29 Jun 2024, 10:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Padang Besar – Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, “Pendidikan awal kanak-kanak penting untuk memupuk keyakinan diri mereka.”

Titah baginda, kanak-kanak akan didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang boleh membantu mengenali potensi diri.

“Pendidikan awal yang berkualiti membantu kanak-kanak memahami asas literasi dengan lebih baik dan seterusnya membina minat yang mendalam terhadap ilmu pengetahuan.

“Keyakinan diri yang diperoleh akan menjadi pemangkin untuk mereka menghadapi cabaran serta memupuk semangat kepimpinan diri pada masa hadapan,” titah baginda ketika ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyampaian Biasiswa Smart Reader Kids – One Child One Hope (OCOH) kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis 2024 yang berlangsung di Dewan Orkid, Tasoh Lake Resort by Tasoh TasikKu, Kaki Bukit semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd. Datuk Sri Richard Ong serta Pengarahnya, Datuk Kevan Ong dan Keefe Ong dan Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Darus.

Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika bertitah menyempurnakan Majlis Penyampaian Biasiswa Smart Reader Kids – One Child One Hope.

Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra, “Pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti mampu membuka ruang dan peluang yang luas untuk mereka menggapai masa hadapan yang lebih cerah.”

“Kanak-kanak bukan sahaja dapat mempelajari mata pelajaran yang diajar di tadika, bahkan dapat menarik minat mereka untuk mendekati pelbagai bidang seperti biologi, fizik dan juga astronomi kelak,” titah baginda lagi.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengurniakan Smart Reader Kids Book Package kepada seorang  daripada penerima.

Sementara itu, Datuk Sri Richard dalam ucapannya menyatakan bahawa Program Biasiswa Seorang Anak Sebesar Harapan atau One Child One Hope merupakan inisiatif daripada Smart Reader®️ Worldwide untuk memastikan kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan awal yang sewajarnya.

Tujuan utama program biasiswa ini adalah untuk memberikan peluang pendidikan yang berkualiti kepada lebih banyak kanak-kanak, terutamanya golongan yang kurang berkemampuan.

Menurut beliau, “Kami di Smart Reader®️ Worldwide amat berbesar hati dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat Perlis sejak tahun 2008 lagi dengan memberikan peluang dalam bidang pendidikan.”

“Langkah ini menunjukkan komitmen kami untuk memperluas akses komuniti kepada pendidikan berkualiti serta memberikan sokongan kepada warga setempat bagi memenuhi impian dan potensi setiap kanak-kanak,” ujarnya lagi.

Beliau juga berharap agar biasiswa ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang dalam usaha membantu kanak-kanak di negeri Perlis terutamanya golongan yang kurang berkemampuan dalam mendapatkan pendidikan yang berkualiti dan seterusnya menjadi pelajar kebanggaan negeri Perlis.

Dalam majlis tersebut, Tuanku Pemangku Raja Perlis berkenan untuk menyempurnakan perasmian majlis tersebut dan mewakili YTSP Perlis untuk menerima persembahan Biasiswa Seorang Anak Sebesar Harapan yang bernilai RM60,000 daripada Datuk Sri Richard Ong.

Anak-anak dan ibu bapa bergambar bersama-sama Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta pimpinan tertinggi Smart Reader Perlis setelah majlis selesai.

Baginda turut berkenan untuk menyempurnakan pengurniaan Smart Reader Kids Book Package yang bernilai RM250 setiap seorang kepada 10 orang penerima.

Majlis yang dihadiri oleh Menteri Besar Perlis, Encik Mohd Shukri Ramli, pimpinan tertinggi Smart Reader Sdn. Bhd., tenaga pengajar dan pengurusan Smart Reader Perlis serta ibu bapa pelajar turut diserikan lagi dengan persembahan tarian dan nyanyian daripada pelajar Smart Reader Kids, Taman Sri Bahagia, Kangar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.