sudah mula membuang stereotaip apabila secara sukarela membesarkan anak mereka. Ada yang sanggup berhenti kerja atau pun memohon kerja di rumah.

Kepada keluarga yang anaknya sudah meningkat dewasa, perkara ini tidak lagi menjadi masalah. Dapatan kajian sahih dari sebuah universiti terkemuka di England dalam artikel ini ditujukan kepada para bapa zaman milenium yang mana rata-ratanya masih memiliki anak kecil.

Memetik kajian yang diterbitkan pada September 2023 oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Leeds, England menyatakan bahawa pelibatan seorang ayah dalam mendidik anak akan membuatkan si kecil menjadi lebih pintar! Output tersebut bukan sekadar omongan. Para pengkaji menggunakan hampir 5000 ibu bapa di negara itu sebagai sampel. Seterusnya, markah ujian sekolah rendah kanak-kanak berumur lima dan tujuh tahun dianalisis.

“Bapa yang kerap melukis, bermain dan membaca dengan anak mereka yang berumur tiga tahun membantu si cilik menjadi lebih baik di sekolah pada usia lima tahun. Ayah yang terlibat pada usia lima tahun juga membantu meningkatkan markah dalam penilaian peringkat utama kanak-kanak berumur tujuh tahun,” demikian rumusan penting kajian berkenaan.

Untuk rekod, penyelidikan itu dibiayai oleh Majlis Penyelidikan Ekonomi dan Sosial diketuai oleh Dr. Helen Norman yang merupakan Felo Penyelidik di Leeds University Business School. Ketua Impak dan Komunikasi di Institut Kebapaan Universiti Manchester, Dr. Jeremy Davies turut terlibat sama. Mengulas lanjut, Dr. Helen berkata, ibu masih boleh menjadi penjaga utama, namun kehadiran bapa secara aktif dalam membimbing cahaya mata masing-masing dari peringkat awal lagi akan memberi “penangan” lebih ampuh.

“Pelibatan bapa memberi impak positif kepada pencapaian sekolah anak-anak mereka tanpa mengira jantina, etnik, umur dalam tahun persekolahan dan pendapatan isi rumah,” katanya.

Kajian tersebut turut memberikan kesan berbeza jika ibu dan bapa mengambil bahagian dalam aktiviti yang sama. Pada masa sama, data memperlihatkan bahawa kaum Hawa memberikan lebih banyak kesan terhadap tingkah laku emosi dan sosial si anak berbanding dengan pencapaian pendidikan.

 

Akademik cemerlang

Hasil penyelidikan ilmiah itu, pengkaji mengesyorkan agar bapa meluangkan sebanyak mungkin masa untuk melakukan aktiviti interaktif bersama-sama anak pada setiap minggu. Kepada yang terlalu sibuk bekerja, 10 minit yang diluangkan berpotensi untuk si kecil memperoleh faedah pendidikan.

Pihak sekolah termasuk penyedia perkhidmatan pendidikan tahun awal juga disarankan mencatat butiran hubungan kedua-dua ibu bapa dan kemudian menyusun strategi berkesan melibatkan kaum Adam dalam mengasuh anak. Dapatan Universiti Leeds itu senada dengan kajian yang dijalankan oleh Chuyi Cai, penyelidik dari Institusi Pendidikan, Kolej Universiti London, United Kingdom yang diterbitkan dalam Jurnal Pendidikan, Kemanusiaan dan Sains Sosial pada tahun lalu.

Dengan tajuk, Pengaruh Pelibatan Bapa Terhadap Pembangunan Kanak-kanak di China, Chuyi terlebih dahulu menerangkan bahawa budaya tradisional Cina menganggap bapa sebagai satu-satunya penyedia kewangan. Ibu dan kaum Hawa yang lain berperanan dalam aspek mengasuh anak.

Pun demikian, dalam konteks Cina moden, hasil konsensus, pengkaji bersetuju bahawa pelibatan bapa dalam pendidikan anak sentiasa membawa kepada pencapaian akademik kanak-kanak dan kesihatan mental yang lebih baik. Chuyi juga merujuk perolehan data daripada Cheung dan Pomerantz yang menemu bual 451 pelajar dari dua sekolah di Beijing, China dan 374 pelajar dari dua sekolah di Chicago, Amerika Syarikat (AS). Sememangnya keputusan akademik amat cemerlang meski gaya keibubapaan di AS dan China berbeza. AS lebih cenderung memupuk autonomi kanak-kanak, sementara China lebih berkemungkinan mempunyai kawalan mental yang kuat.

Sekadar memetik beberapa penyelidikan antarabangsa yang menunjukkan penglibatan sang ayah memberikan kesan lebih membina terhadap perkembangan fizikal dan kognitif kanak-kanak, penemuan kajian dari Universiti Doshisha dan Universiti Kyoto, Jepun tidak kurang menariknya.

Seorang penyelidik di Pusat Kesihatan dan Pembangunan Kanak-kanak Kebangsaan Jepun, Tsuguhiko Kato mengetuai projek mengkaji bagaimana persekitaran memberikan kesan kepada kesihatan kanak-kanak. Beliau memulakan kajian dengan lebih 100 ribu bayi Jepun (dilahirkan antara Januari 2011 hingga Mac 2014). Kemudian, angka itu dikecilkan kepada bayi sulung, sihat dan tunggal, dan bayi yang ibunya pernah mengalami kemurungan selepas bersalin termasuk yang sukar ditenangkan pada usia satu bulan. Pensampelan akhir berjumlah 28,040 kanak-kanak.

Setiap ibu diminta menilai penyertaan suami dalam pemeliharaan awal anak seperti memberikan makan, menukar lampin, mandi, berpakaian, bermain di dalamĀ  atau di luar rumah serta meletakkan pakaian dan tidur. Secara tradisinya, bapa di negara Matahari Terbit ini kurang terlibat dalam pemeliharaan anak berbanding dengan bapa di Amerika Utara.

Pun demikian, apabila penyelidik meneliti pencapaian kanak-kanak pada usia tiga tahun, mereka mendapati bahawa si cilik yang bapanya meluangkan lebih banyak masa dalam penjagaan, mereka menunjukkan kemahiran motor kasar dan halus yang lebih baik. Hal ini termasuk menjadi lebih matang dalam menyelesaikan sebarang permasalahan.

Faedah pelibatan bapa bukan sahaja memberikan impak baik kepada kanak-kanak sahaja, malah kepada si ibu. Sebagai maklumat tambahan, lelaki di Jepun berhak mendapat cuti bapa selama empat minggu apabila mereka menerima cahaya mata baharu.

 

Impak bapa berusia

Masih lagi berkaitan dengan bapa, namun pada kali ini, korelasi golongan itu dengan usia. Beberapa kajian antarabangsa mencadangkan bahawa bapa yang lebih berusia mempunyai anak yang lebih bijak dan memiliki umur panjang.

Pada tahun 2012, penyelidik di University of California, San Francisco, Amerika Syarikat menjalankan kajian terhadap 107 responden. Hasilnya, sebilangan besar lelaki dan wanita percaya bahawa melahirkan anak sedikit lewat memberikan keistimewaan untuk diri mereka dan keluarga. Sebanyak 72 peratus wanita dan 57 peratus lelaki berkata, kematangan emosi yang sering dikaitkan dengan usia memberikan kelebihan yang jelas.

Sebagai contoh, salah seorang daripada mereka berkata, dirinya jauh lebih matang dari segi emosi dalam usia 40-an berbanding dengan 20 tahun lalu. Dia berasakan boleh berkomunikasi dengan baik dengan zuriatnya. Bukan itu sahaja, dia juga boleh membantu dengan cara paling berkesan dalam mencorakkan kehidupan si anak pada masa depan.

Anak bijak bila bapa sudah berumur? Bunyinya seperti tidak meyakinkan, bukan? Namun begitu, dalam jurnal Translational Psychiatry yang dilaksanakan oleh penyelidik dari AS dan UK mendedahkan, kanak-kanak yang dilahirkan oleh bapa yang lebih tua lebih berkemungkinan mempunyai darjah kecerdasan otak (IQ) yang tinggi.

Mereka mengkaji 15 ribu pasangan kembar yang berusia 12 tahun dengan melakukan ujian kecerdasan lisan, kesunyian sosial dan tingkah laku reseptif. Paling ketara, kajian mendapati bahawa kanak-kanak yang dilahirkan dengan bapa yang lebih tua (35 tahun ke atas), berkemungkinan mempunyai IQ yang lebih tinggi, berbanding individu muda. Tidak hanya itu, manfaat lain adalah si kecil dikatakan akan menunjukkan tumpuan yang lebih tinggi dalam mengejar minat mereka dan lebih berkeyakinan dalam mengharungi kehidupan.

Kajian Universiti Harvard pada tahun 2012 pula mendapati bahawa anak-anak daripada ibu bapa yang lebih tua lebih berkemungkinan hidup lebih lama. Jurnal Perubatan British pula berpendapat, kanak-kanak akan menjalani kehidupan yang lebih sihat.

Justeru, para bapa khususnya di Malaysia, perkongsian ilmiah ini diharap mencetuskan kesedaran betapa peri pentingnya peranan anda dalam bersama-sama mengasuh zuriat yang dikurniakan-Nya. Berkongsi tanggungjawab dengan isteri juga baik dalam menyuntik kesejahteraan emosi.

 

Kredit foto: Picsea | Unsplash

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.