29 Jun 2024, 11:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan Forum Whole of Government and Whole of Society (WoGoS): Satu Pendekatan ke Arah Pertahanan Komprehensif bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun Askar Wataniah ke-66 di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra, Perlis, semalam.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Naib Canselor UniMAP, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli.

Pemangku Raja Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Canselor UniMAP dan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian forum yang amat relevan dengan situasi semasa dunia pada ketika ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Naib Canselor UniMAP, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Asisten Panglima Pasukan Simpanan, YBhg. Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab dan Panglima Briged ke-30 Infantri Malaysia, YBhg. Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim.

UniMAP mendapat kerjasama padu daripada Bahagian Pasukan Simpanan Tentera Darat melalui Rejimen 504 Askar Wataniah dan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) yang bertujuan untuk mengupas dan membincangkan peranan setiap agensi kerajaan, pemegang taruh termasuklah masyarakat awam, swasta dan industri bagi mendukung matlamat WoGoS.

WoGoS merupakan satu inisiatif dalam mempertahankan keselamatan nasional dan kedaulatan negara Malaysia dan merupakan kesinambungan kepada dasar “Hanruh” yang diperkenalkan pada tahun 1986 oleh Kerajaan Malaysia. Istilah “Hanruh” merujuk pertahanan menyeluruh atau total defense.

YBhg. Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab ketika berucap dalam majlis tersebut.

YBhg. Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab dalam ucapannya menegaskan, tanggapan dalam pemikiran generasi kini bahawa isu keselamatan dan pertahanan negara hanya terletak di bahu pasukan keselamatan terutamanya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) perlu diperbetulkan dan diindoktrinasikan semula kerana setiap individu mempunyai peranan dalam menjamin kesejahteraan, keselamatan dan kedaulatan negara.

“Betapa ruginya masyarakat negara ini sekiranya terus mengabaikan budaya murni yang telah sedia ada dan pernah diamalkan di negara ini dahulu, walhal terdapat negara lain yang telah belajar dari negara ini dalam mengurus keselamatan dan pertahanan negara, bahkan telah jauh lebih maju ke hadapan,” tambah beliau lagi.

Asisten Panglima Pasukan Simpanan turut berpandangan bahawa semua pihak harus mengambil sikap terbuka untuk melalui proses transformasi bagi mewujudkan landskap kerjasama yang merentasi agensi demi mencapai satu matlamat, iaitu mempertahankan keselamatan dan kedaulatan tanah air tercinta ini.

Kemuncak Forum WoGoS ini ialah perkongsian oleh dua figura ternama sebagai panel, iaitu mantan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Tan Sri Datuk Seri Dr. Haji Noor Hisham Abdullah, dan Felo Penyelidik Kanan Pusat Penyelidikan dan Konsultansi (INTAN), YBrs. Encik Iswalah Arshad.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.