Oleh Jamiaton Kusrin
17 Jun 2024, 15:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sepang – Presiden Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) 2024, Prof. Madya Dr. Mohamad Nizam Mohammed Shapie menaruh harapan yang tinggi agar semakin ramai pesilat muda tanah air dapat dilahirkan dan giat mempertahankan warisan nenek moyang zaman berzaman dan seni budaya Melayu yang unik ini.

Demikian kenyataan beliau selaku penganjur utama Kejohanan Silat Seni Jemputan Juara-Juara Malaysia 2024 (KSSJJJM 2024) yang telah berlangsung di Stesen ERL, Gateway@KLIA2 baru-baru ini.

Kejohanan ini menjadi medan pertembungan para pesilat berbakat tanah air dan luar negara yang bersaing dalam pelbagai kategori Silat Seni antaranya Tunas Perseorangan Tanpa Senjata (Putera & Puteri), Remaja Perseorangan Tanpa Senjata (Puteri), Dewasa (Terbuka) Perseorangan Tanpa Senjata, Tunas Berpasangan Silat Pulut (Terbuka), Remaja Berpasangan Silat Pulut, dan Dewasa (Terbuka) Berpasangan Silat Pulut. Hadiah wang tunai yang lumayan merupakan ganjaran buat para pemenang dalam semua kategori yang dipertandingkan.

Tidak dapat dinafikan, KSSJJJM 2024 berjaya menghimpunkan dan menyatukan para pesilat berbakat, memupuk semangat kesukanan dan silaturahim dalam kalangan peserta.

Sesi taklimat ringkas kepada peserta.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Presiden Pertubuhan Seni Gayung Fatani (PSGFM). Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar FSR, UiTM Shah Alam, Prof. Madya Dr. Mohamad Rahizam Abd Rahim; Penolong Kanan Ko-Kurikulum Sekolah Kebangsaan Seksyen 9, Puan Fardiana Rodzi serta Pengurus Besar Kuala Lumpur City Centre Hotel, Encik Zakaria Ismail.

Sebagai penganjur utama kejohanan, Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) turut bekerjasama erat dengan Yites Event Management, Gateway@KLIA2, Martial Arts & Combat Sports Research Network, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan Persekutuan Silat Olahraga Nasional Malaysia (PESONA).

Kerjasama strategik dari segi penajaan dan sumbangan diterima dari Perdana Kuala Lumpur City Centre Hotel, Kangen Water dan YB Datuk Abdul Rashid Asari.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.